Monday, October 21, 2013

LELAKI DITAHAN DIPERCAYAI BELI KERETA CURI



Tawau, 21 Okt - Polis Tawau menahan seorang lelaki dalam sekatan jalan raya di Jalan Bombalai-Merotai kerana disyaki membeli kenderaan pacuan empat roda yang dipercayai kenderaan curi. 

Ketua Polis Daerah Tawau ACP Awang Besar Dullah berkata lelaki berusia 26 tahun itu ditahan ketika dia dalam perjalanan dari pusat bandar ke Merotai kira-kira jam 10.25 pagi. 

"Lelaki itu mengaku baru membeli kenderaan berkenaan dan polis kini menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti sama ada dia terbabit dalam kes ini," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya semasa ditahan kenderaan itu bukan sahaja menggunakan cukai jalan palsu tetapi semakan lanjut juga mendapati nombor pendaftaran yang digunakan turut palsu.

Awang Besar berkata sesiapa yang didapati memiliki kenderaan curi boleh didakwa mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun dan boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.

Beliau menasihati orang ramai yang ingin membeli kereta supaya sentiasa memastikan kesahihan dokumen dan status mana-mana kenderaan sebelum membuat sebarang pembelian. - BERNAMA

No comments:

Post a Comment