Tuesday, February 3, 2015

Mustafa mahu jumpa Anwar segera

Isu perbalahan antara pemimpin Pas dengan DAP berhubung pilihan raya pihak berkuasa tempatan (PBT) di Pulau Pinang bakal diselesaikan dalam satu pertemuan dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai 'orang tengah' dalam masa terdekat.

Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali berkata beliau sudah menyampaikan hasratnya itu untuk bertemu dengan Anwar namun beliau masih menunggu jawapan daripada ketua umum PKR itu.

"Semalam saya minta sekretariat PR untuk aturkan perjumpaan dengan Anwar dulu, kemudian baru putuskan selepas itu (tarikh mesyuarat Majlis Pimpinan PR).

"Saya kena terang pada dia (Anwar) sebab dia mungkin tidak ikut (isu PBT) sepenuhnya, dia pun sibuk juga, jadi saya kena terang pada dia dulu, tengok lah bagaimana nanti," katanya kepada Sinar Online, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Anwar semalam yang merayu pemimpin Pas itu dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng supaya berhenti menyerang antara satu sama lain.

Insiden itu berlaku apabila Mustafa dan Guan Eng secara terbuka bertelagah berhubung isu pelaksanaan pilihan raya PBT di Pulau Pinang.

Mengulas lanjut, Mustafa berkata lagi, beliau mahu bertemu Anwar secara empat mata tanpa melibatkan pihak lain dan beliau meminta pertemuan dibuat sebelum 10 Februari ini.

"Kali ini saya hendak bersemuka dengan Anwar seorang saja sahaja," ujarnya.

Ditanya mengenai tarikh mesyuarat Majlis Pimpinan PR, beliau berkata pertemuan itu turut membincangkan mengenai perkara tersebut.

"Ya, (sebelum 10 Februari buat mesyuarat), kita hormati permintaan dia," katanya lagi.

No comments:

Post a Comment