Saturday, February 23, 2013

JANGAN KITA MUDAH LUPA


Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh. Dif-Dif Kehormat;Para Pengasas UMNO;Ahli-Ahli UMNO; Tuan-tuan dan Puan-puan yang saya hormati. Bersyukur kita ke hadrat Allah Subhanahu wa Ta`ala kerana dengan limpah kurniaNya dapat kita bersama-sama pada hari yang bersejarah ini.

2. Hari ini kita menempah satu lagi peristiwa yang bersejarah dalam riwayat UMNO atau Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu. Hari ini kita rayakan hari lahir UMNO. Pada 11 Mei 1946, di Istana Besar Johor Bharu, ini UMNO telah ditubuh dan dilancarkan sebagai parti politik dan alat bagi perjuangan orang-orang Melayu menangkis usaha British untuk menghapuskan bangsa Melayu, negeri-negeri Melayu dan sistem Raja-Raja Melayu.

3. Cadangan menubuhkan sebuah parti politik yang mewakili semua orang Melayu telah dipersetujui di perhimpunan pertubuhan-pertubuhan orang Melayu dari seluruh Semenanjung termasuk Singapura yang diadakan di Kelab Sultan Sulaiman di Kampung Baru, Kuala Lumpur dari 1hb. hingga 4hb. Mac, 1946.

4. Di zaman pemerintahan Tentera Jepun, orang-orang Melayu memikirkan jika British kembali semula, maka mereka akan diberi semula taraf kerakyatan negeri-negeri yang dilindungi oleh British dan mereka akan diiktiraf semula sebagai warganegara tunggal negeri-negeri Melayu. Hanya penduduk Pulau Pinang, Melaka dan Singapura sahaja yang ditakluk oleh British secara langsung yang akan menjadi rakyat British.

5. Tetapi setibanya sahaja British, mereka mengumumkan rancangan menyatukan semua negeri-negeri Melayu, Pulau Pinang dan Melaka dalam sebuah jajahan takluk British terus yang dinamakan Malayan Union.

6. Semua penduduk berbagai kaum di wilayah berkenaan akan diberi taraf warganegara tanpa membezakan yang Melayu dan yang bukan, yang baru datang dan yang telah lama tinggal. Raja-Raja Melayu diberi peranan simbolik sahaja dan bertanggungjawab hanya terhadap adat istiadat Melayu dan agama Islam.

7. Taraf sama rata atau equal citizenship yang akan diberi kepada semua penduduk Tanah Melayu akan mendedahkan orang- orang Melayu kepada persaingan dari kaum-kaum lain yang tetap akan menjadikan orang Melayu kaum yang termiskin dan daif di Malaysia. Pada ketika itu orang-orang Melayu hanya menjadi penanam padi, nelayan persisiran dan ada segelintir yang bernasib baik menjadi kerani kecil di jabatan-jabatan Kerajaan. Tidak ada di antara mereka ahli peniaga atau ahli profesional. Demikianlah pemerintahan British sehingga tanda-tanda bahawa Semenanjung Tanah Melayu adalah negeri asal orang Melayu sudah hampir luput. Bandar-bandar terutamanya tidak sedikitpun mencerminkan kebudayaan Melayu. Jika ada orang Melayu di bandar mereka tinggal di kawasan-kawasan miskin di pinggir bandar atau di kawasan tanah rizab.

8. Keadaan orang Melayu semasa pemerintahan British samalah dengan orang Red Indian di Amerika Syarikat. Lebih kuat British berkuasa lebih buruk kedudukan orang Melayu. Di Negeri-Negeri Selat, iaitu Singapura, Melaka dan Pulau Pinang orang-orang Melayu memegang jawatan-jawatan rendah sahaja. Di Negeri-Negeri Melayu Bersekutu iaitu Perak, Selangor, Pahang dan Negeri Sembilan, keadaannya baik sedikit, dengan beberapa elite dari golongan pembesar negeri memegang jawatan pentadbir. Di Negeri-Negeri Melayu Tidak Bersekutu, iaitu Johor, Kedah, Perlis, Kelantan dan Terengganu, di mana British kononnya boleh memberi nasihat sahaja, kakitangan Kerajaan kebanyakannya terdiri daripada orang-orang Melayu walaupun ketua jabatan terdiri daripada pegawai-pegawai British.

9. Di bandar-bandar tidak ada orang-orang Melayu berniaga di kedai-kedai batu. Bilangan penjaja Melayupun lebih kecil daripada kaum lain. Tidak ada sama sekali pengusaha Melayu. Di kawasan-kawasan kediaman orang-orang berada tidak terdapat barang sebuah pun rumah orang Melayu. Pendek kata di bandar-bandar besar orang-orang Melayu menjadi kaum asing yang tidak mempunyai tempat. Jika British bertimbangrasa sedikit, orang-orang Melayu ditempatkan dalam kawasan rizab Melayu seperti Red Indian.

10. Di estet dan lombong juga tidak kelihatan orang-orang Melayu. Bukan sahaja mereka tidak memiliki punca kekayaan ini, tetapi juga mereka tidak berpeluang bekerja. Mungkin mereka tidak berminat bekerja dalam lombong atau menjadi penoreh getah, tetapi jawatan-jawatan dalam syarikat- syarikat juga tidak terdapat kepada orang-orang Melayu. Selain daripada kebun kecil getah yang dimiliki oleh beberapa kerat orang Melayu, mereka sekali lagi menjadi orang asing dalam estet dan lombong. Di sini bukan tempat mereka. Ini adalah seolah-olah negara asing di mana mereka tidak boleh faham bahasa yang ditutur atau ditulis.

