Tuesday, June 18, 2013

ANWAR BERTINDAK BIJAK ?

Tindakan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadu tentang ‘kecurangan’ PRU13 kepada Presiden Indonesia, Susilo Bambang Yudhoyono (SBY) dan bekas naib presiden Indonesia Jusuf Kalla (JK) merupakan tindakan yang tidak wajar.

Menurut Profesor Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan Universiti Sains Malaysia (USM), Prof Dr Ahmad Atory Hussain, tindakan Anwar tersebut hanya memperlihatkan ketidakmatangan beliau dalam berpolitik.

“Bagi saya kenapa perlu beliau,(Anwar) mengadu kepada Susilo dan Jusuf. Ini merupakan tindakan yang kurang sesuai, sebagai ahli politik yang berpengalaman beliau perlu matang,” katanya ketika dihubungi oleh Sinar Harian Online, hari ini.

Dalam hal ini, beliau menegaskan supaya Anwar menggunakan saluran dan perundangan yang sedia ada di negara kita, seandainya beliau masih belum lagi berpuas hati dengan perjalanan PRU13 pada 5 Mei lalu.

“Perkara ini, (PRU13) perlu diselesaikan di dalam negara, kita ada undang-undang dan saluran undang- undang.

"Jadi gunakan saluran tersebut. Kenapa perlu mengadu kepada pihak luar?" katanya lagi.

Memetik laporan media Indonesia, VIVAnews, Ketua Umum PKR itu membuat pengakuan itu dalam satu sidang media bersama pemberita Indonesia, semalam.

Anwar dilaporakan telah bertemu SBY dua hari lalu di Bali.

"Saya beritahu Presiden bahawa isu kecurangan belum selesai, tidak boleh dibiarkan begitu saja," dakwa Anwar.

Anwar berkata, SBY turut mengucapkan terima kasih kepadanya atas penjelasan mengenai perkembangan dalam pilihan raya di negara ini.

Sementara itu menurut pensyarah Sains Sosial dan Kemanusian Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Madya Dr. Fuad Mat Jali, tindakan Anwar ini merupakan tindakan yang kurang bijak yang dilakukan oleh ahli politik berpengalaman sepertinya.

“Bagi saya ini merupakan tindakan yang kurang bijak dan sangat tidak wajar,” katanya.

“Bagi saya mereka hanya mendengar sahaja, kerana kita sendiri tidak pernah masuk campur dalam urusan mereka. Oleh itu saya cadangkan Anwar menggunakan Parlimen yang akan bersidang ini untuk “mengadu” perkara ini,” katanya.

Mengulas perkara sama, beliau berkata, negara seperti Australia, Amerika Syarikat dan Iran turut bergelut dengan masalah tidak pula ‘mengadu’ mengenai masalah negara mereka kepada negara lain.

“Hairan dengan tindakan Anwar ini, sepatutnya beliau melihat kepada kesan tindakan tertsebut," katanya.

Oleh itu, beliau menyarankan Anwar supaya memperkasakan barisan ahli parlimen pembangkang, supaya rakyat nampak akan kehebatan mereka dalam memperjuangkan hak rakyat dan bukannya banyak bermain  politik.

“Anwar seharusnya memberhentikan perkara ini, masanya telah tiba untuk Anwar mengatur strategi bagi memperkasakan barisan pembangkang.

"Dengan cara ini saya rasa PRU14 nanti, mungkin PR akan lebih berjaya,” katanya.

Sementara itu, Setiausaha Kluster Politik, Keselematan dan hal Ehwal Antarabangsa Majlis Profesor Negara, Prof. Dr. Mansor Mohd Noor berkata, tindakan Anwar merupakan hak peribadi beliau.

“Itu hak beliau,” katanya ringkas.

Namun ujar beliau, perkara ini perlu diselesaikan didalam negara tanpa memerlukan campur tangan pihak asing.

"Selesai di dalam negara sudahlah, tidak perlu dibawa kepada orang luar,” katanya.

No comments:

Post a Comment