Wednesday, August 14, 2013
JIKA PM BUKAN MELAYU ?
Saya sebenarnya sudah malas untuk menulis dalam akhbar Utusan/Mingguan Malaysia.Keluar sahaja artikel, saya terus diserang. Tetapi bila akhbar ini diserang sedemikian rupa oleh ultra kiasu, malas atau tidak, terpaksalah juga saya tampil, bukan membela, tetapi berkata benar. Isu bukan Melayu sebagai Perdana Menteri bukan hari ini dibangkitkan oleh parti ultra kiasu. Tetapi sejak dahulu lagi. Cuba saudara pembaca buat kajian kenyataan demi kenyataan parti anti Melayu dan anti Islam ini sejak dahulu lagi. Bermula daripada ucapan-ucapan mereka dalam kempen pilihan raya umum (PRU) 1969, sehingga berlangsungnya PRU 1969 pada 10 Mei, diikuti perarakan kemenangan ultra kiasu di Kuala Lumpur 12 Mei, seterusnya membawa tercetusnya peristiwa 13 Mei 1969 dan selepas itu. Saya tidak ingin mengungkap lagi apa yang telah berlaku.Biarkan sejarah berlalu. Tetapi provokasi mereka amat melampau. Saya menyeru kepada semua pembaca meluangkan masa membaca buku sejarah Peristiwa 13 Mei 1969 dalam pelbagai versi. Antaranya tulisan Goh Cheng Teik (1971),Leon Comber (1985),Tunku Abdul Rahman (2007) dan lain-lain lagi.
Kata-kata seperti “Melayu sudah jatuh”,“Kuala Lumpur sekarang Cina punya”,“Ini negeri bukan Melayu punya”,“kita mahu halau orang Melayu” dan kata-kata seumpama itu adalah perkara biasa yang sering diulang-ulang sesama mereka hari ini. Saya bukan mahu mengapikan. Tetapi inilah bukti bagaimana sikap ultra kiasu tidak pernah berubah. Pada saya yang baik itu,baiklah. Perlu disokong. Namun,bila tiba bahagian mungkar,maka perlu ditolak.Hari ini mereka nampak lembut terhadap Islam dan Melayu sebab mereka inginkan kuasa. Apabila kuasa telah diperolehi nanti,rasalah akibatnya.Maklumlah mereka bukan sahaja mendapat sokongan dalaman,tetapi juga luaran,terutama pulau kecil di selatan tanahair yang sentiasa mengikuti perkembangan politik di negara kita. Menunggu masa sahaja untuk bertindak. Apakah kita masih buta? Pemimpin-pemimpin mereka selalu berulang alik ke sana mencari dan memberi maklumat. Ultra kiasu anak beranak itu cuba mempertahankan pengerusinya dengan merujuk kepada perlembagaan yang menyatakan bahawa jawatan PM terbuka kepada semua warganegara Malaysia. Namun, katanya, berdasarkan realiti politik selama ini, perdana menteri Malaysia akan tetap seorang Melayu.
Ya, saya tidak nafikan, tetapi jagalah adab-adab bila berbicara. Tidakkah kita tinggal di negara sebelah timur.Bila bercakap, berlapik kerana ini menyentuh sensitiviti orang lain. Sama seperti isu perkataan ‘pendatang’. Perkataan ini amat sensitif. Kenapa tidak ada lagi orang Melayu yang bercakap menggunakan perkataan ini? Kerana ingin menjaga hati orang lain. Inilah adab-adab yang perlu kita belajar. Saya cadangkan parti ultra kiasu ini menganjurkan kursus kepada ahli-ahlinya. Kalaupun tidak ramai boleh berbahasa Melayu atau masih gagap, sekurang-kurangnya belajar menjaga sensitiviti kaum lain, terutama bangsa majoriti. Isu bukan Melayu menjadi Perdana Menteri amat sensitif kepada Melayu kerana ini adalah tanahair tumpah darah mereka kerana setiap bangsa ada tempat tumpah darahnya. Apakah kita masih tidak sedar? Kecualilah kalau kita masih terpengaruh dengan pemimpin ultra kiasu Singapura yang sudah tua itu. Beliau pernah berkata: Mengikut sejarah katanya orang-oranng Melayu telah mula berhijrah ke Malaysia dalam bilangan yang kecil, cuma kira-kira 700 tahun yang lalu. Daripada 39 peratus orang Melayu di Malaysia hari ini, kira-kira satu pertiga daripada mereka adalah pendatang-pendatang baru seperti Setiausaha Agung Umno,Dato’ Syed Jaafar Albar, yang telah datang ke Tanah Melayu dari Indonesia sebelum perang, ketika berusia lebih daripada 30 tahun. Dari itu,adalah salah dan tidak logik bagi sesuatu kumpulan yang tertentu itu memikirkan bahawa mereka adalah lebih adil dipanggil rakyat Malaysia dan orang lain boleh menjadi rakyat Malaysia hanya dengan kegemaran mereka. Utra kiasu itu berkata lagi,beliau dapat menyusun-galur nenek moyangnya sehingga 100 tahun di Singapura. Beliau menolak pendapat bahawa orang-orang Melayu adalah Bumiputera Gugusan Pulau-Pulau Melayu (Lee Kuan Yew, 1965; Flether, 1969).
