Thursday, January 29, 2015

DAP ( LGE) TAKUT DENGAN STOPA ALI



"PR - RETAK MENANTI BELAH!"

Kenyataan media Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP dan Ahli Parlimen Seremban Loke Siew Fook pada 29 Januari 2015 di Kuala Lumpur.

Cabaran Datuk Mustafa Ali terhadap Lim Guan Eng untuk berdebat - Bincang dan selesaikan isu dalam Majlis Pimpinan Tertinggi Pakatan Rakyat.

Saya diarahkan oleh Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng untuk membalas kenyataan dan cabaran Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali bagi pihak DAP.

Semalam, Datuk Mustafa Ali dalam sidang akhbarnya telah mencabar Lim Guan Eng untuk berdebat berkenaan dengan isu hudud dan pilihan raya kerajaan tempatan secara terbuka.

Pertamanya, saya ingin menegaskan bahawa DAP berpendirian adalah lebih wajar untuk  Datuk Mustafa Ali memastikan pimpinan tertinggi PAS termasuk Presiden PAS menghadiri Majlis Pimpinan Tertinggi Pakatan Rakyat untuk membincangkan isu-isu tersebut daripada debat terbuka.

Bukankah forum dalam Majlis Pimpinan Tertinggi Pakatan Rakyat adalah lebih sesuai berbanding debat memandangkan isu yang timbul melibatkan pendirian parti masing-masing dan bukannya soal individu? Ini perlu diselesaikan dalam mesyuarat bersama dan debat merupakan pilihan terakhir untuk membincangkan isu tersebut.

Keduanya, pendekatan yang diambil oleh Datuk Mustafa Ali untuk mencabar Setiausaha Agung DAP untuk berdebat seolah-olah ingin "membakar jambatan" dengan DAP dan menganggap DAP sebagai musuh politik PAS dan bukannya rakan sekutu dalam Pakatan Rakyat. Adakah ini taktik permulaan untuk memecahkan Pakatan Rakyat dari dalam? Adakah cabaran beliau mewakili pendirian rasmi PAS?

Pihak DAP berasa amat tercabar oleh cabaran debat beliau kerana setahu saya beliau tidak pernah mencabar UMNO sekali pun untuk berdebat tetapi memilih untuk mencabar DAP.

Ketiganya, cabaran Datuk Mustafa Ali telah melanggari adat dan protokol parti bersekutu dalam Pakatan Rakyat. Ini kerana Datuk Mustafa Ali sendiri mengetahui bahawa jawatan Setiausaha Agung DAP adalah jawatan parti yang tertinggi dalam hierarki DAP tetapi jawatan Setiausaha Agung PAS adalah jawatan lantikan oleh Presiden PAS dan kedua-dua jawatan tersebut adalah tidak setaraf dalam struktur pimpinan Pakatan Rakyat walaupun namanya sama.

Saya ingin mengulangi pendirian DAP bahawa usaha Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk mengembalikan pilihan raya kerajaan tempatan adalah selari dengan Dasar Bersama Pakatan Rakyat yang dipersetujui oleh ketiga-tiga parti. Ini dapat dibuktikan dengan amat jelas melalui ayat yang tertera dalam Bab Demokrasi Telus dan Tulen, Dasar Bersama Pakatan Rakyat yang berbunyi;
"Mengukuhkan demokrasi kerajaan tempatan dan meningkatkan kecekapan serta keberkesanan sistem penyampaian dan menjamin ketelusan di semua peringkat secara demokratik."

Bukankah usaha memulihkan pilihan raya kerajaan tempatan selari dengan dasar mengukuhkan demokrasi kerajaan tempatan?

PAS perlu komited dan patuh kepada Dasar Bersama Pakatan Rakyat yang telah dimeterai bersama oleh Presiden PAS sendiri. Adalah amat tidak bertanggungjawab sekiranya Setiausaha Agung PAS menggunakan isu pilihan raya kerajaan tempatan untuk menyerang DAP kononnya kami juga melaksanakan sesuatu yang bertentangan dengan Dasar Bersama Pakatan Rakyat.

Itulah sebabnya saya menegaskan bahawa Datuk Mustafa Ali tidak boleh menyamakan isu hudud dengan pilihan raya kerajaan tempatan kerana DAP tidak pernah bersetuju dengan pelaksanaan hudud sejak hari pertama Pakatan Rakyat ditubuhkan dan tidak ada satu perkataan pun dalam Dasar Bersama Pakatan Rakyat yang menyentuh berkenaan dengan hudud tetapi PAS secara prinsipnya telah bersetuju untuk "mengukuhkan demokrasi kerajaan tempatan".

Apakah Setiausaha Agung PAS ingin memberikan gambaran bahawa PAS sebenarnya hanya bersetuju dengan pengukuhan demokrasi sebelum PRU13 untuk memenangi sokongan pengundi tetapi hakikatnya PAS tidak bersedia untuk memberikan komitmen mengukuhkan demokrasi akar umbi?


No comments:

Post a Comment