Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pembangkang kini berdepan dengan masalah yang lebih besar untuk memuktamadkan pengagihan kerusi pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) berbanding 2008.
Timbalan Perdana Menteri berkata, hal ini kerana pembangkang merasakan kononnya mereka bakal membentuk kerajaan sehingga pemimpinnya berebut-rebut untuk menjadi Perdana Menteri.
Katanya, kecenderungan itu terserlah apabila mereka masih belum mencapai kata sepakat walaupun penamaan calon hanya tinggal enam hari lagi.
"Ada kawasan apabila mereka umum seorang calon daripada satu parti, parti lain akan marah kerana mereka tak diajak berbincang, kerusi yang asalnya milik parti pembangkang lain juga mereka ambil.
"Malahan bila ada pengumuman dibuat, kita dapat lihat reaksi akar umbi, penyokong parti mereka sendiri yang rasa tidak puas hati," katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Majlis Pemimpin Bersama Rakyat di pekarangan Masjid Darul Iman, Sadong Jaya yang dihadiri kira-kira 3,000 orang di sini hari ini.
Turut hadir ialah isteri beliau, Puan Sri Noorainee Abdul Rahman dan Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Alfred Jabu Numpang.
Mengenai peluang Barisan Nasional (BN) di negeri ini, Muhyiddin berkata, keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak pada 2011 menjadi cerminan sikap dan sokongan rakyat.
Bagaimanapun beliau berharap sokongan rakyat kepada BN di 31 buah kerusi Parlimen negeri ini lebih baik daripada PRN itu.
Katanya, keyakinan itu adalah kerana dalam tempoh dua tahun lepas khususnya, para pengundi negeri ini dan di seluruh negara dapat melihat dengan jelas hasil transformasi yang dilaksanakan kerajaan.
"Saya tidak mahu terlalu sombong membuat kenyataan tetapi saya percaya setiap kali saya turun ke Sarawak termasuk kali ini yang pertama selepas Parlimen dibubar dan manifesto BN dilancarkan, nampak rakyat gembira.
"Dari segi bahasa badan dan percakapan mereka yang bersemangat menunjukkan mereka nak menyokong BN, petanda positif ini amat menggalakkan," katanya.
No comments:
Post a Comment