Sokongan padu Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak terhadap perjuangan rakyat Palestin mungkin antara punca musuh Islam luar negara mendoakan kekalahan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13), Ahad ini.
Ketua Penerangan BN, Datuk Ahmad Maslan berkata pelbagai bantuan kerajaan kepada rakyat Palestin juga boleh menjadi penyebab musuh Islam itu tidak mahu BN terus memerintah agar tiada lagi bantuan sampai kepada negara yang ditindas Israel itu.
Katanya, musuh Islam itu berasa semakin kurang senang apabila kepimpinan Najib dilihat mampu menjadikan Malaysia sebagai sebuah negara Islam maju, sekaligus menutup helah mereka yang melabelkan negara Islam sebagai mundur.
"Saya tidak mengatakan ia pasti tapi mungkin itu boleh dijadikan sebab mengapa mereka tak suka pada kita.
"Jadi jika Malaysia berjaya di bawah pimpinan Najib, pasti agenda jahat mereka untuk terus menindas umat Islam gagal," katanya ketika ditemui pada satu majlis bersama rakyat di sini hari ini.
Satu video klip bertajuk 'Malaysia Prophecy From Jerusalem' berdurasi 16 minit itu telah mula tersebar luas menerusi media sosial sejak 26 April lalu malah ia dilihat sebagai cubaan pihak luar untuk menimbulkan sentimen keagamaan terhadap rakyat di negara ini.
Ketika diminta mengulas mengenai kandungan video tersebut yang begitu mengetahui keadaan dalaman di negara ini, Ahmad berkata ia berikutan ada pemimpin pembangkang yang terlalu banyak menyokong kegiatan kumpulan Yahudi malah aktiviti politik pemimpin itu juga dibiayai kumpulan tersebut.
"Maklumat ini saya dapat daripada Anuar Shaari, bekas setiausaha sulit Datuk Seri Anwar Ibrahim dan maklumat itu adalah fakta malah pastinya beliau tahu secara terperinci," katanya.
Ahmad dalam pada itu menggesa umat Islam di negara ini untuk bangkit dan sedar dari angan-angan malah terus bersatu agar 'doa' pihak luar itu dapat ditepis bagi menjamin keharmonian negara sebagai sebuah negara Islam maju pada masa depan.- Bernama
No comments:
Post a Comment