Saya yakin ramai ultra kiasu masih terpengaruh dengan kata-kata ultra kiasu tua itu. Saya tidak nampak Utusan bersikap tidak beretika dan tidak bertanggungjawab dalam melaporkan berita.Jika tidak benar,samanlah. Utusan tidak boleh asyik nak mengalah sahaja di kala orang lain terus menyerang. Mereka juga harus bertindak seperti akhbar Rocket, Suara Keadilan dan Harakah. Pemimpin ultra kiasu berkata,"Apabila DAP muncul di muka depan Utusan, ia pasti berita buruk/ masalah politik kerana ia gaya putar belit mereka." Persoalan saya, apakah Umno atau Barisan Nasional mendapat liputan yang baik di muka hadapan akhbar-akhbar mereka? Tidak juga. Jadi,sebenarnya, mengata orang dia yang lebih. Saya berpegang kepada prinsip,“kita tidak akan menyerang jika tidak diserang.Tetapi kita tidak akan menyerang, tanpa tentangan”.
Menurut ultra kiasu, Utusan sengaja mencipta "isu yang tidak wujud" demi kepentingan politik dan berkempen menakut-nakutkan orang ramai, seperti "fitnah" bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa jika Umno tumpas, Melayu akan hilang kuasa politik. Pada saya, bukti sudah jelas di depan mata, apa yang terjadi kepada Melayu di Singapura apabila ultra kiasu memegang kuasa. Terbelakah orang Melayu. Ada atau tidak, Melayu menjadi presiden Singapura selepas itu? Begitu juga kedudukan Melayu dalam jawatan berkaitan strategik dan keselamatam seperti perkhidmatan polis, tentera, pilot, imigresen dan sebagainya. Janganlah buat tidak tahu. Perancangan busuk ultra kiasu sudah termaktub dalam sejarah. Lepas ini mungkin ada yang berkata dalam blog saya,ada yang terasa nak murtad apabila membaca pandangan saya. Saya tidak boleh berbuat apa-apa. Saya hanya berkata benar. Jika ada yang mahu murtad disebabkan pandangan dan hak saya untuk bersuara, saya serahkan kepada Allah SWT. Tetapi saya tidak boleh berdiam diri melihat sahaja perancangan jahat orang lain.
Kenyataan balas pengerusi ultra kiasu dibuat semata-mata strategi untuk menarik orang Melayu menyertai mereka setelah Tunku Abdul Aziz keluar parti. Kepada orang Melayu berada dan yang menyertai parti ultra kiasu ini, insaflah. Banyak lagi parti lain yang matlamatnya lebih jelas daripada parti ini. Pada saya, jika benarpun dari segi undang-undang, tidak perlu bercakap, kerana ia menyakitkan orang lain. Apakah mungkin Singapura berperdanamenterikan Melayu walaupun perlembagaan negara tersebut tidak menetapkan bangsa Cina sahaja yang akan menjadi perdana menteri? Apakah peluang tersebut akan diberikan kepada Melayu? Jauh panggang dari api. Saya bukan membela Utusan atau membela Umno. Ada beberapa perkara yang saya tidak boleh bersetuju. Tetapi itu bukan bermakna kita boleh biarkan sahaja mereka diserang. Yang baik, sokonglah, yang salah, saya tolak. Tetapi ultra kiasu ini tidak sedemikian, termasuk ultra kiasu Melayu, buat baik, salah, buat jahat, lagi salah. Semua jadi serba salah. Inikah ciri orang bertamadun?
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment