Laporan polis terhadap Dr. Mazlan dipersoal.
KUALA LUMPUR 11 Ogos - Tindakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang hanya membuat laporan polis terhadap bekas calon Barisan Nasional (BN) Permatang Pauh, Dr. Mazlan Ismail berhubung pelbagai pendedahan menerusi 6,000 keping surat misteri melibatkannya dan Pengerusi DAP, Karpal Singh menimbulkan tanda tanya.
Ketua Penerangan Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Ruslan Kasim berkata, perkara itu sama sekali bertentangan dengan sikap Anwar yang kebiasaannya sepantas kilat menyaman mana- mana pihak yang mengaitkan beliau dalam sesuatu isu bagi menakut-nakutkan dan menutup mulut.
"Sehubungan itu, saya tertanya-tanya kenapa pula dalam isu ini, Anwar cuma membuat laporan polis sahaja dan tidak terus mengheret pihak-pihak berkenaan ke mahkamah?
"Laporan polis sahaja tidak cukup untuk membuktikan berita yang disebarluaskan itu sebagai tidak benar," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Baru-baru ini, Mazlan mendakwa menerima sebanyak 6,000 surat misteri bertajuk Bankleaks Anwar/Karpal yang menceritakan 'urus niaga' dua pemimpin pembangkang itu.
Namun, Anwar dan Karpal ketika membuat laporan polis berhubung pengedaran surat misteri tersebut menafikan dakwaan 'urus niaga' berkenaan sebaliknya mendakwa perkara itu fitnah UMNO.
Menurut Ruslan, surat misteri itu sedikit sebanyak membongkar tembelang pemimpin pembangkang yang selama ini hidup selesa dengan memerah keringat dan titik peluh rakyat untuk kepentingan peribadi masing-masing.
No comments:
Post a Comment