Thursday, March 21, 2013

KEPENTINGAN SELAT MELAKA KEPADA AMERIKA


Dr Chandra : Apa Agenda Anwar Tentang Politik Selat Melaka ?

AIDCNews – 29/07/11 –PROFESOR DR. CHANDRA MUZAFFAR , Presiden JUST (The International Movement for a Just World) berpendapat, faktor Selat Melaka merupakan faktor utama yang menarik perhatian kuasa asing untuk menguasai politik di rantau ini, termasuk di Malaysia.
“Selat Melaka adalah hak tiga negara yang dianggap littoral states, negara-negara yang berhampiran dengan selat ini adalah Indonesia, Malaysia dan Singapura.
“Singapura memang memihak kepada Amerika Syarikat (AS). Tetapi Malaysia, polisi kerajaan negara ini tegas dari dulu sampai sekarang bahawa Selat Melaka adalah hak kita.
“Sudah tentu mereka, di AS mahu seorang pemimpin yang memihak kepada kepentingan mereka terutamanya dalam soal politik Selat Melaka, politik rantau ini, dan masa depan rantau ini dalam konteks perhubungan dengan negara China”, katanya.
Dr Chandra berkata tidak mustahil sekiranya NED atau IRI masih membantu Datuk Seri Anwar Ibrahim dan PKR, walaupun polisi kerajaan AS dilihat seolah-olah sudah tidak menyebelahinya kerana sistem politik di negara itu mengamalkan konsep dwi-power iaitu kuasa formal dan kuasa sebenar.
“Kalau kita tengok politik AS, memang macam itu. Mereka (kuasa sebenar) ada perancangannya yang tersendiri dan adakalanya mereka boleh ubah dasar-dasar pemimpin-pemimpin (kuasa) formal”, katanya.
Ikutilah wawancara bahagian akhir bersama Dr Chandra, pada 30 Jun 2011, di Pejabat JUST, Petaling Jaya.
Semoga anda mendapat manfaat daripada wawancara ini.
AIDC : Adakah Anwar terlibat dalam IFC ?
Dr Chandra : Ya..ya.
Adakah penglibatannya dalam IFC merupakan perkara baru atau sudah lama sejak dari ABIM lagi ?
Sebenarnya begini, zaman ABIM pun Anwar terlibat dalam perbincangan-perbincangan seperti itu. Yang saya tahu tentang hubungan antara kaum, antara agama dan sebagainya.
Dan saya sendiri juga terlibat begitu lama, hampir-hampir 40 tahun, dalam soal dialog antara agama.
Saya menganggap ini sesuatu yang positif dan tidak bertentangan sama sekali dengan Islam. Kerana, kalau kita tengok sejarah Islam, dialog itu memang biasa dalam sejarah Islam.
Dari satu segi, Rasulullah sendiri terlibat dalam dialog dengan Yahudi, Kristian. Diterangkan tentang Islam, itu dialog yang kita maksudkan.
Kalau kita tengok dalam buku-buku, kitab-kitab yang ditulis oleh sarjana-sarjana Islam yang teragung dalam sejarah, misalnya Al Biruni.
Al Biruni dalam kurun ke-11, sudah tulis tentang dialog antara agama dalam buku masyhurnya berjudul Kitab al-Hind yang ditulis berdasarkan kajian secara mendalam.
Begitu juga dengan tulisannya tentang Budhisme di Afghanistan yang pada masa itu, ramai penganut Budhist di Afghanistan.
Maknanya, berdialog ini bukan sesuatu yang aneh, yang luar biasa bagi umat Islam.
Saya anggap dialog sebagai penting kepada kita kerana dunia yang semakin berubah. Kerana globalisasi yang tidak boleh kita tolak. Globalisasi akan terus berlaku melalui teknologi, perkembangan-perkembangan ekonomi dan sebagainya.
Kita harus menunjukkan kepada umat Islam dan bukan Islam bahawa mesej yang termaktub dalam al-Quran al karim adalah mesej sejagat.
Untuk menyampaikan mesej sejagat ini, kita harus berdialog dengan mereka.
Kalau saudara tengok tulisan-tulisan saya sebelum ini dalam JUST…Aliran dan sebagainya, walaupun adakalanya saya tidak menggunakan label, tetapi mesej saya adalah mesej tauhid.
