Thursday, August 22, 2013

JANGAN CABAR ...!!!


PULAU PINANG 21 Ogos - Polis memberi amaran kepada semua pihak termasuk kumpulan kongsi gelap supaya tidak cuba mencabar pasukan keselamatan itu berikutan operasi membanteras jenayah secara besar-besaran yang sedang dilaksanakan.

Ketua Polis negeri, Datuk Abdul Rahim Hanafi (gambar) berkata, terdapat pihak cuba mempertikaikan tindakan pasukan itu menembak mati lima penjenayah dalam serbuan di sebuah pangsapuri di Jalan Pantai Jerejak kelmarin.

Beliau turut memaklumkan pihaknya telah mengenal pasti identiti mereka yang mencabar polis termasuk mempamerkan kain rentang dengan lambang kongsi gelap ketika upacara pengebumian lima penjenayah terbabit semalam.

"Kita memperoleh maklumat melalui risikan yang dilakukan termasuk rakaman video ketika mereka berarak semasa pengebumian itu.

"Selain itu, kita juga menerima beberapa laporan berkaitan perarakan terbabit dan tindakan lanjut akan diambil mengikut Seksyen 42 Akta Pertubuhan 1966," katanya.

Beliau ditemui pemberita semasa meninjau operasi sekatan jalan raya di Lebuh Farquhar sempena Op Cantas Khas, awal pagi ini.

Operasi lebih empat jam itu melibatkan pegawai dan anggota dari Jabatan Siasatan Jenayah di 12 lokasi di seluruh negeri ini.

Beliau berkata, polis akan menahan suspek yang dikehendaki termasuk individu yang pernah ditahan di bawah Ordinan Darurat (EO).

Menurut Abdul Rahim, sejak operasi berkenaan dilaksanakan di negeri ini Sabtu lalu, sebanyak 16 suspek yang terlibat dalam pelbagai jenayah berjaya ditahan di negeri ini.

"Kesemua mereka kini ditahan reman mengikut Akta Pencegahan Jenayah sebelum pihak polis melakukan pendakwaan di mahkamah," ujarnya.