Bayaran dividen tersebut me­rangkumi 16,080 peserta Ranca­ngan Tanam Baharu Berkelompok (RTBB) sebanyak RM43.9 juta dan 16,158 peserta Tanam Semula Ko­mersial (TSK) RM107.1 juta bagi tahun ini.


Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, kerajaan komited meningkatkan taraf hidup pekebun kecil yang merupakan antara kelompok B40, iaitu berpendapatan bulanan purata kira-kira RM2,500.


Beliau berharap pemberian dividen berkenaan dapat membantu meringankan beban kewa­ngan mereka khususnya menjelang sambutan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi berikutan penurunan harga getah dan sawit di pasaran dunia.
“Semoga pemberian dividen ini membantu pekebun kecil lebih selesa menyambut hari raya,” katanya dalam Majlis Penyampaian Dividen RISDA 2015 di Dewan Seri Perdana, Kolej Automotif Antarabangsa (ICAM) di sini hari ini.


Yang hadir sama Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal; Ketua Pengarah RISDA, Datuk Seri Wan Mohamad Zuki Mohamad dan Pengerusi Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Datuk Shafik Fauzan Sharif.


Najib berkata, kerajaan me­ngambil beberapa langkah bagi menangani penurunan harga getah dan sawit pada masa ini termasuk mengadakan kerjasama erat de­ngan negara pengeluar dan memastikan pekebun kecil mengamalkan amalan pertanian baik.


Kata beliau, selain bayaran dividen berkenaan, semua pekebun kecil getah dan sawit yang berdaftar dengan RISDA secara automatik dicarum dan dilindungi Skim Khairat Kematian Pekebun Kecil Berkelompok RISDA bernilai RM5.24 juta.
Menurut beliau, skim itu bertujuan menjaga kebajikan mereka dan meringankan beban apabila berlaku kematian.
Dalam pada itu, Perdana Menteri berkata, sebanyak RM2 juta diperuntukkan sempena penubuhan Yayasan RISDA yang antara lain bagi menyalurkan bantuan atau kemudahan untuk aktiviti pendidikan, sukan, sosial dan kebajikan pekebun kecil, keluarga dan kakitangan agensi itu serta syarikat milikannya.


“Insya-Allah kita akan menambah peruntukan kepada yayasan ini dari semasa ke semasa,’’ ujar beliau.
Sementara itu, beliau berkata, pengenalan cukai barang dan perkhidmatan (GST) membolehkan kerajaan meluaskan punca kewa­ngan agar tidak hanya bergantung kepada sumber minyak dan gas yang mengalami kejatuhan harga kebelakangan ini.

“GST diperkenalkan untuk kebaikan kita bersama. Cuma kebaikan itu orang tidak nampak dan dilempar pelbagai tuduhan. Tujuan kita murni demi kebajikan rakyat,’’ katanya.