Sunday, January 18, 2015

PONDOK - INSTITUSI PENDIDIKAN TERAWAL BANGSA MELAYU

Apabila kita membincangkan pendidikan Islam di Malaysia khususnya institusi pondok, tergambar kepada kita betapa hebat dan mengahnya cara tradisional ini dipimpin oleh Tok-Tok Guru yang telah diakui kehebatan mereka. Institusi ini sebenarnya telah memberi sumbangan yang besar kepada perkembangan anak bangsa dan telah melahirkan  tokoh-tokoh agamawan yang bertakwa dan tegas dalam mempertahankan akidah agama, maruah bangsa dan kedaulatan tanahair. Oleh itu wajarlah institusi ini bukan sahaja dipertahankan bahkan seharusnya diperkasakan agar terus menjadi wadah pendidikan Islam.

Institusi pendidikan pondok mula diasaskan di Patani yang terletak di utara Semenanjung. Pada ketika itu ulama tersohornya dikenali sebagai Syeikh Daud al-Fatani. Manakala sistem pendidikan pondok di Tanah Melayu bermula sejak awal kurun ke-19 atau akhir kurun ke-18 dengan pengaruh yang di bawa oleh patani, Sumatera, Jawa dan Acheh. Kaedah pembelajaran pada ketika itu mengikut kaedah yang dijalankan di Masjidil Haram di Mekah. Namun pendidikan tidak formal di Tanah Melayu dipercayai telah berkembang bersama – sama dengan penyebaran agama Islam pada abad 14. Pedagang – pedagang Arab Islam telah menyebarkan ilmu ke kawasan Asia Tenggara dan merupakan pelopor usaha pendidikan tidak formal dengan cara membina sekolah – sekolah pondok terutamanya di Negeri perlis, Kedah, Terengganu, Kelantan dan Brunei.


Di zaman permulaannya, pondok didirikan adalah untuk dijadikan satu tempat beribadat. Pengajian agama biasanya diadakan di surau atau masjid pada waktu malam dengan di hadiri oleh orang dewasa lelaki dan perempuan. Oleh itu, pondok didirikan atas usaha alim ulama dan masyarakat tempatan sebagai satu sistem pengajian yang lebih teratur. Pondok didirikan berhampiran rumah tuan guru dan dikekelilingi dengan asrama pelajar. Lokasi pondok sering ditemui di kawasan berhampiran pantai dan sungai dan kebiasaannya dibina daripada papan dan daun nipah atau rumbia. Kemudahan kelas hanya terdiri daripada papan dan qalam manakala meja dan bangku pula dibuat sendiri oleh para pelajar. Selain menuntut ilmu, para pelajar akan menjalankan kerja seperti bertani, menangkap ikan, mencari kayu api, mengangkat air bagi membantu tuan guru menyara kehidupan mereka. Kurikulum pondok ini lebih kepada pembelajaran tidak formal dan melatih mereka belajar untuk hidup . Para pelajar akan diajar ilmu Fiqah, Tauhid dan al-Quran dengan mengunakan kaedah pembelajaran hafalan. Buku – buku rujukan terdiri daripada kitab – kitab al-Quran, Hadis, Fiqah, Tauhid dan Tasawuf. Waktu pembelajaran biasanya pada waktu subuh, petang dan malam. Kebiasaan pengajian di pondok ini tidak menetapkan bayaran yuran tetapi pelajar dari keluarga berada digalakkan menghulurkan bantuan dan derma manakala pelajar yang kurang mampu boleh membawa buah tangan seperti beras, pakaian untuk guru sebagai penghormatan.


Antara institusi pengajian pondok terawal di Tanah Melayu ialah Kelantan. Kelantan dipercayai di antara negeri yang terawal mewujudkan sistem pondok di Tanah Melayu. pondok pertama yang didirikan di Kelantan ialah Pondok Tok Pulai Chodong pada tahun 1820 oleh Tuan Guru Haji Abdul samad bin Abdullah Pada sekitar tahun 1900, pendidikan pondok mendapat persaingan dari sekolah berbentuk sekular yang di taja oleh British di mana British menyatakan sekolah pondok adalah primitif kerana mata pelajarannya tidak sama dengan sekolah Inggeris. Walau bagaimanapun, usaha British tidak begitu berjaya. Pada tahun 1909 sehingga Perang Dunia Kedua sistem pengajian pondok berkembang pesat dan antara tahun 1910 hingga 1945 boleh dikatakan zaman keemasan dalam perkembangan pengajian pondok dan turut melahirkan ulama – ulama terkenal.  Walaupun sistem pondok masih mendpat sambutan dalam tahun 1950-1970an, hakikatnya selepas tahun 1945, ia merupakan zaman kemalapan selepas kedatangan Jepun. Keadaan ini berterusan hingga negara mencapai kemerdekaan.


 Perubahan – perubahan dalam perkembangan pendidikan Islam juga merupakan sebab utama yang membawa ke[ada kemunduran institusi pondok. Ini kerana pada masa itu telah muncul sekolah – sekolah Agama (Arab) Majlis Agama Islam yang menggunakan bahasa Arab sebagai bahasa pengantar yang lebih teratur dan selesa.

Institusi pendidikan pondok telah banyak memberi sumbangan kepada sistem pendidikan di Malaysia antaranya ialah melahirkan ulama – ulama yang berwibawa seperti tokoh Syed Muhammad bin Zainal (Terengganu), Tuk Kenali (Kelantan) dan Haji Muhammad Taib Mufti (Kedah).  Di Kelantan contohnya, para pemimpin negeri atau peringkat kawasan kebanyakkan pemimpin dari para ahli ulama yang berasal dari pendidikan pondok.  Seterusnya pengajian ini juga telah melahirkan para pelajar yang berakhlak mulia dan berdisiplin dalam kehidupan seharian. Selain itu ia juga telah melahirkan ramai cerdik pandai yang terkenal di rantau ini serta dapat membimbing masyarakat setempat.



















           

No comments:

Post a Comment