Wednesday, September 4, 2013

DAP HIPOKRIT


Tindakan kerajaan DAP Pulau Pinang menghalang tayangan filem Tanda Putera di pawagam di negeri itu membuktikan sikap hipokrit parti itu yang kononnya memperjuangkan kebebasan media dan kebebasan bersuara, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (gambar).
Beliau bagaimanapun tidak terkejut dengan tindakan DAP kerana parti itu sememangnya hanya akan memperjuangkan sesuatu perkara apabila ia berkaitan dengan kepentingan mereka.
"Apabila ia sedikit sebanyak menyentuh sikap mereka maka inilah tindakan yang diambil. DAP ternyata melihat penayangan filem itu daripada sudut perkauman," katanya dalam kenyataan semalam.
Beliau mengulas tindakan kerajaan Pulau Pinang mengharamkan tayangan filem itu atas arahan Ketua Menterinya, Lim Guan Eng biarpun seluruh negara memulakan tayangan filem itu di pawagam seluruh negara, semalam.
Hishammuddin, yang juga Naib Presiden Umno, mempersoalkan adakah Penasihat DAP Lim Kit Siang, Lim Guan Eng serta pemimpin DAP lain sudah menonton filem tersebut sebelum membuat keputusan.
"Kenapa sebelum ini ada filem yang dilihat menghina orang Melayu tidak dipertikaikan oleh kerajaan Pulau Pinang," katanya.
Beliau berkata, apabila DAP menganggap filem itu berunsur perkauman, parti itulah yang sebenarnya bersikap demikian.
Tanda Putera adalah filem biografi sejarah arahan Datin Paduka Shuhaimi Baba berkisarkan mengenai perjuangan Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak Hussein dan timbalannya pada masa itu Tun Dr Ismail Abdul Rahman bersama-sama menyelesaikan rusuhan kaum pada 1969.
Hishamuddin turut menyifatkan tindakan DAP lebih bermotifkan politik dan cuba menutup sejarah sebenar negara.
Berikutan itu, beliau menyeru semua pihak supaya mengecam tindakan membuta tuli kerajaan DAP yang hanya akan membangkitkan kemarahan rakyat khususnya orang Melayu. 

No comments:

Post a Comment