11. Walaupun British mengakui sebelum perang dunia kedua dalam perjanjian mereka dengan negeri Melayu bahawa Semenanjung ini adalah Semenanjung Melayu, atau Malay Peninsular, tetapi selain daripada kawasan sawah dan kawasan-kawasan yang terpencil, Semenanjung ini sudah dijadikan negara orang bukan Melayu.

12. Demikianlah kedudukan orang-orang Melayu sehingga jika mereka terpaksa bersaing dengan kaum lain, mereka tetap akan kalah dalam semua bidang dan akan menjadi kaum yang termiskin dan daif sekali dalam negeri-negeri Melayu. Jika mereka berpeluang menjadi petani dan memiliki sawah padi di zaman British, sebabnya ialah kawasan sawah padi telah dirizabkan bagi mereka. Di mana sawah tidak dirizabkan, kaum lain dengan mudahnya mengambil alih dan mengerjakannya.

13. Jika semua penduduk berbagai kaum di Malaya diberi kerakyatan dan hak samarata dan persaingan dalam semua bidang dibenarkan tanpa apa-apa sekatan, bukan sahaja KeMelayuan negeri-negeri Melayu akan luput, tetapi juga orang-orang Melayu akan diperhambakan di tanahair mereka sendiri. Ini tidak bermakna bahawa mereka tidak mampu mempertingkatkan taraf mereka, tetapi penjajahan oleh British yang mengutamakan kepentingan ekonomi diri mereka semata-mata telah menyebabkan orang Melayu tertinggal begitu jauh sekali sehingga kemungkinan mereka berupaya bersaing atau mengejar kaum-kaum lain tanpa pertolongan sudah tidak ada.

14. Kita sering mendengar ungkapan `yang miskin menjadi lebih miskin, yang kaya lebih kaya`. Ungkapan ini memang mempunyai asas pada masa penjajahan British. Yang miskin tidak mempunyai sebarang modal, iaitu pelajaran, wang ringgit, peluang, kredibiliti, contacts, pengalaman, tempat, kebolehan meminjam modal dan lain-lain fakta lagi yang boleh menolong mereka meningkatkan ekonomi dan taraf hidup mereka. Sebaliknya yang kaya mempunyai semua fakta-fakta yang boleh menolong mereka menjadi lebih kaya dengan lebih cepat. Dengan itu jika persaingan secara terbuka dan bebas diadakan antara rakyat yang mempunyai hak sama rata, semakin lama semakin jauhlah jarak perbezaan antara yang miskin dengan yang kaya. Dalam keadaan ini benarlah ungkapan `yang miskin menjadi lebih miskin, yang kaya lebih kaya`.

15. Di zaman British orang-orang Melayu adalah kaum yang miskin dan orang-orang bukan Melayu rata-ratanya adalah kaum yang lebih kaya. Jika taraf yang sama rata diberikan kepada semua penduduk Malaya mengikut rancangan Malayan Union, orang-orang Melayu yang sudah miskin dan serba ketinggalan tetap akan menjadi lebih miskin dan mereka yang lain lebih kaya. Jarak pencapaian antara kaum-kaum akan menjadi lebih jauh dan tidak mungkin boleh dirapatkan semula.

16. Sebab itu, apabila British mendakwa bahawa Malayan Union adalah langkah ke arah pemerintahan sendiri, ramai orang Melayu pada masa itu menyatakan mereka tidak mahu pemerintahan sendiri -- tidak mahu kemerdekaan. Mereka menulis kepada akhbar Majlis menyatakan mereka mahu naungan British diteruskan untuk keamanan dan tunjuk-ajar dalam bidang pentadbiran.

17. Kita menganggap sikap seperti ini adalah aneh tetapi memanglah orang-orang Melayu sendiri pada masa itu kurang kepercayaan kepada kebolehan mereka dalam semua bidang, dan ketidakmampuan mereka untuk bersaing dengan kaum-kaum lain. Mereka yakin tanpa perlindungan British, kacau-bilau akan berlaku dalam negeri-negeri di Semenanjung termasuklah Negeri-Negeri Selat dengan kemungkinan negeri-negeri ini jatuh ke tangan bangsa asing, khususnya orang Cina Komunis yang pada masa itu mempunyai pasukan gurila yang sedang mengganas di merata tempat di Semenanjung.

18. Ramai orang-orang Cina pada masa itu masih mengibarkan bendera Kuomintang dan menganggap diri mereka rakyat Negara Cina dan Negara Cina pula mengakui semua orang Cina di mana juga mereka berada sebagai rakyat Negara Cina. Tidaklah menjadi sesuatu yang luar biasa, pada fikiran orang Melayu, jika Negara China memberi pertolongan kepada rakyat mereka dalam usaha merebut negeri-negeri Melayu.

