Manifesto Barisan Nasional yang akan dilancarkan di Stadium Putra, Bukit Jalil, di sini Sabtu ini, berpaksikan agenda transformasi nasional dengan falsafah 1Malaysia, rakyat didahulukan dan pencapaian diutamakan.
Berbeza dengan manifesto sebelum ini, pada Pilihan Raya Umum Ke-13, BN buat kali pertama menampilkan manifesto Pusat selaku induk dan manifesto negeri secara serentak sebagai bukti komitmen parti itu melakukan pembaharuan secara menyeluruh.
Selain itu, manifesto untuk pilihan raya umum kali ini juga dilancarkan lebih awal berbanding kebiasaan, bertujuan membolehkan rakyat menghayati, memahami dan menilai sendiri komitmen kerajaan BN yang sudah terbukti sejak empat tahun lalu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak ketika mengumumkan perkara itu berkata, manifesto merupakan aku janji BN untuk terus menjayakan pembaharuan yang sesuai dengan matlamat memakmurkan ekonomi negara dan mensejahterakan rakyat.
Katanya, selain manifesto induk, bagi manifesto negeri misalnya, BN berjanji menyelesaikan masalah air di Selangor; pembinaan stadium baharu, masjid terbesar serta lebuh raya Kuala Krai-Kota Bharu di Kelantan jika negeri tersebut berjaya dirampas.
"Ini komitmen serius kerajaan BN dan kita telah membuktikan bila kita berjanji, kita tepati.
Manifesto itu nanti lambang janji baharu kepada rakyat," katanya selepas mempengerusikan dua mesyuarat iaitu Majlis Tertinggi UMNO dan Dewan Tertinggi BN di sini hari ini.
Najib yang juga Pengerusi BN berkata, beliau optimis dengan manifesto yang bakal dilancarkan nanti serta sokongan rakyat selepas pelbagai transformasi kerajaan dalam masa empat tahun, BN akan mendapat majoriti dua pertiga.
Katanya, sikap optimis tersebut konsisten sejak dahulu lagi tetapi semua pihak khususnya jentera BN perlu bekerja keras menyakinkan pengundi tentang agenda kerajaan memakmurkan ekonomi dan mensejahterakan rakyat serta harus mengurangkan masalah dalaman.
Mengenai mengapa tarikh 3 April 2013 dipilih sebagai 'hari keramat' untuk membubarkan Parlimen, Najib berkata, selaku ketua kerajaan, beliau memang berhasrat berbuat demikian hanya selepas genap empat tahun memerintah, selain menyifatkan itu tarikh elok.
"Kita perlu waktu untuk gubal, melaksana serta melihat hasil setiap apa yang kita rancangkan dan tarikh ini, tiada kaitan langsung dengan dakwaan kononnya kita takut kerana (kalau pembangkang berani) tiada satu pun negeri pembangkang dibubar lebih awal," katanya.
No comments:
Post a Comment