Friday, April 12, 2013

BOLEHKAH BERDAMAI DENGAN UMNO / BN ?


Soalan: Apa hukum orang Islam bersekongkol dengan orang bukan Islam untuk menjatuhkan kerajaan Islam yang sedia ada sedangkan belum pasti tentang corak pentadbirannya.
Jawapan:
Saya berikan jawapan yang bersifat umum. Mana-mana parti pun, orang Islam sepatutnya bersatu dengan orang Islam. Orang Islam sepatutnya mencari titik temu untuk saling berkasih sayang, bermaaf-maafan sesama kaum Muslimin. Allah menceritakan tentang sahabat-sahabat Nabi,
مُحَمَّدٌ رَسُولُ اللَّهِ وَالَّذِينَ مَعَهُ أَشِدَّاءُ عَلَى الْكُفَّارِ رُحَمَاءُ بَيْنَهُمْ
“Muhammad itu adalah utusan Allah dan orang-orang yang bersama dengannya adalah keras terhadap orang-orang kafir, tetapi berkasih sayang sesama mereka.” (surah Al-Fath: 29)
Tetapi kita pada hari ini sesama Islam berkeras, tidak mahu bersatu, macam-macam alasan diberi tetapi dalam masa yang sama bersama-sama dengan orang kafir, mendoakan kebaikan untuk mereka. Ini terbalik dan tidak kena caranya. Sepatutnya kita doakan kebaikan dan perpaduan sesama kaum Muslimin.
Mereka beralasan sejarah dulu menyebabkan kita tidak boleh bersatu. Cuba kita bayangkan, kalau Yahudi yang Allah sebut di dalam Al-Quran bahawa Allah tidak redha kepada mereka, dan mereka pun tidak akan redha kepada kaum Muslimin kecuali setelah kita mengikuti agama mereka  seperti yang terkandung di dalam Al-Quran,
وَلَن تَرْضَىٰ عَنكَ الْيَهُودُ وَلَا النَّصَارَىٰ حَتَّىٰ تَتَّبِعَ مِلَّتَهُمْ
“Orang-orang Yahudi dan Nasrani tidak akan redha kepada kamu sehingga kamu mengikuti agama mereka.” (surah Al-Baqarah, 2: 120)
Tetapi apabila mereka meminta perdamaian, Allah memerintahkan kepada Nabi,
وإن جنحوا للسلم فاجنح لها وتوكل على الله إنه هو السميع العليم
“Dan jika mereka condong kepada perdamaian, maka condonglah kepadanya dan bertawakkallah kepada Allah. Sesungguhnya Dialah Yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (surah Al Anfal, 8: 61)
Kalau Yahudi minta berdamai pun Allah suruh berdamai, apatah lagi kaum Muslimin. Lebih utama dan lebih wajib untuk kita berdamai. Ini tidak, kaum Muslimin minta berdamai tidak mahu. Saya merasa ganjil dengan sikap kaum yang seperti ini.
Ada satu amanat yang mengajak masyarakat menentang pemerintah. Amanat ini membawa unsur-unsur mengkafir pemerintah, mengajak masyarakat berjihad menentang pemerintah, mengatakan orang yang menentang pemerintah ini dikategorikan sebagai mati syahid.
Cuba kita bandingkan amanat ini dengan amanat Nabi, wasiat terakhir Nabi di dalam khutbatul wadaa’ di dalam Haji Wida’ Nabi ketika baginda berkhutbah. Amanat Nabi SAW memerintahkan agar taat kepada pemerintah walaupun hidungnya kemek, walaupun kepalanya seperti kismis. Ini yang Nabi sebut di dalam hadis, yakni walaupun orang itu buruk bagaimana pun, Nabi tetap suruh taat. Diriwayatkan dari Abu Dzar RA,
“Kekasihku (yakni Rasulullah) telah mewasiatkan kepadaku agar aku mendengar dan taat, walaupun yang berkuasa adalah bekas hamba yang terpotong hidungnya (cacat).” (riwayat Muslim)
Anas bin Malik RA berkata, Rasulullah SAW bersabda,
“Dengar dan taatilah walaupun yang dipilih sebagai pemerintah kalian adalah hamba dari Habasyah yang kepalanya seperti kismis.” (riwayat Al-Bukhari)
Bahkan sekiranya pemimpin itu zalim sekalipun, Nabi tetap memerintahkan supaya taat dalam hal yang makruf. Dikisahkan oleh ‘Adi bin Hatim RA,
Kami katakan: “Wahai Rasulullah, kami tidak bertanya tentang ketaatan kepada orang yang bertakwa, tetapi penguasa yang berbuat begini dan begitu –dia menyebutkan kejelekan-kejelekan–” Maka Rasulullah SAW bersabda: “Bertakwalah kepada Allah, dan dengarlah dan taatlah kalian kepadanya!”(riwayat Ibnu Abi ‘Ashim dalam As-Sunnah, dari jalan ‘Utsman bin Qais Al-Kindi, dari ayahnya, dari ‘Adi bin Hatim. Dishahihkan oleh Asy-Syaikh Al-Albani dalam Zhilalul Jannah)
Kalau dia zalim dan perangainya tidak elok, itu perhitungan di antara dia dengan Allah dan di antara dia dengan orang yang dia zalimi. Kita wajib taat dalam hal-hal kebaikan, tetapi sekiranya dia memerintahkan kita melakukan kemaksiatan dan kemungkaran, dalam hal tersebut hendaklah kita berlepas diri dari kemungkaran tersebut.
Berbeza wasiat Nabi dengan amanat seseorang ini. Kemudian Nabi SAW bersabda,
فَإِنَّ دِمَاءَكُمْ وَأَمْوَالَكُمْ وَأَعْرَاضَكُمْ بَيْنَكُمْ حَرَامٌ
“Sesungguhnya darah-darah kalian, harta benda dan maruah-maruah kalian adalah haram (dicemari) atas kalian.” (riwayat Al-Bukhari dan Muslim)
Haram membunuh sesama kaum Muslimin, haram merampas harta benda sesama kaum Muslimin, dan haram mencemar kehormatan atau maruah sesama kaum Muslimin. Ini perintah Nabi SAW. Tetapi amanat itu mengajak perang, kalau mati bererti mati syahid. Sangat bercanggah amanat Si Fulan ini dengan amanat Nabi SAW.
Sepatutnya kita mengajak masyarakat untuk taat pemimpin, sepatutnya kita mengajak masyarakat menasihati pemimpin, sepatutnya kita mengajak masyarakat mendoakan kebaikan bagi pemimpin agar terus mentadbir negara ini dengan baik, sepatutnya kita mengajak masyarakat mendoakan hidayah bagi pemimpin agar berpegang dengan Islam pada dirinya dan berpegang dengan Islam dalam mengurus tadbir negara, kerana jika baik pemimpin nescaya rakyat akan merasai kebaikannya, sebaliknya jika hancur pemimpin maka rakyat jugalah yang akan merasai kehancurannya.
Itu yang sepatutnya kita buat, namun kita melakukan yang sebaliknya, hal-hal yang tidak sepatutnya dipraktikkan oleh kaum Muslimin yang taat kepada Allah dan Rasul.
Wallaahua’lam.
Teks disediakan berdasarkan rakaman berikut:

No comments:

Post a Comment