19. Selepas tamat perang Dunia Kedua dan sebelum sempat tentera British kembali ke Malaya, gurila Komunis telah bermaharajalela. Mereka telah mengambilalih balai polis di beberapa kawasan terpencil dan menaikkan bendera Komunis Bintang Tiga dan Bintang Satu. Ada orang-orang kampung yang dibunuh untuk menakutkan mereka supaya mereka menerima pemerintahan Komunis. Memang hasrat Komunis untuk mendirikan Republik Komunis di Malaya.

20. Apabila British mendirikan Pemerintahan Tentera, mereka mengiktiraf dan menghalalkan Parti Komunis Malaya. Dalam sekelip mata Parti Komunis Malaya telah menubuhkan kesatuan- kesatuan sekerja yang dikuasai oleh Komunis. Mereka bergerak bebas dan sombong kerana mereka yakin Malaya akan jatuh ke tangan mereka. Hanya apabila mereka melancarkan perang gurila pada 1948 baharulah pihak British bertindak.

21. Ketakutan orang-orang Melayu yang disebabkan oleh kedaifan mereka dan oleh berbagai kemungkinan ini, telah membawa kepada kesedaran politik luar biasa. Dari bangsa yang tidak pernah mendatangkan masalah kepada pemerintahan British, mereka telah bangun untuk menentang rancangan Malayan Union British dengan kerasnya.

22. Pada mulanya penentangan dibuat secara berasingan di negeri masing-masing. Ini tidak berkesan. Pihak British terus juga menghantar MacMichael untuk mendapat persetujuan Raja-Raja Melayu.

23. Raja-raja Melayu pula pada ketika itu tidak ada hubungan dengan rakyat dan tidak pula mengharapkan sokongan daripada rakyat. Mereka berasa lemah dan kedudukan mereka bergantung semata-mata kepada British. Sebelum daripada Malayan Union pun, ada masanya bakal raja disingkir dan digantikan dengan anggota keluarga di Raja yang lain kerana tidak mematuhi kehendak British. Tidaklah hairan jika Raja- Raja menandatangani perjanjian Malayan Union yang dibawa oleh MacMichael, iaitu menyerahkan hak mereka dan hak orang- orang Melayu.

24. Memandang bahawa tindakan berasingan oleh kumpulan- kumpulan kecil Melayu di negeri masing-masing tidak dihiraukan oleh British, maka desakan dibuat supaya orang- orang Melayu dari semua negeri di Semenanjung bersatu-padu dan bergerak bersama dan serentak. Akhirnya pada 1hb Mac 1946, pertubuhan-pertubuhan dan kesatuan-kesatuan sosial Melayu telah mengadakan Kongres Melayu Se Malaya yang pertama di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur. Sesuatu yang menarik di majlis itu ialah persetujuan Duli Yang Maha Mulia Sultan Hishamuddin Alam Shah, Sultan Selangor yang berkenan merasmikan pembukaan Kongres ini. Inilah kali pertama raja bersama rakyat dalam menghadapi masalah dengan British. Tarikh dan peristiwa ini tidak kurang pentingnya kepada perjuangan nasib orang-orang Melayu dari tarikh keramat 11 Mei di waktu mana UMNO ditubuhkan secara rasminya.

25. Selain daripada Party Kebangsaan Melayu Sa-Malaya atau Malay Nationalist Party (MNP) yang dipimpin oleh Dr. Burhanuddin dan sebuah pertubuhan lain, 39 pertubuhan yang lain sebulat suara bersetuju menubuhkan sebuah parti politik orang-orang Melayu di peringkat nasional yang dianggotai oleh semua pertubuhan yang hadir dalam Kongres dan pihak- pihak lain yang bersetuju menyertainya. Allahyarham- allahyarham Dato Onn, Dato Panglima Bukit Gantang, Dato Zainal Abidin dan Dato Nik Kamil adalah antara tokoh-tokoh terkenal yang dipilih untuk menubuhkan PEKEMBAR, iaitu Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu, atau UMNO - United Malays National Organisation, nama yang diilhamkan daripada nama Bangsa-Bangsa Bersatu atau United Nations Organisation (UNO).

26. Sementara usaha-usaha menubuhkan UMNO dilaksanakan, kegiatan menentang Malayan Union tidak dikurangkan. Pada 11 Mei 1946 di Kongres Melayu ketiga yang diadakan di Istana Besar Johor Bahru, Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu atau UMNO ditubuhkan dengan rasminya. Hanya Malay Nationalist Party atau MNP sahaja yang tidak menyertai UMNO.

Tuan-tuan dan puan-puan, 

27. Sejarah perjuangan orang-orang Melayu dan sejarah UMNO perlulah diketahui oleh semua ahli UMNO. Keahlian tidak bermakna jika kita tidak tahu asal-usul kita. Sejarah kita adalah pengajaran bagi kita, adalah panduan perjuangan kita.

28. Kita lihat daripada sejarah yang menunjukkan bagaimana lemahnya orang-orang Melayu apabila mereka menganggap diri mereka sebagai rakyat negeri-negeri yang berasingan. Mereka memang sudah lemah kerana mereka tidak mempunyai orang-orang yang terpelajar, profesional, ahli-ahli peniaga yang kaya, pekerja mahir dan cekap, penglibatan dalam berbagai bidang usaha yang penting dan lain-lain lagi kelemahan. Tetapi apabila mereka membahagi-bahagikan diri mereka kepada rakyat negeri masing-masing dan bertindak secara berasingan, mereka menjadi lebih lemah. Sebab itulah walaupun terdapat tentangan daripada orang-orang Melayu apabila sahaja Malayan Union diumumkan, pihak British tidak sedikit pun menghiraukan tentangan ini. Mereka meneruskan sahaja rancangan mereka itu.

