Sunday, May 12, 2013

USAHAKAN PERPADUAN PAS UMNO

UMNO dan PAS perlu bersatu dalam meneruskan agenda kedua-dua parti itu demi mengukuhkan kedudukan agama Islam dan bangsa Melayu di negara ini

Bekas Timbalan Presiden PAS, Nasharudin Mat Isa berkata, PAS yang telah memulakan usaha itu akhirnya tidak berkesampaian atas faktor perubahan landskap politik selepas Pilihan Raya Umum 13 (PRU13).

"Bagi saya penyatuan PAS dan UMNO mesti menjadi agenda berterusan.

"Cuma saya tidak boleh terima apabila ada yang hendak usahakan lagi penyatuan PAS dan UMNO ada yang mengatakan muka mereka hendak diludah... Ini ajaran agama mana?" katanya ketika berucap pada program Wacana Kepimpinan Survival Ummah di sini, hari ini.



Turut hadir pada majlis tersebut termasuklah tokoh pendidik, Tan Sri Dr Abdul Rahman Arshad, mantan hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Noor Abdullah dan Presiden Pertubuhan Pemikir Profesional Melayu Malaysia, Prof Datuk Dr Kamaruddin Kachar.

Beliau menegaskan, kedua-dua parti itu perlu menolak perbezaan pandangan demi menjayakan penyatuan atas perjuangan yang sama iaitu mempertahankan agama Islam dan bangsa Melayu .

"Soal penyatuan ini adakah hendak tunggu dah ranap baru nak bersatu seperti di dunia Islam lain.

"Selepas ranap, jadi ground zero baru ada kesedaran untuk perpaduan," katanya.

Selaku seorang yang pernah menduduki kepimpinan tertinggi PAS selama 10 tahun terdahulu, Nasharudin turut membuat kesimpulan terhadap situasi yang digambarkan di antara UMNO dan PAS.

"Berdasarkan pengalaman saya, boleh dirumuskan bahawa tidak semua UMNO itu iblis, dan tidak semua dalam PAS itu malaikat," katanya.

Mengenai cadangan post mortem PRU13, beliau berpandangan proses penyatuan di kalangan orang Melayu perlu dipersetujui sebelum ianya direalisasikan di peringkat nasional.

"Reconciliation di kalangan orang Melayu itu harus menjadi agenda utama," katanya.

Program bertajuk 'Post Mortem PRU13: Bicara Kepimpinan Dan Survival Ummah' dianjurkan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) dan Persatuan Alumni UiTM.

No comments:

Post a Comment