Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua berkata, perkara itu perlu diberi perhatian oleh Mohamed Azmin berikutan tindakan Pas memutuskan tahaluf siyasi dengan DAP pada muktamar lalu.
Kenyataan Tony itu adalah selaras dengan kenyataan Ahli Parlimen Pas, Datuk Mahfuz Omar yang turut menyarankan perkara sama.
“Saya setuju jika Pas mahu Mohamed Azmin memilih parti mana yang beliau mahu. DAP juga berkongsi pandangan sama. Jadi, saya serahkan kepada Azmin untuk tentukan.
“DAP akan bercakap dengan Mohamed Azmin untuk melihat kedudukannya,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.
Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara itu berkata, amat mustahil untuk DAP, Pas dan PKR mengadakan mesyuarat bagi membincangkan kedudukan dalam kerajaan negeri itu.
“Bagaimana anda mahu kita berdamai? Melainkan Pas mengadakan muktamar lain dan menarik balik resolusi memutuskan tahaluf siyasi dengan DAP itu,” katanya.
Beliau berkata, konflik dalaman pakatan pembangkang itu tidak seharusnya berterusan kerana dikhuatiri akan menjejaskan peluang kemenangan gabungan parti pembangkang berkenaan dalam pilihan raya akan datang.
Muktamar yang berlangsung minggu lepas menerima usul tanpa bahas Dewan Ulama memutuskan hubungan dan kerjasama politik dengan DAP.