29. Apabila orang-orang Melayu disedarkan bahawa tindakan secara berasingan tidak berkesan, maka pada ketika itulah desakan dibuat oleh berbagai pihak supaya disatupadukan orang-orang Melayu sebagai satu bangsa bagi menentang rancangan British. Dan kita telah melihat bagaimana berkesannya perjuangan orang-orang Melayu setelah mereka bergabung tenaga melalui Kongres Melayu Se Malaya dan kemudian, dengan lebih tepat lagi, melalui UMNO.

30. Walaupun British sudah melancarkan Malayan Union secara rasmi, akhirnya mereka terpaksa menarik balik Union itu; satu tamparan hebat kepada sebuah kuasa dunia yang terkenal kerana kepintaran pemerintahan kolonial mereka. Semua ini adalah hasil semangat, kesedaran dan perpaduan orang-orang Melayu.

31. Jika kita disoal apakah yang memberi kejayaan kepada satu bangsa yang begitu lemah, iaitu bangsa Melayu pada tahun 1946, jawapannya ialah semangat perpaduan yang berjaya mengumpulkan orang-orang Melayu dari negeri-negeri yang berasingan, dari pertubuhan-pertubuhan yang berlainan, untuk menghadapi ancaman terhadap bangsa mereka. Inilah semangat yang muncul pada 1946 apabila bangsa diancam dengan kemungkinan dihapuskan.

32. Orang-orang Melayu menangkis usaha-usaha British untuk memecah-belahkan mereka. Sebaliknya mereka bersatu-padu. Orang-orang atasan juga sanggup bergabung tenaga dengan rakyat jelata dan rakyat memberanikan diri mendesak Raja- Raja supaya menentang British.

33. Tidak pernah berlaku dalam sejarah bangsa Melayu di mana mereka begitu kuat bersatu. Yang mencacatkan sedikit ialah kelakuan Malay Nationalist Party atau MNP yang bukan sahaja mengasingkan diri daripada UMNO, tetapi juga semasa orang-orang Melayu berjuang untuk menghapuskan Malayan Union, mereka mengadakan kerjasama dengan All Malaya Council of Joint Action atau AMCJA, sebuah gabungan kiri yang menyokong Malayan Union. Tetapi MNP adalah pertubuhan yang kecil yang mendapat sokongan daripada hanya segelintir orang-orang Melayu. Ramai daripada penyokong MNP telah berpihak kepada UMNO apabila mereka melihat gerak-geri para pemimpin MNP.

34. Dengan MNP menjadi lumpuh, perpaduan Melayu dalam UMNO menjadi begitu kuat sehingga UMNO boleh menggerakkan orang- orang Melayu di seluruh Semenanjung bertindak serentak dengan pendirian yang sama pada bila-bila masa. Apabila UMNO memutuskan orang-orang Melayu berkabung sebagai tanda penolakan Malayan Union, orang-orang Melayu di seluruh Semenanjung berkabung. Apabila disuruh memulaukan segala istiadat menyambut Malayan Union, mereka semua mematuhi arahan itu.

35. Pihak British yang dahulu tidak menghiraukan pendapat orang-orang Melayu kerana mereka berpendapat orang-orang Melayu adalah satu bangsa yang tidak berwibawa yang boleh diketepikan dengan mudah, terpaksa menukar sikap apabila UMNO ditubuhkan. Jika dahulu mereka tidak menghormati pemimpin-pemimpin Melayu selepas UMNO ditubuhkan, British terpaksa berunding dengan pemimpin-pemimpin UMNO dan memberi pertimbangan yang wajar kepada pendapat dan pendirian UMNO. Dan ini dibuat di peringkat yang tertinggi sekali iaitu dengan melibatkan Gabenor British dan Kerajaan di London.

36. Dengan tertubuhnya UMNO hasil daripada semangat perpaduan yang tidak mementingkan diri, dengan sokongan sebulat suara kepada pemimpin-pemimpin UMNO, maka pengaruh dan kuasa orang-orang Melayu meningkat. Raja-Raja juga mengakui kekuatan UMNO dan menerima pandangan UMNO. Raja- Raja yang sebelum UMNO wujud telah menandatangani triti MacMichael menolak perjanjian rasmi itu dengan beraninya dan mengambil langkah untuk menentang Malayan Union.

37. Demikianlah satu bangsa yang lemah menjadi satu bangsa yang berwibawa dan dihormati. Perjuangan orang-orang Melayu tidak diasaskan kepada kekayaan, kepada kemampuan mengadakan revolusi bersenjata, kepada apa-apa jenis kekerasan. Asas perjuangan Melayu ialah perpaduan mereka. Semangat perpaduan yang tidak mementingkan diri inilah yang memberi kejayaan kepada perjuangan orang-orang Melayu.

38. Di waktu Kongres Melayu Sa-Malaya dan penubuhan UMNO, tidak sesiapapun berasa irihati dengan tempat yang utama dan tinggi yang diberikan kepada Allahyarham Dato Onn dan pemimpin-pemimpin lain. Sebenarnya ramai yang menolak jawatan-jawatan pada masa itu kerana mereka dengan ikhlas dan terus terang menyatakan bahawa mereka tidak layak kerana sebab-sebab tertentu.

