Monday, March 11, 2013

IMF KAGUMI MALAYSIA

 MALAYSIA terus dikagumi berikutan mencapai perkembangan ekonomi yang mapan di samping mampu menjadi antara negara yang menunjukkan pembangunan terbaik di Asia.
Pengarah Urusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Christine Lagarde berkata, beliau kagum dengan prestasi yang dicatatkan negara, malah yakin Malaysia mampu mencapai pertumbuhan ekonomi 4.0 hingga 5.0 peratus yang disasarkan tahun ini.
Katanya, terdapat beberapa aspek yang menjadikan ekonomi Malaysia sebagai menarik dan antaranya kombinasi objektif jangka pendek serta visi jangka panjang yang ditetapkan.
“Apa yang paling menarik mengenai ekonomi Malaysia adalah kombinasi yang dapat memandu ekonomi ke hadapan dan salah satunya adalah melalui penyusunan infrastruktur.
“Selain itu, ia turut membabitkan banyak sektor merangkumi kerajaan, swasta dan institusi kewangan di mana Bank Negara Malaysia (BNM) sendiri banyak memainkan peranan dalam membentuk ekonomi negara,” katanya pada sidang media IMF-BNM di Kuala Lumpur, semalam. Hadir sama, Gabenor BNM, Tan Sri Dr Zeti Akhbar Aziz.
Menurutnya, aspek lain pula adalah terhadap peralihan secara beransur-ansur daripada negara yang bergantung pada pasaran eksport sebelum ini.
“Malaysia kini menjadi sebahagian rantaian bekalan di Asia yang turut menjadikan ekonomi lebih seimbang antara eksport, pelaburan dan penggunaan,” katanya.
Dalam pada itu, Lagarde berkata, Malaysia masih perlu menambah baik beberapa perkara di mana ia berkaitan dengan pelaburan langsung asing (FDI).
“Tahap FDI yang dicatatkan negara sebenarnya masih belum mencapai angka yang tinggi walaupun mempunyai beberapa penyenaraian besar oleh syarikat tempatan tahun ini,” katanya.
Selain itu, Malaysia juga merekodkan tahap hutang yang agak tinggi serta risiko ketidaksamaan beberapa golongan minoriti. “Pertumbuhan yang dicatatkan negara mengundang risiko ketidaksamaan apabila golongan minoriti ketinggalan.
“Bagaimanapun, Malaysia merekodkan tugas cemerlang menangani masalah ini pada sekitar tahun 70-an serta 80-an dan ia kini perlu menjadi fokus utama negara,” katanya.
IMF juga menjangkakan ekonomi Asia mengembang 5.9 peratus pada 2013.
Beliau dalam siri lawatan selama tiga hari ke Asia Tenggara yang dimulakan dengan Malaysia, Filipina dan Kemboja.

No comments:

Post a Comment