Thursday, September 4, 2014

Jangan ingat PAS sahaja yang rugi


SUBKY LATIF
TS Mohamad Mohd Taib, ahli PAS dan bekas Menteri Besar Selangor mengingatkan kerugian besar bagi PAS kiranya keluar daripada Pakatan Rakyat dan saya yakin beliau pun tahu PAS tidak akan keluar daripada Pakatan kecuali dikeluarkan atau DAP dan PKR keluar daripada Pakatan Rakyat.
Yang rugi jika PAS terkeluar daripada Pakatan Rakyat atas apa sebab jua, bukan sekadar PAS tetapi semua kerabat kumpulan itu termasuk DAP malah Anwar Ibrahim sendiri.
Jangan fikir PAS saja akan hilang banyak kerusi, PKR juga akan hilang. PKR tidak boleh bergantung pada undi bukan Melayu saja. Sebahagian daripada undi Melayu masih bersama Umno. Jika berlaku pertandingan tiga penjuru antara BN, PAS dan PKR, jangan fikir PAS yang kalah bahkan PKR juga akan ada yang kalah.
DAP mungkin dapat pertahankan banyak kerusi kerana tidak bergantung kepada undi Melayu, tetapi ia akan hilang penyokong Melayu di seluruh negara. Melayu Umno memang tidak menyokong DAP. DAP boleh masuk kampung sekarang kerana ia di bawa oleh penyokong PAS. Kalau PAS sudah tidak bersamanya, mungkin ia terpaksa mengambil 50 tahun lagi untuk jadi parti Malaysian Malaysia.
Masa itu bukan saja Lim Kit Siang sudah mendiang, Guan Eng juga mendiang. Buat Brother Anwar, apa pula ruginya? Almarhum tanpa jadi Perdana Menteri. Yang ikut merasa sedih dengan gara-gara Langkah Kajang sekarang bukan penyokong Pakatan saja, Tun Musa Hitam yang ingin melihat demokrasi itu subur juga terkilan dengan cara politik Selangor ditangani.
Yang menggelapkan peluang Pakatan bukan kerana PAS akan keluar daripada Pakatan tetapi salah Langkah Kajang yang bukan saja sekadar bagi membuang Khalid Ibrahim tetapi sudah seperti hendak meminggirkan PAS daripada Pakatan.
PAS sudah menyedari perlunya sokongan Cina dan India sebelum Anwar Ibrahim masuk sekolah rendah. Pengasas dan pemimpin pertama PAS, Haji Ahmad Fuad telah mengingatkan PAS perlu mengambil kira kehadiran bukan Melayu dalam masyarakat Tanah Melayu. Prof. Zulkifli Mohamad, timbalan kepada Dr. Burhanuddin al-Hilmy telah mengusulkan kepada Muktamar PAS supaya membuka pintu PAS kepada keahlian bukan Melayu, tetapi tidak berjaya.
Sebelum ada Pakatan, semasa Anwar masih dalam Umno, PAS mencari jalan untuk berbaik dengan DAP tetapi tiada laluan. Bahkan ketika masyarakat Cina membuka mata pada PAS dan sedia bersamanya menjelang PRU 1986, PM Mahathir dan TPM Anwar telah mensabotaj pendekatan PAS hingga kecenderungan masyarakat Cina kepada PAS musnah.
PAS membawa Lim Kit Siang naik ke Markaz Tarbiyah PAS di Taman Melewar sebelum Anwar dan Wan Azizah masuk ke situ. Sebaik Anwar ditahan, mungkin semasa dia pengsan dipukul Ketua Polis Negara, PAS mengepalai pembentukan GERAK menganjurkan perhimpunan besar seluruh negara bersama DAP membantah kezaliman terhadap bekas TPM itu.
Demikianlah besarnya minat PAS kepada masyarakat bukan Islam sedang semua tahu bukan Islam tidak begitu cenderung kepada PAS kerana pejuangan Islamnya.
Terima kasih adanya Pakatan Rakyat, PAS suka kepada Cina dan India DAP, dan DAP suka kepada PAS kerana PAS dapat membawa pimpinan DAP jumpa orang Melayu di kampung-kampung. Jika DAP dan Cina tidak suka PAS, PAS tetap sukakan Cina dan India serta DAP, mungkin lebih daripada mereka suka kepada PAS.
Dari mula PAS tidak berganjak terhadap Pakatan. Cuma rakan Pakatan tidak membantu PAS untuk merongkai perbezaan yang sesungguhnya banyak. PAS tidak dapat beri lebih daripada yang dimampunya.