39. Bukan sahaja yang tidak memegang jawatan tidak cemburu, tetapi juga mereka memberi sokongan yang penuh kepada pemimpin-pemimpin yang dipilih dan menggesa ahli-ahli pertubuhan mereka menerima kepimpinan parti. Apabila Allahyarham Dato Onn dan lain-lain pemimpin menjelajah ke seluruh Tanah Melayu, orang-orang Melayu melupakan perasaan kenegerian dan menyambut Allahyarham Dato Onn sebagai pemimpin bangsa Melayu.

40. Memang benar akhirnya Allahyarham Dato Onn diganti dengan Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj sebagai Yang Di-Pertua UMNO. Tetapi penukaran ini bukan disebabkan kerana Tunku meminati jawatan. Apa yang berlaku adalah perbezaan pendapat antara Allahyarham Dato Onn dengan majoriti pemimpin UMNO dan juga majoriti orang-orang Melayu.

41. Allahyarham Dato Onn bercadang menjadikan UMNO bukan lagi parti orang-orang Melayu, tetapi parti yang terbuka kepada semua kaum. Orang-orang Melayu pada masa itu belum merasa diri mereka terselamat, bahkan sekarang inipun mereka belum bersedia membuka UMNO kepada kaum-kaum lain. Oleh sebab itulah majoriti Majlis Kerja Tertinggi UMNO dan ahli- ahli tidak bersetuju dengan cadangan Dato Onn. Jika beliau sanggup menerima pandangan majoriti ini, ahli-ahli UMNO sanggup terus menerima kepimpinan Dato Onn. Tetapi Dato Onn tidak mahu menukar pendiriannya dan oleh itu telah tidak mendapat sokongan majoriti.

42. Tidak ada kempen yang dijalankan oleh Tunku Abdul Rahman. Anggota Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang lain pula tidak berebut-rebut untuk mendapat jawatan Yang di-Pertua yang dikosongkan oleh Allahyarham Dato Onn. Sebaliknya mereka bersetuju menjemput Tunku Abdul Rahman yang bukanpun ahli Majlis Kerja Tertinggi dan tidak terlibat dengan penubuhan UMNO. Tidak ada perasaan tamak kepada jawatan di pihak sesiapa. Yang dianggap penting ialah kredibiliti dan keutuhan UMNO dan kejayaan perjuangan orang-orang Melayu. Pada pendapat Allahyarham Tun Razak dan rakan-rakannya, Yang Teramat Mulia Tunku, kerana umur dan statusnya di Kedah, adalah orang yang boleh memberi imej yang baik kepada UMNO.

43. Dengan itu Tunku Abdul Rahman dijemput dan beliau menerima jawatan dan tugas Yang di-Pertua UMNO. Selain daripada mereka yang sependapat dengan Allahyarham Dato Onn, yang bilangannya kecil, ahli-ahli dan pemimpin-pemimpin UMNO merapatkan semula barisan mereka dan memberi sokongan yang penuh kepada Tunku Abdul Rahman. Kekuatan UMNO tidak terjejas. Pihak British tidak dapat mencari peluang atau alasan daripada `perpecahan` UMNO ini. Mereka terpaksa terus mengiktiraf UMNO di bawah pimpinan Tunku Abdul Rahman sebagai suara majoriti orang-orang Melayu. Justeru itu UMNO berjaya menuntut kemerdekaan.

44. Sekali lagi kita melihat semangat perpaduan dalam UMNO. Selepas peralihan kepimpinan kepada Tunku Abdul Rahman, tidak ada rebutan jawatan dalam UMNO walaupun pada tiap-tiap tahun UMNO mengadakan pemilihan Majlis Kerja Tertinggi. Di peringkat cawangan dan bahagian pun pertandingan diadakan dengan sopan, tanpa kempen dan penggunaan wang. Jika adapun pertandingan di peringkat MKT, ianya adalah untuk ahli-ahli biasa MKT sahaja, tidak untuk Presiden, atau Timbalan Presiden, atau Naib Presiden. Hanya jika ada mana-mana kekosongan jawatan Naib Presiden oleh kerana kematian atau lain-lain sebab, maka baharulah ada pertandingan di peringkat Naib Presiden. Jika tidak, maka semua Naib Presiden, Timbalan Presiden dan Presiden menang tanpa bertanding.

45. Ketertipan dalam UMNO mengukuhkan parti dan memberi kredibiliti kepada pemimpin. Kerana pemimpin ada kredibiliti, pendapatnya dihormati dan dipercayai oleh semua pihak, sama ada British ataupun kaum-kaum lain. Maka mudahlah pemimpin menjaga kepentingan orang-orang Melayu.

46. Mungkin ada yang berpendapat ini tidak demokratik. Tetapi peristiwa tidak bertanding dan perlantikan semula berlaku sepanjang masa dalam demokrasi. Setiap kali kita mengadakan pilihanraya, ada sahaja yang menang tanpa bertanding. Di negara-negara lain pemimpin-pemimpin parti kerap juga dipilih semula tanpa bertanding.

