Friday, March 8, 2013

TEMPOH SUDAH TAMAT


Pengganas sudah diberi tempoh

PARIT 7 Mac - Tiada pihak harus mempertikaikan tindakan pasukan keselamatan negara menggempur kumpulan pengganas bersenjata Sulu di Sabah kerana kerajaan telah memberikan mereka tempoh cukup lama untuk berundur.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, polisi kerajaan bukan mahu menembak mereka tetapi serangan terpaksa diambil setelah kumpulan pengganas terbabit bertindak kejam menembak mati dan merosakkan mayat anggota keselamatan negara.
Menurut beliau, serangan ke atas kumpulan pengganas itu hanya boleh dihentikan sekiranya mereka bersetuju untuk meletakkan senjata dan menyerah diri.
"Ia memerlukan kedua-dua belah pihak untuk bersetuju menamatkan keganasan itu. Tidak boleh ada hanya sebelah pihak dan ini bermakna, kumpulan pengganas mesti berhenti membunuh tentera kita.
"Polisi kita bukan untuk menembak mereka tetapi apabila mereka membunuh orang kita dan merosakkan mayat, rakyat menjadi amat marah. Kalau kita tidak bertindak balas, rakyat akan kecewa dengan cara kerajaan bertindak," katanya.
Beliau menyatakan demikian kepada pemberita selepas menyampaikan syarahan bertajuk 'Graduan di abad ke-21' di Universiti Teknologi Petronas (UTP) di sini hari ini.
Dr. Mahathir diminta mengulas gesaan Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-Moon supaya keganasan di Sabah dihentikan dan pasukan keselamatan negara serta kumpulan pengganas memulakan dialog bagi menamatkan konflik di Sabah.
Mengulas mengenai tindakan ketua kumpulan yang menceroboh Sabah, Jamalul Kiram III mengumumkan gencatan senjata sebelah pihak ekoran tindakan ketenteraan oleh pasukan keselamatan Malaysia, Dr. Mahathir yakin kumpulan pengganas itu tidak akan mempedulikan perkara tersebut.
"'Sultan' mereka di Manila, Filipina dan dia amat ragu-ragu tetapi kumpulan penceroboh itu nekad untuk berjuang dan mereka juga tidak akan mendengar cakap dia," katanya.
Ditanya sama ada situasi di Sabah akan menyebabkan Pilihan Raya Umum Ke-13 ditangguh, beliau berkata, kerajaan tidak boleh menangguhkannya lagi kerana mandat yang ada hampir tamat dan pilihan raya perlu diadakan.
"Namun, rakyat mahu melihat negara stabil dan sokongan kepada kerajaan adalah penting untuk kestabilan," ujarnya.


No comments:

Post a Comment