Sunday, February 1, 2015

SKIM INSURANS MURID SEKOLAH DITERUSKAN




KUALA LUMPUR (19 Disember 2014) – Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (‘S.P.A.D’ atau ‘Suruhanjaya’) ingin mengumumkan bahawa murid-murid sekolah yang menaiki bas sekolah berdaftar, akan terus menikmati perlindungan Skim Insurans Murid Sekolah pada 2015. Skim insurans ini telah diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Perdana Menteri semasa sesi pembentangan Bajet 2013 di mana kerajaan telah melantik S.P.A.D. sebagai agensi penyelaras skim ini. Pihak kerajaan telah meluluskan penerusan perlaksanaan skim insurans ini berdasarkan kepada keperluan dan sambutan baik oleh ibubapa, pengurusan sekolah dan pengusaha bas sekolah. Skim insurans ini merupakan suatu langkah SPAD dalam mempertingkatkan perkhidmatan industri bas sekolah dan pada masa yang sama membantu murid-murid dan keluarga murid bagi menghadapi keadaan yang tidak diduga.

Untuk makluman juga, bantuan khas juga telah diberikan kepada pengusaha bas sekolah yang ingin menggantikan bas sekolah lama kepada bas baru melalui Skim Penggantian Bas Sekolah yang akan berakhir pada 31 Disember 2014. Sehingga kini sebanyak 200 pengendali bas sekolah telah berjaya mendapat bantuan tersebut.
S.P.A.D. juga ingin mengambil kesempatan ini, menjelang musim balik ke sekolah, untuk mengesyorkan agar ibubapa memilih pengendali bas sekolah yang berdaftar bagi keselamatan anak-anak. Suruhanjaya juga mengalakkan pengendali bas sekolah yang masih belum berdaftar dengan S. P.A.D., supaya tampil ke hadapan untuk mengesahkan perkhidmatan mereka dan dengan itu melayakkan mereka bagi Skim Insurans Murid Sekolah dan manafaat-manafaat lain.

Maklumat tambahan:
SKIM INSURANS MURID SEKOLAH
  • Skim Insurans Murid Sekolah memberi perlindungan insurans kemalangan diri, hilang upaya kekal dan kematian kepada semua murid sekolah yang menggunakan perkhidmatan bas sekolah yang berdaftar dengan S.P.A.D. bagi Semenanjung Malaysia dan LPKP bagi Sabah & Sarawak.
  • Inisiatif ini memberi manfaat kepada hampir 2 juta murid-murid sekolah dengan perlindungan maksimum sebanyak RM 100 ribu.
  • Antara bentuk perlindungan insurans yang diberikan adalah yang melibatkan kematian akibat kemalangan (RM100,000), hilang keupayaan kekal (sehingga RM100,000), bayaran perubatan sehingga RM3,000, manfaat hospital (RM100 sehari sehingga 30 hari) dan khairat kematian (RM2,500).
  • Skim perlindungan ini juga meliputi kegunaan bas sekolah untuk aktiviti-aktiviti luar seperti rombongan, lawatan sambil belajar dan sebarang kurikulum tambahan yang disahkan oleh pihak sekolah.
  • Sejak Januari 2013 hingga kini, 10 kes tuntutan telah direkodkan. Jumlah tuntutan adalah sebanyak RM 316,612.10. Skim ini telah membantu keluarga, waris dan murid-murid; seperti dalam kes Mohd. Sanusi Bin Ismail, murid SMK Seri Gadong. Bantuan telah diberikan bagi membolehkan pembedahan dilakukan untuk menyelamatkan kakinya yang tinggal.
SKIM PENGGANTIAN BAS SEKOLAH
  • Skim Penggantian Bas Sekolah adalah satu skim pinjaman dengan bantuan khas kepada pengusaha bas sekolah yang ingin menggantikan bas sekolah lama kepada bas baru.
  • Pihak kerajaan telah menyediakan bantuan rebet tunai sebanyak RM10,000 dan pemberian subsidi kepada kadar faedah tahunan sebanyak 2%.
  • Inisiatif yang diuruskan oleh Bank Simpanan Nasional turut menawarkan pinjaman sehingga RM 150,000 dan tempoh pinjaman sehingga 9 tahun.
  • Sebanyak 220 permohonan telah diterima oleh BSN dengan 200 permohonan diluluskan, 20 ditolak (pemohon telah diisytiharkan bankrap).
  • Skim ini akan berakhir pada 31 Disember 2014 dan pihak BSN masih menerima permohonan yang dihantar sebelum 31 Disember 2014.

No comments:

Post a Comment