47. Hasil daripada adat dan tradisi UMNO tidak merebut- rebut jawatan ini ialah parti yang kukuh dan stabil. Pemimpin UMNO dianggap suara parti apabila mereka berunding dengan pihak lain. Tidak ada sesiapa daripada dalam parti yang menolak pendapat yang disuarakan oleh pemimpin. Kuasa- kuasa yang diberi kepada pemimpin dihormati oleh semua pihak.

48. Ini tidak bermakna pemimpin boleh berbuat apa sahaja. Pengunduran Allahyarham Dato Onn adalah kerana beliau ingin membuat sesuatu yang tidak dipersetujui oleh majoriti orang- orang Melayu, bukan kerana Tunku Abdul Rahman ingin menjadi Yang Di-Pertua parti. Pemimpin hanya bebas bertindak asalkan tidak terkeluar daripada prinsip dan matlamat perjuangan parti. Selagi pemimpin tidak bertentangan dengan pendirian parti, ia akan disokong oleh semua anggota parti, walaupun kadang-kadang, seperti keputusan menubuhkan Malaysia dan penyingkiran Singapura, pemimpin tidak terlebih dahulu berunding dengan parti melalui Majlis Kerja Tertinggi. Tentangan oleh Allahyarham Syed Jaafar Albar terhadap pemisahan Singapura tidak mendapat sokongan daripada Majlis Kerja Tertinggi atau ahli-ahli biasa UMNO.

49. Tradisi dan adat UMNO tidak mencabar kepimpinan parti menjadikan UMNO tenang, kuat dan berkesan. Tidak semua yang dibuat oleh pemimpin dipersetujui 100% oleh ahli-ahli. Demikian dalam peristiwa 13 Mei 1969, ada ahli-ahli UMNO yang berpendapat bahawa pemimpin pada ketika itu bersalah. Mereka ini disingkirkan daripada UMNO tanpa menjejaskan kewibawaan parti walaupun pendirian mereka menarik dan mendapat simpati daripada ramai ahli.

50. Secara halus dan tertib, pendirian ahli-ahli UMNO disampaikan kepada pemimpin berkenaan dan beliau menarik diri secara terhormat dan timbalannya mengambil tempat tanpa rebutan. Demikianlah seperti rambut ditarik tanpa tepung berkecai. UMNO terus kuat dan pemimpin barunya mendapat kesetiaan ahli-ahli dan tidak kurang dihormati oleh orang- orang luar. Tidak ada perpecahan berlaku. Mereka yang bersimpati dengan Tunku tidak membuat angkara. Tunku sendiri tidak sengaja mencuba subvert atau melemahkan kepimpinan Allahyarham Tun Razak, walaupun ada tanda-tanda Tunku tidak begitu bersetuju dengan tindakan-tindakan Tun Razak sebagai pemimpin parti dan Perdana Menteri.

51. Semangat perpaduan dan tradisi serta sopan-santun bangsa Melayu telah berjaya membentuk sebuah parti politik yang kukuh di kalangan rakyat satu bangsa yang hampir tidak mempunyai pengalaman dalam bidang politik, jauh sekali politik berparti dalam demokrasi. Di segenap kampung, walau bagaimana terpencil sekalipun, cawangan-cawangan UMNO ditubuhkan lengkap dengan Ketua, Setiausaha, Bendahari dan lain-lain ahli jawatankuasa. Jika ada sahaja pilihanraya kecil atau pilihanraya umum, semua cawangan ini bergerak serentak dan menjalankan tugas-tugas yang diperlukan. Pada masa-masa lain, cawangan-cawangan terlibat dengan usaha- usaha pembangunan negara. Sementara itu diperingkat pemerintahan, Kerajaan pimpinan UMNO berjaya menyesuaikan diri dan menghadapi segala cabaran pentadbiran zaman yang moden dan mencabar ini.

52. Dengan perkataan lain, UMNO telah berjaya menjadikan orang-orang Melayu satu bangsa yang cukup sofistikated dalam bidang politik. Mereka boleh mengemblingkan tenaga orang- orang Melayu dalam satu jentera politik yang berkesan dan berwibawa sehingga sukar dikalahkan. Demikianlah berkesannya perjuangan UMNO, sehingga hari ini setiap orang Melayu, bahkan setiap rakyat Malaysia, secara langsung atau tidak langsung mendapat nikmat daripadanya.

53. Semua ini adalah hasil semangat, tradisi dan adat yang membawa orang-orang Melayu serta pertubuhan-pertubuhan mereka ke suatu Kongres pada 1 Mac 1946. UMNO ditubuhkan secara rasmi pada 11 Mei 1946, kerana semangat, tradisi dan adat yang sama. Dan semangat, tradisi dan adat ini telah menjadi sebahagian daripada sifat-sifat UMNO sendiri sehinggalah pada tahun 1984.

54. Pada tahun 1984 Timbalan Presiden UMNO yang telah dipilih pada tahun 1981 dicabar. Segala nasihat supaya tidak melanggar tradisi dan adat UMNO dan orang-orang Melayu tidak dihiraukan. Semangat UMNO sudah luput dalam hati pencabar. Sebenarnya pada ketika itu ia sudah mengasingkan dirinya daripada UMNO. Tidak hairanlah kejadian-kejadian yang menyusuli usaha tokoh ini merebut jawatan Timbalan Presiden. Yang mendorongnya bukanlah semangat UMNO tetapi kepentingan diri yang mendesak supaya apa sahaja dilakukan termasuklah membinasakan UMNO.

