Wednesday, March 4, 2015

BELUM NAMPAK SIAPA YANG BERANI LAWAN PRESIDEN

SHAH ALAM – Dewan Ulama Pas Pusat tidak melihat keseriusan dan keikhlasan pihak tertentu dalam Pas untuk mencabar jawatan presiden parti itu pada pemilihan akan datang sebaliknya melihat tujuan mereka hanya untuk mengeruhkan keadaan.

Pemangku Naib Ketuanya, Datuk Nik Muhammad Zawawi Salleh mendakwa, individu terbabit adalah mereka yang tidak jujur dan ikhlas dalam perjuangan Islam malah tidak boleh bertahan lama hingga terpaksa mengeluarkan kenyataan yang bertentangan dengan Perlembagaan parti.

“Saya merasakan bahawa kenyataan yang dibuat semata-mata untuk mengeruhkan suasana, bukan dia serius hendak bertanding, saya rasa tidak.

"Setakat ini, saya tidak nampak orang yang hendak bertanding melawan jawatan presiden dan saya sifatkan mereka yang mengeluarkan kenyataan supaya orang (Datuk Seri Abdul Hadi Awang) berundur ini sebagai ‘tidak senonoh’ dalam perjuangan Islam,” katanya kepada Sinar Online, hari ini.

Beliau berkata demikian mempertahankan kenyataan Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali semalam yang yakin Abdul Hadi akan kekal sebagai Presiden Pas tanpa bertanding pada pemilihan parti itu, Jun ini.

Mustafa berkata setakat ini, tidak ada mana-mana pemimpin dalam parti itu yang akan mencabar Abdul Hadi.

Ketika ditanya mengenai penerimaan ulama terhadap bakal presiden Pas yang baharu dari golongan bukan ulama, beliau bagaimanapun menegaskan jawatan itu perlu diisi oleh ulama sahaja dan ia menjadi polisi parti itu sejak 1983.

“Perkara ini (presiden mesti ulama) telah diputuskan dalam muktamar sebelum ini, zaman Datuk Mustafa Ali sebagai ketua pemuda Pas pusat, dia mencadangkan satu gagasan kepimpinan ulama.

“Jadi perkara itu dipersetujui sebulat suara dan kekal sehingga ke hari ini, itu adalah keputusan muktamar yang menjadi keputusan paling penting,” ujarnya.

Bagaimanapun katanya lagi, bagi jawatan nombor dua dalam Pas itu pula, ia boleh diisi dan ditandingi oleh sesiapa sahaja dan tidak terhad kepada golongan ulama sahaja.

“Tidak (pindaan syarat ulama tandingi timbalan presiden), pindaan itu kita tidak akan buat, itu bebas, kita kena seimbangkan (antara ulama, profesional dan aktivis).

“Dalam waktu sama kena ingat bahawa akal itu tidak boleh mengatasi nas al-Quran dan Hadis, nas itu menjadi sumber utama dalam Pas manakala akal itu sebagai pembantu sahaja, ia berjalan seiring,” katanya lagi.