Friday, April 26, 2013

MATI DITEMBAK SELEPAS BUNUH 5 MANGSA


Seorang lelaki mati ditembak pasukan polis selepas dipercayai membunuh lima orang di sebuah pekan kecil di Amerika Syarikat (AS), kelmarin.

Suspek pembunuhan tersebut, Rick Odell Smith, 43, mati selepas terlibat dalam kejadian berbalas tembakan dengan pihak polis di Manchester, Illinois.

Pegawai polis Illinois, Leftenan Kolonel Todd Kilby berkata, mangsa yang terbunuh merupakan Joanne Sinclair, 65; Brittany Luark, 22; Roy Ralston; Nolan Ralston, 5, dan Bradley Ralston, 1.

Katanya, kesemua mangsa ditemui mati dalam sebuah rumah kira-kira pukul 4.30 pagi kelmarin dan pihak polis mendapat maklumat saksi beberapa jam kemudian yang mengatakan Smith memandu sebuah kereta putih dalam keadaan tergesa-gesa meninggalkan rumah terbabit.

"Beberapa anggota polis dikerah mengejar suspek dan berlaku kejadian tembak-menembak menyebabkan Smith mengalami kecederaan.

"Suspek meninggal dunia semasa dalam perjalanan ke hospital," jelasnya.
Menurut Kilby, motif pembunuhan masih disiasat namun beberapa jiran memaklumkan, suspek mengalami tekanan perasaan ekoran berdepan kes mahkamah untuk mendapatkan hak penjagaan anak perempuannya.

Seorang kanak-kanak perempuan, Kassidy Ralston, 6, turut dicederakan oleh Smith dilaporkan terselamat dan kini dirawat di hospital berdekatan.
Serangan terbaharu kelmarin berlaku hanya beberapa hari selepas kes pengeboman di Boston dan insiden letupan di sebuah kilang baja di Texas.

Kes pembunuhan terbabit meningkatkan kebimbangan orang awam di AS tentang tahap keselamatan berhubung isu penggunaan senjata api ekoran beberapa kes tembakan rambang berlaku di negara ini.

Antaranya insiden di Sekolah Rendah Sandy Hook, Newtown, pada Disember lalu yang mengakibatkan 27 maut termasuk kanak-kanak.