Sunday, April 14, 2013

REHATLAH MUSTAFA


Pemimpin dan ahli-ahli Pas di peringkat umbi dijangka membuat desakan secara berterusan kepada Majlis Syura Ulama untuk membuat pendirian tegas berhubung kedudukan Datuk Mustafa Ali yang dikaitkan dengan rakaman video seks mirip wajah Setiausaha Agung Pas itu.

Malahan mereka juga menegaskan, buat sementara waktu ketika Pas sedang membuat persiapan rapi bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 adalah lebih baik, Mustafa digantung atau 'direhatkan' daripada menjalankan tugas-tugas parti.
Golongan itu membuat desakan tersebut kerana berpendapat, majlis syura perlu menyelamatkan imej dan maruah Pas yang kini mula dipersendakan dengan menjalankan siasatan rapi kes berkenaan.


"Langkah itu bukan sahaja boleh meredakan keadaan tetapi juga mampu memberi ketenangan kepada Mustafa untuk memikirkan langkah seterusnya. Ia juga bagi membolehkan Majlis Syura Ulama Pas menjalankan siasatan rapi tanpa menghadapi tekanan dan asakan daripada mana-mana pihak," kata satu sumber dalaman parti itu ketika dihubungi di sini hari ini.
Hari ini Utusan Malaysia melaporkan bagaimana tercetusnya desas-desus bahawa kepemimpinan Pas mula menghadapi tekanan daripada peringkat akar umbi agar Mustafa meletakkan jawatan.

Mengulas lanjut, sumber itu berkata, peranan majlis syura ketika ini amat penting kerana penyokong-penyokong Pas di peringkat akar umbi semakin tertekan apabila parti itu yang memperjuangkan Islam dikatakan tidak ada bezanya dengan Parti Keadilan Rakyat (PKR).
"Hanya siasatan yang rapi sahaja boleh menentukan sama ada individu dalam video itu Mustafa atau tidak dan ahli Pas berpandangan, siasatan itu juga penting bagi membersihkan nama Mustafa yang dikaitkan dengan kejadian itu," kata sumber itu lagi.


Sumber itu berkata, dalam menunjukkan sikap tegas Pas yang tidak akan berkompromi dengan sebarang perkara berkaitan moral majlis syura tidak boleh mendiamkan diri dan turut mengambil jalan pintas dengan menganggap semua itu fitnah.


"Menggantung sementara Mustafa adalah jalan terbaik, tetapi ia bukan bermaksud beliau bersalah tetapi bagi membolehkan siasatan secara telus dijalankan. Dan kita juga percaya sebagai seorang pemimpin yang meletakkan kepentingan parti mengatasi kepentingan peribadi dan sentiasa tegas mempertahankan kredibiliti Pas dalam pelbagai isu, Mustafa tidak akan membantah jika tindakan itu terpaksa dilakukan," kata sumber itu lagi.
Ditanya apakah reaksi ahli-ahli Pas di peringkat akar umbi berhubung kenyataan Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang menganggap video seks itu tohmahan dan fitnah yang tidak akan menjejaskan kredibiliti Mustafa selaku pemimpin Pas, sumber itu berkata, mereka benar-benar kecewa dengan reaksi Presiden Pas tersebut.


"Mereka berharap Pas janganlah bersikap seperti pemimpin-pemimpin PKR yang dijangkiti sindrom penafian dan seolah-olah mengambil mudah perkara berkaitan moral, sepatutnya siasatan dijalankan bagi menentukan kebenarannya.


"Isu ini bukan soal kecil tetapi ia melibatkan soal maruah pemimpin dan Pas, oleh itu kalaulah Majlis Syura dan kepimpinan Pas memandang remeh kontroversi ini, kita percaya ahli-ahli di peringkat umbi akan membuat pendirian menolak parti itu dalam pilihan raya umum nanti," kata sumber itu lagi.



No comments:

Post a Comment