Itulah sebabnya dalam JUST, kita punya lima mesej utama perjuangan JUST. Yang saya maksudkan sebagai salah satu daripada prinsipnya adalah perjuangan yang berakar umbi dalam konsep Oneness of God. Apa maknaOneness of God? Tauhid.
Tapi, kita tak menggunakan istilah itu. Yang penting itu bukan istilah, bukan label, isinya yang lebih penting.
Jadi, saya menganggap Islam terutamanya bagi saya yang memeluk Islam, ini yang menarik perhatian saya terhadap Islam.
Ini yang menarik minat saya terhadap Islam adalah kerana mesejnya yang begitu powerful.
Mesejnya tentang keadilan, penyatuan umat-umat, hubungan dengan alam sekitar, mesej hubungan antara lelaki dan perempuan dan keluarga.
Mesej itu yang penting yang harus kita sampaikan.
Dan kalau melalui dialog, kita menyampaikan mesej itu, saya fikir Alhamdulillah. Satu jenis dakwah iaitu kita menyampaikan mesej.
Tapi Anwar, kalau dia nak berdialog untuk tujuan-tujuan yang lain, itu wallahualam lah.
Tapi bagi saya, mesej itu jelas. Kita nak menyampaikan mesej yang begitu bernilai tentang tauhid. Setiap individu, ada dia punya cara dia. Tapi ini kita punya cara iaitu melalui dialog.
Umpamanya dalam soal Palestin. Bukan saya nak claim apa-apa ya. Tapi, saya di antara pejuang-pejuang Palestin yang berjaya menarik sebahagian daripada bukan Islam di peringkat antarabangsa untuk menyokong perjuangan Palestin.
Untuk menyokong perjuangan Iraq, isu-isu antarabangsa dan sebagainya melalui tulisan-tulisan commentaryJUST.
Misalnya IFC di Australia. The Conference for a Parliament of the World’s Religions, 2009. Prof ke sana dan Anwar juga turut ke sana. Kemudian, keluar dalam akhbar Australia, The Age, kenyataan Anwar mendesak umat Islam supaya menerima minoriti. Apa maksudnya itu ?
Saya dan Profesor Tariq Ramadan hadir dan ramai lagi tokoh-tokoh Islam yang hadir.
Saya dan Tariq Ramadan dalam satu forum manakala Dr Musdah Mulia bersama Anwar dalam forum yang lain.
Kita menggunakan forum itu sebagai satu saluran untuk menghakis beberapa tohmahan terhadap Islam.
Pada masa itulah, isu-isu tentang hijab dan beberapa isu lain tentang Islam. Tapi, isu utama adalah tentang keganasan.
Tapi Anwar…. Saya nampak dari segi interview yang dia beri kepada akhbar The Age, di Melbourne, Australia,interviewnya saya fikir mengecewakan. Mengecewakan.
Apa sebabnya yang mengecewakan Prof ?
Sebabnya, dalam interview itu, dia beri gambaran bahawa umat Islam ini adalah penindas.
Dia kata masyarakat Islam tidak menghormati hak bukan Islam. Seolah-olah, pada pengamatannya, itulah isu yang paling besar.
Bagi kita..saya dan Tariq yang menjadi isu paling besar pada pandangan kita adalah gambaran palsu tentang Islam yang disampaikan oleh media mereka, iaitu media Barat.
Tetapi bagi dia (Anwar) pula, masyarakat Islam itu yang sebenarnya menjadi masalah. Orang Islam inilah yang masalah. Dituduhnya masyarakat Islam tidak menghormati hak dan menindas orang lain.
Saya fikir, itu tidak adil.
Jadi, saya mengkritik pendiriannya. Dalam forum itu juga saya mengkritiknya tetapi saya tidak sebut namanya.
Saya kata yang beri interview itu sebagai pihak yang memberi gambaran yang kurang tepat.
Saya kata, sebagai contoh negara saya, saya tidak claim nak katakan bahawa Malaysia ini syurga, walaupun saya akui ada kelemahan, namun dari segi perlindungan kepada hak minoriti, rekod negara kita jauh lebih baik daripada kebanyakan negara di atas bumi Allah ini.
Saya beri contoh, tentang hari kebesaran mereka, yang bukan Islam, hari penting di kalangan agama minoriti ini, termasuk dalam kalendar negara.
Walaupun peratusan penduduk agama minoriti itu tidak sampai lima atau enam peratus, tetapi polisi negara kita menganggap ia penting dan diberi cuti am.
