Thursday, December 5, 2013

KITA MENYUKARKAN ISLAM YANG MUDAH



Malang sungguh dan sungguh amat malang , sepatutnya dengan menganuti Islam yang indah ini, semakin lama bukan Muslim hidup dalam kalangan masyarakat Muslim semakin harmoni perasaan mereka dan semakin menghormati kita, jika tidak pun menerima Islam. Hakikat realiti yang berlaku, semakin hari nampaknya unsur-unsur prasangka dan prejudis semakin berbuah antara mereka dan kita. Saya tidak berhasratlah berbicara tentang masyarakat Non Muslim dan Agenda mereka. Boleh jadi kita yang gagal menonjolkan wajah Islam yang mengangkat nilai dan penghormatan yang mana akhirnya gambaran Islam tidak begitu indah pada generasi mereka.

Dari sudut ekonomi dan kehidupan dunia, kita gagal menonjolkan nilai yang positif untuk mereka. Jika kita ingin berkempen agar bukan Muslim menghormati Islam dengan kejayaan kita dari sudut pembinaan ekonomi dan tamadun, nampaknya harapan itu amat kabur. Liku perjalanan untuk untuk sampai kepada kehebatan ekonomi itu bukannya singkat. Apa yang tinggal bagi kita ialah menonjolkan kehebatan ajaran Islam yang membentuk perilaku mulia umatnya. Masih ramai manusia di dunia ini yang terpengaruh dengan budi baik melebihi kekayaan harta.

Fikah dakwah kita terhadap Non Muslim tersasar jauh dari ajaran Islam itu sendiri. 
Ada saudara baru mengadu dia ingin menagut agama Islam dan menghubungi pihak yang berkenaan, pegawai agama berkenaan memberitahunya" Jika awak hendak masuk Islam hendaklah pada waktu pejabat, tunggu saya masuk pejabat dulu." Elok saja ditulis di depan pintu pejabatnya "waktu masuk Islam dari 8 pagi sehingga 5 petang". Tidak kukuh langsung dakwah kita. Jadi tidak hairanlah orang Non Muslim tidak berminat dengan Islam. Jika orang lain bekerja untuk agama mereka tanpa mengira waktu dan sentiasa bekorban, maka jangan hairanlah jika mereka mengatasi kita .