Sunday, July 21, 2013

BLACK 505 GAGAL , BERSIH 4.0 GALANG GANTI


BERSIH 4.0 Untuk Tebus Kegagalan Black 505

DESAS-DESUS mengenai satu lagi demonstrasi jalanan bakal diadakan oleh puak pembangkang kini semakin jelas kedengaran. BERSIH 4.0 dikatakan sedang digerakkan sebagai membantah persempadanan semula sekiranya dilakukan tanpa pembersihan daftar pemilih.
Bersih 4.0
Ambiga, Tian Chua, Mahfuz, Tukar Tiub dan Malaysiakini kini sedang sibuk mempromosi BERSIH 4.0. Di masa yang sama, kita yakin mereka sedang mencongak-congak sambutan penyokong mereka bagi memastikan ‘bencana’ yang berlaku dalam Black505 tidak berulang.
Dalam Black505 yang sepatutnya menjadi kemuncak bantahan ‘rakyat’ terhadap keputusan PRU-13, Pakatan Rakyat hanya mampu menggerakkan sekitar 5,000 orang sahaja. Jumlah ini amatlah memalukan jika dibandingkan dengan sasaran 1 juta.
Lebih memalukan ialah selepas penyokong mereka berguling-guling di dalam jerebu membantah keputusan PRU-13, esoknya juga pemimpin pembangkang mengangkat sumpah menerima keputusan PRU yang sama.
Oleh yang demikian, Black505 dengan tidak semena-mena menjadi bahan ketawa seluruh rakyat Malaysia.
Mungkin kerana itu, pembangkang yang tidak berpuas hati, merasakan perlu untuk mengadakan demonstrasi lagi.
Mereka berazam untuk memastikan BERSIH 4.0 menyaksikan kehadiran yang lebih ramai. Dengan menggunakan alasan persempadanan semula dan dakwat kekal, BERSIH terus memburuk-burukan imej SPR.
Hairan sekali kenapa BERSIH tidak memanjangkan isu pengundi hantu dan ‘blackout’ dalam himpunan kali ini?
Walhal, di waktu PRU berjalan dan beberapa hari selepasnya, kedua-dua isu ini dimainkan dengan begitu giat siap dengan gambar dan bukti-bukti kotak-kotak undi yang ‘hilang’.
Tetapi, entah kenapa mereka-mereka yang mempunyai bukti-bukti ini tidak pula membuat laporan dan tidak pula memasukkannya dalam petisyen. Mungkin SPR sendiri perlu memulakan siasatan menjejaki semua yang menyebarkan ‘bukti-bukti’ ini bagi membersihkan namanya.
Sebagai pemerhati, kita melihat PR bakal berhadapan dengan tekanan hebat untuk memastikan BERSIH 4.0 dapat mengumpul lebih ramai peserta dari himpunan-himpunan yang lepas. Kali ini, tiada lagi alasan jerebu bagi menjustifikasi kehadiran yang memalukan.
Jika dilihat dari ‘mood’ peserta-peserta Black505, kita mendapati kebanyakan mereka bosan dan ramai juga yang pulang separuh jalan. Mereka juga kedengaran merungut kerana ceramah yang panjang serta membuang masa.
Dari rungutan itu, kita dapat memahami bahawa sebahagian besar dari mereka inginkan ‘aksi’ iaitu cabar-mencabar dan pertempuran dengan polis.
Manakala, sebahagian lagi pula benar-benar menjangkakan himpunan aman dan santai sehingga berani membawa anak-anak kecil menyertainya.
Di sini saja sudah cukup untuk membuktikan bahawa penyokong PR keliru dengan pendekatan yang ingin diambil oleh kepimpinan mereka.
Ada yang terpedaya bahawa PR benar-benar inginkan himpunan aman, dan ada yang berpegang kepada desakan untuk mencetuskan anarki.
Di penghujung drama komedi ‘slapstick’ Black505, kita melihat segelintir dari peserta telah memilih untuk ‘berjuang ke titisan darah terakhir’ dengan cuba merempuh Parlimen.
Tetapi akhirnya mereka membuat keputusan untuk berbaring saja di atas jalan beramai-ramai, mungkin cuba menghilangkan keletihan dan mengantuk akibat dihalau dari khemah jam 4.00 pagi oleh DBKL.
Dan apa yang tercatat dalam sejarah kini ialah Black505 berakhir dengan Anwar bergelak ketawa mesra dengan Perdana Menteri di dalam Parlimen.
Berdasarkan apa yang berlaku, bagaimana PR boleh yakin akan mendapat penyertaan yang lebih ramai dalam BERSIH 4.0? Dan agak-agak, berapa ramaikah agaknya penyokong mereka masih tidak sedar atau tidak serik menjadi bodoh?
Atau, berapa kali gandakah upah perlu dinaikkan bagi mendapatkan peserta yang sanggup membodohkan diri sekali lagi?

No comments:

Post a Comment