Thursday, July 31, 2014

PAS AKAN KALAH TERUK : TONY PUA

PRN MENGEJUT: PAS BOLEH LENYAP DARI SELANGOR KATA DAP......


Setelah mendiamkan diri dalam kemelut Menteri Besar Selangor, DAP negeri itu mengingatkan PAS bahawa ia berisiko “lenyap” sama sekali jika Pilihan Raya Negeri (PRN) mengejut diadakan di Selangor.

Pengerusinya, Tony Pua berkata Barisan Nasional (BN) berkemungkinan memenangi semula negeri itu namun kekalahan paling teruk akan ditanggung PAS jika parti itu berdegil mahu Tan Sri Abdul Khalid dikekalkan sebagai Menteri Besar.
"Desakan PAS untuk menyokong Khalid akan mendorong kepada pilihan raya mengejut, yang akhirnya akan menyebabkan PAS kalah besar atau pun kalah semua kerusi yang dimenanginya. Sebuah PRN kemungkinan besar hanya akan mengembalikan semula Selangor kepada Umno," kata Pua dalam satu kenyataan hari ini.
Survival Pakatan Rakyat menjadi tanda tanya selepas PAS menolak hasrat PKR mahukan presiden parti Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail mengganti Khalid sebagai MB.
PAS enggan akur kepada hak PKR menukar MB Selangor sungguhpun PKR menerajui kerajaan negeri itu sejak 2008.
Pua memberi amaran bahawa Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor kini berpecah dalam dua blok aitu BN-PAS yang menyokong Khalid dan PKR-DAP yang menentang beliau.
PKR mempunyai 14 kerusi DUN, DAP 15 manakala PAS mempunyai 15 dan BN 12 kerusi DUN.
"Dalam situasi sebegini, Khalid mungkin akan mendapat kebenaran daripada Sultan Selangor untuk mengadakan pilihan raya mengejut,” kata Pua.
Pua berkata, PKR dan DAP akan hilang tiga peratus undi Melayu dan 10 peratus undi bukan Melayu di tujuh daripada 30 kerusi DUN.
Menurut Pua, PKR akan kehilangan di Batu Tiga, Ijok, Kota Anggerik, Taman Medan dan Pelabuhan Klang, manakala DAP akan hilang kerusi Kuala Kubu Baru dan Sungai Pelek.
Keputsan itu akan menyaksikan PKR akan hanya tinggal 10 kerusi dan DAP 13 kerusi, mengikut ramalan Pua.
Namun di kawasan kubu kuat PAS yang mendapat sokongan Melayu, menurut Pua parti itu juga akan hilang tujuh daripada 15 kerusi DUN yang dimenanginya semasa Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) lalu.
Kerusi DUN terbabit adalah Sabak, Gombak Setia, Dusun Tua, Selat Kajang, Sijangkang, Morib dan Tanjong Sepat.
Manakala undi bukan Melayu terhadap PAS juga akan jatuh 25 peratus sekaligus akan menyebabkan PAS hilang kerusi Taman Templer, Hulu Kelang, Lembah Jaya, Seri Serdang dan Paya Jaras, menyebabkannya hanya tinggal tiga kerusi sahaja.
Bagaimanapun tiga kerusi di Chempaka, Bangi, dan Meru juga masih dianggap tidak selamat kerana undi Melayu merosot 5 peratus manakala bukan Melayu 30 peratus.
"Melihat kepada senario di atas, amat sukar untuk Pakatan Rakyat mempertahankan kuasa mereka di Selangor.
"Kemenangan besar akan menjadi milik Umno apabila dapat mengembalikan semula 30 kerusi dalam DUN," katanya.
"Kami harap rakan seperjuangan PAS akan berdiri teguh bersama Pakatan dan melaksanakan janji yang ditaburkan kepada rakyat serta mengelakkan impian rakyat dikecewakan sebelum sempat ditunaikan," katanya.
Pua memberikan scenario itu selepas Presiden Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Mursyidul Am Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat mahu Khalid dikekalkan meskipun beliau ditolak oleh PKR sebagai lemah dalam beberapa aspek untuk menguruskan Selangor. .
Keadaan lebih gentar apabila catatan WhatsApp AJK PAS Pusat membincangkan kemungkinan PAS keluar daripada Pakatan Rakyat dan bersekongkol dengan Umno-BN.
Pengarah Operasi Pusat Penyelidikan PAS (PPP) Dr Mohd Zuhdi Marzuki menafikan beliau mengambil pendirian sebegitu menerusi WhatsApp.
Sumber: ANTARAPOS.

No comments:

Post a Comment