Thursday, June 25, 2015

PAS SELANGOR KEKAL TAAT PADA MB

Adun PAS Selangor diarah kekal taat pada MB. 

Silat Hadi Awang dengan DAP makin menarik dan membelit. Apa tindakan DAP pula selepas ini ?




SHAH ALAM - Kesemua Adun Pas di Selangor diarahkan supaya terus setia bersama Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali bagi mengekalkan kedudukan kerajaan negeri yang memerintah pada hari ini.

Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam satu kenyataan berkata, Pas Pusat sudah pun memberi arahan kepada Pesuruhjaya Pas negeri, Datuk Iskandar Abdul Samad untuk menyampaikan perkara itu kepada semua Adun Pas di negeri ini.

"Ingin saya pertegaskan bahawa, kerjasama Pas dengan komponen dalam PR di Selangor adalah dalam kerangka untuk mempertahankan kerajaan yang dibina bersama melalui kepercayaan rakyat," katanya.

Abdul Hadi dalam kenyataan media sama turut menegaskan “Pas akan terus dan tetap melaksanakan tahaluf siyasi bersama Pakatan Rakyat, selagi mana ianya tidak bercanggah dengan panduan al-Quran dan as-Sunnah”; dan juga nyata termaktub dalam Perlembagan Pas [Fasal 7(1)] bahawa hukum tertinggi dalam perlembagaan Pas ialah al-Quran, as-Sunnah, Ijma’ ulama dan Qiyas".

"Pas sesungguhnya menyedari bahawa iklim kerjasama yang dibina dalam PR pada waktu ini adalah pada tahap yang paling mencabar dan berdepan dengan perbezaan prinsip yang memerlukan penyelesaian yang adil bagi memenuhi aspirasi seluruh rakyat yang mahukan perubahan.

“Bagi Pas, muafakat asal yang dibina adalah kebersamaan dalam perkara yang dipersetujui dan menjadi kepentingan bersama, manakala dalam masa yang sama mengiktiraf kewujudan perbezaan pandangan dan prinsip perjuangan parti masing-masing di kalangan parti dalam PR," tegas Abdul Hadi lagi.

DAP Selangor baru-baru ini menyarankan pembentukan kerajaan gabungan di negeri Selangor sebagai alternatif sekiranya Pas bertindak menarik diri daripada memberi sokongan kepada kepimpinan Azmin.