Di tempat-tempat lain, di Australia, hari raya untuk umat Islam pun bukan cuti am..Apatah lagi tentang rumah ibadat dan sebagainya…
Jadi, saya nampak dalam soal dialog ini yang penting adalah keikhlasan kita. Kalau kita tidak ikhlas, kita akan gunakan dialog itu untuk matlamat lain.
Kenapa Anwar beri interview dalam The Age yang saya sebutkan tadi dengan gambaran yang sedemikian rupa, saya fikir, tujuannya untuk membuktikan kepada masyarakat Australia yang kebanyakannya beragama Kristian supaya perjudis kepada Islam.
Dia macam nak beri gambaran, ‘oh saya ni sealiran dengan you all, saya punya pemikiran serasi dengan you all ..’
Saya fikir, itulah matlamatnya.
Sama dengan tulisannya dalam majalah Times pada tahun 2001 dulu ?
Ya..ya.. betul…betul. Dia macam nak menarik perhatian mereka. Itu yang saya nampak matlamatnya.
Adakah golongan pemikir-pemikir Islam kecewa dengan kenyataan Anwar itu ?
Kecewa… Tetapi biasalah Anwar, dia akan kata, ‘alah ini biasalah…saja nak tarik perhatian mereka’.
Memang kita dah tahu dia ni, dia memang macam tu.
Saya masih ingat lagi pada tahun 2006, ketika Lebanon diserang, bulan Jun..Julai 2006. Saya pernah bacainterview dia dalam akhbar Australia.
Salah satu isu yang disebut Anwar ketika itu, dia kata, ‘kita mesti faham juga hasrat Israel mahu menjaga keselamatan mereka’.
Walhal kita tahu Israel yang serang Lebanon, macam mana you boleh buat kenyataan macam itu ?
Untuk mengambil hati termasuk Israel ?
Ya. Untuk mengambil hati mereka.
Adakah Prof melihat permainan atau strategi Anwar meniupkan sentimen Islam menindas hak minoriti itu bahaya?
Oh bahaya. Bahaya kerana yang diperkatakan itu tidak benar. Tidak benar.
Kalau kita melakukan sesuatu yang tidak benar, kalau kita buat ucapan yang tidak benar, ada risikonya.
Umpamanya, kalau kita memberi gambaran bahawa kita menindas, walhal kita tidak menindas, ini akan menimbulkan perasaan marah di kalangan mereka yang menganggap diri mereka sebagai mangsa.
Dan di kalangan mereka yang dituduh sebagai penindas, mereka juga akan marah. Kenapa buat pertuduhan ini. Ini akan mengundang bahaya.
Bermakna, ini akan merenggangkan lagi hubungan antara kaum.
Kalau kita bermatlamat mahu merapatkan hubungan kaum, memperbaiki hubungan kaum di negara kita, nak mewujudkan keharmonian, ucapan-ucapan yang sedemikian rupa, memang akan mengundang bahaya.
Seolah-olah Anwar sendiri mahu mewujudkan jurang besar perkauman di negara kita?
Kerana caranya mahu mengambil hati golongan tertentu..golongan itu berdasarkan kepada kepentingan-kepentingan yang sempit. Itu yang jadi masalah.
Sekiranya kita mahu mengambil hati semua kaum berdasarkan pada nilai-nilai bersama ataupun kita nak menjaga kepentingan semua berdasarkan pada keadilan, itu tidak jadi masalah.
Tetapi, sekiranya kita cuba mengambil hati kerana kepentingan diri. Kerana kepentingan sempit, ini yang mengundang bahaya.
Ini yang menimbulkan perasaan syak wasangka antara kaum. Kita harus berterus-terang terutamanya dalam soal hubungan kaum.
Sebagaimana dalam ucapan-ucapan, tulisan-tulisan saya, kepada dua-dua kaum.
Kepada kaum Melayu, saya selalu menyampaikan mesej bahawa kita harus menerima hakikat bahawa negara ini tidak dapat diubah. Ini masyarakat berbilang kaum.
Dan kepada bukan Melayu, saya selalu memberi mesej, bahawa kita harus menerima hakikat sejarah negara ini. Apa latar belakang negara ini, asas negara ini, asal-usul negara ini, yang kita tidak boleh nafikan.
Itu wadah keperibadian negara Malaysia, identiti negara Malaysia, dari dulu lagi.
Tapi yang sedihnya, saya nampak kawan kita ini (Anwar), dia play politics.
Anwar seolah-olah nak mengapi-apikan perkauman. Sedangkan partinya sendiri nampak sepertimultiracial, hakikat sebenarnya tidak ?
