Tuesday, April 9, 2013

APA HUBUNGAN MAJLIS SYURA DENGAN DAP ?


Majlis Syura Pas didesak untuk menyatakan pendirian mereka berkenaan  hubungan politik parti tersebut dengan parti DAP berdasarkan hukum Islam bagi memperjelaskan kekeliruan yang berlaku di kalangan rakyat dan juga ahli-ahli Pas sendiri.

Presiden Ikatan Kebajikan dan Dakwah Selangor (IKDDAS), Rosdi Long berkata, setakat ini, tidak ada sebarang kenyataan secara terbuka yang  dilakukan oleh Majlis Syura Ulama Pas menyatakan prinsip parti tersebut berkenaan hubungan bersama DAP.
“Saya minta agar Majlis Syura Ulama Pas buat kenyataan tentang apa hukumnya kerjasama Pas dengan DAP yang terang-terang menolak dan menentang Islam. Pas tidak boleh membiarkan isu ini diulas oleh kepimpinan yang bukan ahli dalamnya. Ini soal hukum Islam dan majlis ulama Pas adalah institusi yang tepat untuk memberikan penjelasan.
“Majlis Syura Ulama di dalam Pas sepatutnya tampil memberikan kenyataan apakah hukumnya bersekongkol dengan DAP, agar rakyat dapat menilai dengan lebih jelas, dan bukannya menyerahkan tugas ini kepada yang bukan ahlinya,” tegas beliau kepada UMNO Online di sini hari ini.
Sehubungan itu, beliau juga meminta agar isu ini tidak dipolitikkan umat Islam di negara ini perlu menilai perkara ini berdasarkan hukum-hukum Islam yang telah digariskan oleh Al Quran dan Sunnah.
“Umat Islam perlu menilai isu ini dari sudut pandangan Al Quran dan Sunnah, bukannya dari sudut politik. Apabila melibatkan soal hukum dalam agama, umat Islam perlu mengenepikan semangat kepartian  dan berbalik kepada apa yang telah digariskan di dalam Islam.
“Perkara ini penting kerana sepanjang kewujudan DAP di negara ini, parti tersebut telah secara terbuka dan konsisten menentang  secara terbuka sebarang usaha untuk mewujudkan atau menjadikan negara ini ditadbir berdasarkan hukum dan undang-undang Islam,” ujar beliau lagi.
Selain itu, beliau juga meminta agar pihak yang berwajib di negara ini membuat satu garis panduan bagaimana prinsip-prinsip yang termaktub di dalam Al Quran dalam hal-hal berkenaan hubungan antara umat Islam dan bukan Islam di negara ini.

No comments:

Post a Comment