Saturday, October 5, 2013

Nasrudin belum buat keputusan

KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda Pas Pusat, Nasrudin Hassan, belum membuat keputusan sama ada mahu mempertahankan jawatannya atau bertanding di peringkat lebih tinggi pada Muktamar Pas ke-59, bulan hadapan.


Keputusan itu, katanya, akan diumumkan selepas 10 November ini, apabila semua mesyuarat agung Pemuda Pas di peringkat kawasan dan negeri berakhir.

Beliau mengambil sikap berdiam diri kerana enggan mengganggu konsentrasi Pemuda Pas bermesyuarat, selain mood parti  menghadapi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Sungai Limau di Kedah.

“Saya hendak fokus kepada soal pembinaan dan pembentukan organisasi, tambahan pula nak hadapi PRK Dun Sungai Limau,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau berkata demikian ketika mengulas mengenai pendiriannya sama ada mahu mempertahankan kedudukan atau bertanding untuk jawatan timbalan atau naib presiden.

Perasmian Muktamar Dewan Pemuda Pas Pusat akan berlangsung pada 20 hingga 21 November ini di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Nasrudin, yang juga Ahli Parlimen Temerloh berkata, beliau tidak mempunyai masalah sekiranya ada individu lain berhasrat merebut jawatan disandangnya.

“Itu hak mereka dan ia dibenarkan oleh perlembagaan parti. Begitu juga hak perwakilan untuk memilih. Saya tidak keberatan dan tiada halangan (jika ada orang mahu bertanding jawatan Ketua Pemuda Pas Pusat). Saya dengar ramai berhasrat untuk bertanding jawatan ini. Kalau ada (calon) lebih baik, (dari segi) adab dan akhlaknya, maka yang lebih baik itulah yang perwakilan mesti pilih,” katanya.

Nasrudin berkata, beliau berasa agak ganjil dengan pendekatan baru Pas membenarkan calon berkempen dengan mempromosi diri mereka secara bersendirian atau berkumpulan.

“Walaupun kita (ahli Pas) berlumba-lumba mencari kebaikan, tetapi pada saya, tak sampai lagi rasa tergamak untuk mempromosi diri sendiri. Kalau setakat menyatakan kesediaan bolehlah, selebihnya perwakilan nilailah melalui prestasi kita.

“Saya kurang selesa (promosi diri sendiri). Walaupun ada Facebook, saya tak pernah gunakannya untuk promosi diri. Cukup sekadar beri pandangan, tangani isu, laksanakan aktiviti dan amanah. Terserah kepada perwakilan. Kalau mereka tidak berpuas hati, mereka berhak menolak,” katanya.

Nasrudin antara nama disebut-sebut akan mendapat pencalonan untuk jawatan timbalan atau naib presiden kerana ketokohan beliau, selain mewakili kumpulan ulama muda.

No comments:

Post a Comment