Tidak..tidak.
Adakah ini sikapnya yang suka memberi gambaran negatif terhadap pihak lain secara melulu ?
Pada hemat saya, yang lebih serius adalah caranya sebagai seorang Ketua Pembangkang.
Dia pernah mengatakan, Malaysia ini sama macam Myanmar, Zimbabwe. Takkan dia, selama 16 tahun dalam kerajaan, dia tidak tahu perbezaan antara Malaysia dengan Zimbabwe. Malaysia bukan Zimbabwe.
Seperti mana juga anaknya yang buat ucapan-ucapan, bahawa Malaysia ini sama dengan Mesir. Mereka ini macam tidak faham apa yang sebenarnya berlaku.
Itu yang saya anggap sebagai satu jenis politik yang mencemarkan imej negara.
Dan sekarang saya nampak, selepas beberapa tahun ini, selepas Dr. Mahathir melaksanakan dasar-dasar kewangan dalam krisis kewangan dulu, ramai masyarakat dunia puji polisinya dulu berjaya.
Berjaya menyelamatkan ekonomi dan dalam masa yang sama dapat menyangkal pendekatan IMF. Beliau dipuji dan imej negara kita bagus.
Saya mendapat maklumat-maklumat ini kerana saya banyak travel.
Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, kerana isu-isu yang dibangkitkan oleh Anwar dan pihak-pihak lain, gambaran yang disampaikan kepada masyarkat dunia itu, bahawa Malaysia ini seolah-olah macam bermasalah. Jadi, imej negara kita tercemar.
Saya fikir, sebagai Ketua Pembangkang, tidak bermakna jawatan Ketua Pembangkang itu adalah lesennya untuk memburuk-burukkan negaranya.
Kalau apa yang dikatanya benar, itu soal lain. Tetapi jika dia dengan sengaja memburuk-burukkannya, itu yang menjadi masalahnya.
Kenapa pemuka-pemuka Zionis seperti Paul Wolfowitz, Madeline Albright, William Cohen memilih Anwar sebagai proksi mereka di Malaysia ?
Saya berpendapat, dalam soal peralihan kuasa global yang sedang berlaku sekarang, baik dari Barat ke Timur, dan mungkin ada negara-negara lain, termasuk negara China akan bakal pengganti Hegemony AS.
Ini adalah satu trend yang berlaku sekarang ini.
Sudah tentu, AS tidak mahu melepaskan gengamannya menguasai dunia. Mereka mahu terus kekal menjadi pegawal dunia.
Dan untuk mencapai objektif itu, mereka memerlukan individu-individu yang boleh membantunya dalam proses tersebut.
Dalam konteks Asia Tenggara, mereka perlukan pemimpin-pemimpin yang boleh membantu AS memantau ataupun check control secara tidak langsung terhadap kemunculan China yang bakal menjadi pesaing mereka.
Mereka perlukan individu-individu seperti itu yang boleh memainkan peranan tersebut.
Kalau kita tengok pada polisi Dr. Mahathir, dan sebelum itu, Tun Razak, mereka benar-benar memahami peranan negara China dalam konteks global.
Tun Razak membuka jalan kepada China, dalam hubungannya dengan Asia Tenggara pada tahun 1974. Dr. Mahathir pula mempertingkatkan hubungan dengan China.
Polisi itu menguntungkan negara kita dalam beberapa hal termasuk kelapa sawit dan sebagainya.
Dr. Mahathir memahami realiti ini dan beliau tidak mahu Selat Melaka itu dikawal oleh kuasa-kuasa asing.
Selat Melaka adalah hak tiga negara yang dianggap littoral states, negara-negara yang berhampiran dengan selat ini adalah Indonesia, Malaysia dan Singapura.
Singapura memang memihak kepada AS. Tetapi Malaysia, polisi kerajaan negara ini tegas dari dulu sampai sekarang bahawa Selat Melaka adalah hak kita.
Saya berpendapat, isu Selat Melaka adalah penting kerana ia di antara perairan yang paling penting di dunia.
Sudah tentu mereka, di AS mahu seorang pemimpin yang memihak kepada kepentingan mereka terutamanya dalam soal politik Selat Melaka, politik rantau ini, dan masa depan rantau ini dalam konteks perhubungan dengan negara China.
Itulah sebabnya, mereka mahukan individu seperti Anwar untuk memain peranan tersebut.