55. Kita tidak perlu ceritakan tentang percubaan merebut jawatan Presiden oleh tokoh ini pada 1987. Kononnya tidak bersetuju dengan dasar. Kononnya kerana ekonomi negara meleset disebabkan Kerajaan tidak cekap. Kononnya diktator. Semua ini adalah alasan yang diada-adakan sahaja. Yang penting dan utama ialah rebutan jawatan Presiden untuk menjadi Perdana Menteri.

56. Hasil tekanan cita-cita besar ini ialah pada 4hb. Februari, 1988 UMNO diisytiharkan sebagai sebuah pertubuhan haram. UMNO yang diperjuangkan oleh pertubuhan-pertubuhan Melayu pada tahun 1946, UMNO yang dimiliki oleh berjuta orang-orang Melayu, UMNO yang telah menjadi benteng kepada orang-orang Melayu dan negara, UMNO ini diharamkan kerana diseret ke mahkamah oleh orang yang ingin mendapat jawatan.

57. UMNO mempunyai jenteranya sendiri untuk menyelesaikan masalah tanpa campurtangan orang luar. Jika tidak ada kepercayaan kepada Majlis Tertinggi, boleh dirujuk kepada Perhimpunan Agung. Tetapi jentera parti diketepikan dan kuasa parti diserahkan kepada mahkamah. Inikah tindakan orang yang bersemangat UMNO? Inikah semangat UMNO pada tahun 1946 yang kononnya orang ini ingin pertahankan? Saudara-saudari tahu apa dianya semangat orang-orang Melayu dan UMNO pada tahun 1946. Apakah ada persamaan antara nafsu yang mendorongkan tindakan golongan yang menyebabkan UMNO diharamkan dengan semangat yang kita tahu terdapat di kalangan orang-orang Melayu dan UMNO sewaktu menentang Malayan Union? Apakah kerjasama dengan DAP umpamanya melawan UMNO mencerminkan semangat itu? 

58. Tidak sesiapa dapat menafikan bahawa UMNO yang ada sekarang mendapat sokongan majoriti yang besar daripada orang-orang Melayu. Bilangan ahli-ahli UMNO sekarang ini sudah sama dengan bilangan ahli-ahli UMNO dahulu, walaupun bilangan ahli-ahli dahulu tidak tepat dan diragukan. Tidak syak lagi bahawa ahli-ahli UMNO akan terus bertambah, insya- Allah. Mereka yang percaya dan inginkan perpaduan tidak boleh menolak UMNO kerana tanpa UMNO perpaduan tidak bermakna. Apakah dengan disatukan kumpulan-kumpulan serpihan dan minoriti orang Melayu dan menentang majoriti orang Melayu, maka perpaduan tercapai? Mereka yang inginkan perpaduan mestilah bersatu dengan pihak majoriti.

59. Apakah perpaduan bermakna jika masing-masing mempunyai tujuan yang berlainan, masing-masing ingin memperalatkan yang lain? Jika perpaduan hendak dicapai, maka masing- masing mestilah menyetujui akan asas dan dasar yang sama. Jika tidak, maka yang dilakukan bukanlah perpaduan tetapi satu pakatan sahaja.

60. Perpaduan hanya boleh dicapai dalam UMNO di mana ahli- ahli tahu dan menerima akan asas dan dasar perjuangan parti. Pintu UMNO masih terbuka. Jika benar ada orang yang mempunyai semangat 46 di luar UMNO, mereka harus menyertai UMNO. Hanya dengan bersatu dengan pihak majoriti sahaja baharulah perpaduan boleh dicapai. Apabila minoriti menentang majoriti, pecah-belah namanya.

Tuan-tuan dan puan-puan, 

61. Perjuangan orang-orang Melayu belum tamat. Mereka belum mencapai tahap pembangunan yang boleh membantu mereka bersaing dalam masyarakat majmuk Malaysia dengan jayanya. Sudah tentu mereka belum sampai ke tahap untuk bersaing dengan bangsa-bangsa maju di dunia.

62. Justeru itu mereka masih memerlukan kuasa politik dan pengaruh yang kuat dalam Kerajaan. Dengan adanya UMNO orang-orang Melayu telah dapat mempertahankan kedudukan mereka sementara meningkatkan kebolehan mereka untuk bersaing dalam dunia yang penuh cabaran. Insya-Allah dengan diberi perlindungan dan peluang, mereka akan mencapai tahap kebolehan yang boleh menjamin kejayaan mereka. Tetapi sebelum itu mereka perlu kepada perlindungan kuasa politik dan Kerajaan.

63. Selagi pencapaian orang-orang Melayu belum sampai ke tahap yang boleh menjamin kejayaan masa depan mereka, selagi itulah orang-orang Melayu harus menentukan kemenangan mereka dalam bidang politik. Politik orang-orang Melayu masa kini bukan untuk mendapat tempat tertentu bagi diri sesiapa, tetapi untuk mempertahankan kedudukan orang-orang Melayu yang masih lemah. Demikianlah juga dengan UMNO. UMNO bukan alat sesiapa untuk mendapat jawatan yang tinggi, tetapi UMNO adalah alat perjuangan orang-orang Melayu.

