Monday, October 7, 2013

TAHALUF KALDAI PAS MENGANCAM UMAT MELAYU ISLAM


Tahaluf siyasi Pas gugat hak Melayu Islam


Norman Toha
KUALA LUMPUR 6 Okt. - Tahaluf siyasi antara Pas dengan DAP serta Parti Keadilan Rakyat (PKR) hanya memberi ruang kepada rakan-rakan sekutunya itu mengganggu-gugat kepentingan Melayu dan Islam yang selama ini terpelihara dalam Perlembagaan Persekutuan.
Malah, bekas Setiausaha Pas Selangor, Norman Toha berkata, kerjasama antara ketiga-tiga parti pembangkang itu hanya menampakkan kegagalan Pas sehingga menyebabkan kaum tertentu mempunyai kekuatan mendesak kerajaan mengubah beberapa asas persetujuan kemerdekaan yang selama ini menjadi teras Perlembagaan.
Sehubungan itu, beliau mahu Pas mengkaji semula kedudukannya dalam pakatan tersebut yang baginya patut dilakukan sebelum Pilihan Raya Umum Ke-13.
“Amat mengecewakan apabila terdapat kalangan ahli dan penyokong dalam pakatan yang mencerca dan mempermain-mainkan hak Melayu yang sudah tercatat dalam Perlembagaan.
“Antaranya menghina Raja-raja Melayu dan Islam dituduh tidak adil, namun pimpinan utama Pas tidak mampu untuk menempelak balas," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan bekas Ketua Dewan Pemuda Pas Pulau Pinang, Mohamed Hafiz Mohamed Nordin bahawa kerjasama antara Pas dengan sekutunya dalam pakatan pembangkang hanya merugikan orang Melayu dan menjadi liabiliti kepada parti itu sendiri.
Mohamed Hafiz berkata, Pas perlu sedar tentang sikap bermuka-muka DAP terhadap orang Melayu serta mengamalkan politik perkauman sempit.
Menurut Norman, konsep tahaluf siyasi yang pernah Rasulullah SAW lakukan bersama orang bukan Islam di Madinah adalah untuk memudahkan Islam diamal serta melindungi kepentingan umat daripada digugat.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut melahirkan kebimbangan terhadap kesediaan generasi Pas yang tidak memahami sejarah perjuangan sehingga bertindak meliberalkan matlamat perjuangan parti itu sendiri.
Sedangkan, katanya, Islam yang menjadi asas kehidupan dan kepentingan Melayu sepatutnya menjadi ‘tuan’ di bumi sendiri.