Ketua Setiausaha Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Datuk Seri Alias Ahmad berkata, sebanyak 35 kes pula sedang dalam peringkat akhir siasatan dan akan dihantar kepada Jabatan Peguam Negara dalam masa terdekat.
Dalam sidang akhbar berkaitan GST di sini hari ini, beliau berkata, lapan kes telah mendapat persetujuan Jabatan Peguam Negara untuk pendakwaan termasuk satu kes yang telah dihadapkan ke mahkamah di Shah Alam semalam.
Semalam, Trendcell Sdn. Bhd. yang memiliki Jaya Grocer Supermarket menjadi syarikat pertama di Malaysia dihadapkan ke mahkamah mengikut Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 atas dakwaan menaikkan margin keuntungan penjualan sekilogram kacang bendi sebanyak RM6.60, iaitu daripada RM3.10 pada 1 Januari lepas kepada RM9.70 pada 3 Januari hingga 20 Januari lepas di premisnya di Bangi.
Alias berkata, Ops Catut yang dilaksanakan KPDNKK melibatkan semua jenis perniagaan di kawasan bandar dan luar bandar dan tidak hanya melibatkan beberapa kawasan seperti yang didakwa sesetengah pihak. - BERNAMA