64. Jika pada tahun 1946 orang-orang Melayu membentuk UMNO dan memilih Allahyarham Dato Onn sebagai pemimpin, tujuannya ialah kerana tanpa sebuah parti politik nasional dan seorang pemimpin dan jurucakap, perjuangan orang-orang Melayu melawan Malayan Union tidak mungkin berjaya. Pemilihan Allahyarham Dato Onn bukan untuk beliau menjadi orang besar. Jika ini berlaku, ia adalah secara kebetulan sahaja.

65. Sebabnya UMNO diteruskan selepas Malayan Union dibubarkan ialah kerana perjuangan orang-orang Melayu belum tamat. Orang-orang Melayu masih belum memerintah negara mereka sendiri selepas Malayan Union diganti dengan Persekutuan Tanah Melayu. Berkat perpaduan yang berterusan orang-orang Melayu dalam UMNO, Perikatan telah menang 51 daripada 52 kerusi dalam pilihanraya 1955. Dengan majoriti yang besar ini pihak British tidak mempunyai helah bagi menolak tuntutan orang-orang Melayu untuk mendapat kemerdekaan.

66. Selepas merdeka pada tahun 1957, masalah orang-orang Melayu belum selesai. Apakah maknanya merdeka jika orang- orang Melayu masih mundur dalam segala bidang dan masih lemah? Jika Kerajaan dikehendaki menolong orang-orang Melayu, maka Kerajaan itu mestilah berteraskan Melayu. Melalui UMNO, sokongan orang-orang Melayu kepada Kerajaan dibulatkan dan langkah-langkah dapat diambil oleh Kerajaan bagi meningkat pencapaian orang-orang Melayu.

67. Perisitiwa 13 Mei 1969 mengingatkan pemimpin-pemimpin UMNO supaya tidak lalai dalam menjalankan tugas membantu orang-orang Melayu. Dasar Ekonomi Baru atau DEB digubal kerana Kerajaan dikejutkan dengan peristiwa berdarah 13 Mei.

68. Tetapi kita belum mencapai matlamat DEB sepenuhnya. Walaupun kedudukan orang-orang Melayu sekarang begitu baik sehingga ada yang lupa akan sebabnya mereka tidak berasa cemas, tetapi ini adalah kerana UMNO masih ada untuk menentukan orang-orang Melayu terlindung. Jika UMNO tidak ada dan parti yang memerintah dianggotai oleh 40 wakil rakyat Melayu dan yang lainnya daripada kaum lain, seperti yang dirangka oleh kumpulan serpihan, orang-orang Melayu tidak akan mendapat perlindungan lagi. Pada masa itu kita akan balik kepada situasi semasa British memerintah, bahkan lebih buruk daripada itu.

69. Hari ini, 11 Mei, kita merayakan bukan sahaja kejayaan bapa-bapa kita membentuk UMNO, tetapi kita juga merayakannya supaya kita dapat memperingati dan menyedarkan diri kita akan perlunya kita meneruskan perpaduan orang-orang Melayu dalam UMNO dan kita meneruskan usaha-usaha untuk menjadikan orang-orang Melayu bangsa dan kaum yang berwibawa dalam negara kita.

70. Insya-Allah, jika kita seperti pada hari ini, tidak lupa akan sejarah dan asal-usul kita, jika kita tahu menghargai jasa mereka yang begitu berani dan bersemangat berusaha untuk menyatupadukan orang-orang Melayu dan menubuhkan UMNO, jika kita insaf dan selalu bersyukur akan nasib baik kita, insya-Allah kita akan mendapat ganjaran lagi, kita akan mencapai kejayaan, kita akan menjadi bangsa yang gagah, yang mulia dan dihormati. Kita perlu ingat bahawa mereka yang lupa akan sejarah akan didera dengan mengulangi berkali-kali segala kesalahan mereka dan akan menerima keburukan yang menimpa mereka terdahulu.

71. Mereka yang belum insaf, insaflah dan balik ke pangkal jalan. Mereka yang tahu insaf, insaflah dan bersyukur mudah-mudahan Allah S.W.T. akan mengurniakan lebih banyak kejayaan.

71A. Bagi negeri Johor dan bagi Duli Yang Maha Mulia Sultan Iskandar, Sultan Johor, 11hb. Mei mempunyai makna yang istimewa kerana pada 11hb. Mei, 1982 Duli Tuanku telah diisytiharkan Sultan dan Yang Di-Pertua Negeri Johor Darul Rakzim.

72. Oleh itu rayakanlah hari ini, 11 Mei, sebagai hari yang mulia, hari yang bahagia, hari yang keramat bagi bangsa Melayu yang beragama Islam. Rayakanlah hari ini kerana kita semua berhak merayakannya. Mudah-mudahan anak-cucu kita dan seluruh zuriat kita tidak akan mudah menjadi orang yang tidak tahu berterima kasih kepada jasa.

73. Akhir kata saya mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri kepada sekalian yang hadir dan semua orang Melayu. Saya mengucapkan selamat merayakan 11 Mei, hari bertuah dalam sejarah orang-orang Melayu dan sejarah negara kita Malaysia yang kita kasihi.Insya-Allah,akan berhasillah perhimpunan kita ini.

Wabilahitaufik walhidayah wassalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh

No comments:

Post a Comment