Dulu pun kita sudah tahu, mereka tidak senang dengan Dr. Mahathir kerana beliau tegas dalam soal kedaulatan Malaysia terutamanya dalam konteks Selat Melaka.
Itu adalah hak kita, kedaulatan kita.
Jadi, kalau ada pemimpin yang boleh berkompromi ataupun permainannya yang orang lain tidak nampak…
Alternatif kepada Tun Dr. Mahathir ?
Ya..ya.. Kalau kita tengok Perdana Menteri kita sekarang ini, Datuk Seri Najib, dalam soal hubungan dengan negara China begitu tegas.
Hubungan negara kita dengan negara China baik kerana beliau mewarisi polisi bapanya, Tun Razak.
Dalam Dialog Shangri-La di Singapura, Datuk Najib ditanya tentang hubungannya dengan China. Beliau kata, beliau tidak menganggap China sebagai ancaman. Beliau anggap negara China adalah sebagai satu peluang dari segi perdagangan.
Kalau kita lihat dari segi sejarah, China memiliki tentera laut yang paling hebat sebelum sejarah zaman moden, terutamanya dalam Dinasti Ming.
Laksamana Laut China pada masa itu, Laksamana Cheng Ho belayar dan menjalinkan hubungan dengan negara-negara lain. Memang luar biasa kebijaksanaan Cheng Ho. Diakui oleh sarjana-sarjana. Tapi adakah dia cuba menguasai dan menakluki wilayah orang lain ? Tak pernah.
Tak pernah?
Tak pernah. Sampai sekarang kalau kita kaji rekod China, mereka tidak menakluk wilayah orang lain walaupun mereka begitu kuat pada waktu itu. Mereka tidak menakluk negara-negara Asia Tenggara termasuk Melaka.
Kalau kita kaji rekod sejarah hubungannya dengan Kepulauan Melayu, pada keseluruhannya baik.
Dan rekod-rekod itu, yang saya selalu khabarkan kepada kawan-kawan, kalau kita benar-benar kaji rekod-rekod China itu, kita akan dapati bahawa merekalah yang mula-mula mengakui tentang kewujudan Kesultanan Melayu.
Merekalah yang mula-mula merekodkan tentang sejarah kawasan ini, bila wujudnya istilah Melayu dan sebagainya.
Jadi, dari segi itu, saya fikir, penting untuk kita menjaga hubungan ini dan saya bimbang jika ada orang lain yang mempunyai rancangan-rancangannya tersendiri.
Maksudnya ?
Ya, yang akhirnya berkompromi kedaulatan, kemerdekaan kita… kerana kita sudah tahu dalam isu-isu tertentu pun, apa pendiriannya yang sebenarnya.
Prof melihat perkara ini amat bahaya sehingga menjejaskan soal Islam, Melayu dan sebagainya. Kerana Prof ada menyebut, kerana nafsu sanggup melakukan apa sahaja semata-mata nak jadi Perdana Menteri?
Ya..ya kerana nafsu. Itu yang bahayanya. Nafsu politiknya kerana nak sangat-sangat jawatan itu.
Prof melihat adakah AS sudah mencurigai Anwar setelah kegagalan Projek 16 September?
Saya fikir beginilah, mungkin pemimpin-pemimpin formal mereka akan curiga. Mungkin.
Kalau banding dulu dengan sekarang, mungkin ada sedikit curiga.
Presiden Obama, Hillary Clinton dan yang lain-lain, kemungkinan ada menyimpan kecurigaan itu. Yang saya maksudkan pemimpin-pemimpin formal AS.
Namun, dari segi pemimpin sebenar, The Secret Government, lobi-lobi yang menguasai politik masa depan AS, mereka masih mengharapkan Anwar akan dapat deliver.
Deliver?
Ya. Deliver. Bermakna dapat deliver apa yang mereka nak. Dia dapat mencapai matlamat mereka.
Bermakna, kalau NED atau IRI masih membantu Anwar dan PKR, tidak mustahil?
Ya..ya. Tidak mustahil.
Walaupun Presiden Obama tidak menerima tapi masih ada agensi lain yang bantu ?
Ya, pemimpin formal dan agensi (kuasa sebenar) berbeza.
Kalau kita tengok politik AS, memang macam itu. Mereka (kuasa sebenar) ada perancangannya yang tersendiri dan adakalanya mereka boleh ubah dasar-dasar pemimpin-pemimpin formal.

No comments:

Post a Comment