Thursday, January 17, 2013

KERAJAAN PERSEKUTUAN PERLU BENARKAN PENGGUNAAN KALIMAH ALLAH...???


APA KATA LIM GUAN ENG SEBUT KALIMAH INI DENGAN BETUL, TEPAT DARI SEGI MAKNA DAN PENUH RASA INSAF SERTA MERASA KEBESARAN ALLAH TANPA MENSYIRIKKAN ALLAH DENGAN APA SESUATU PUN ...???
DAN SEBUTLAH JUGA BAHAWA NABI MUHAMMAD SAW ITU ADALAH PESURUH ALLAH.



KUALA LUMPUR 16 Jan. - Presiden Pertubuhan Jalur Tiga (Jati), Datuk Dr. Hasan Ali menggariskan tiga syarat kepada semua pihak sebelum isu kalimah Allah boleh dianggap selesai.
Dalam satu kenyataan beliau menegaskan, selagi syarat itu tidak dipatuhi dengan penuh keikhlasan dan kejujuran, selagi itulah isu kalimah Allah dan isu-isu berkaitan agama khususnya Islam akan dijadikan modal politik.
Syarat-syarat berkenaan adalah:
(1) Setiap yang terlibat terutama mereka yang mengusulkan kalimah Allah diizin pakai dalam Bible versi bahasa Melayu perlu melihat dan memahami peruntukan Perlembagaan Persekutuan dan enakmen-enakmen negeri yang telah dikeluarkan berhubung dengan isu itu.
Semua pihak mesti bersedia mematuhi peruntukan-peruntukan sedia ada di samping menghormati sensitiviti umat Islam yang menjadi penduduk majoriti di negara ini kerana isu tersebut berkait langsung dengan permasalahan akidah.
(2) Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng sebagai pihak yang menimbulkan semula isu itu dalam ucapan sempena sambutan Krismas baru-baru ini perlu menarik balik dan memohon maaf secara terbuka atas gesaan beliau supaya Kerajaan Persekutuan memberi izin kepada penganut Kristian menggunakan kalimah Allah dalam Bible berbahasa Melayu.
Ternyata gesaan itu telah menyinggung perasaan dan menimbulkan kemarahan umat Islam di negara ini.
(3) Semua pihak menghormati keputusan Majlis Syura Ulama Pas dan fatwa yang dikeluarkan sebelum ini di peringkat Persekutuan dan peringkat negeri mengenai penggunaan kalimah Allah.
Semalam, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir Baharom meminta isu kalimah Allah dihentikan serta tidak dibangkitkan lagi dan nada serupa disuarakan oleh Setiausaha Agung Pas, Datuk Mustafa Ali.
Ahad lalu, Majlis Syura Ulama Pas memutuskan kalimah Allah adalah khusus untuk agama Islam sekali gus tidak boleh digunakan dalam Bible versi bahasa Melayu.
Menurut Hasan, seluruh rakyat Malaysia sedang menunggu respons dan kenyataan rasmi daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP terhadap keputusan yang dibuat majlis berkenaan.
Jelasnya, masyarakat umum mengetahui kedua-dua parti itu mempunyai pandangan tersendiri yang bertentangan dengan pandangan rasmi Pas mengenai isu itu.
"Sekiranya pemimpin-pemimpin DAP dan PKR terus mendiamkan diri, maka tidak salah bagi rakyat membuat anggapan bahawa sikap sedemikian akan terus diambil dalam hal-hal seperti ini sekiranya mereka berjaya ke Putrajaya," katanya.
Jelas Hasan, beliau mendengar desas-desus terdapat usaha beberapa pihak dalam pakatan pembangkang menuntut Majlis Syura Ulama Pas menarik balik keputusan yang dibuat atau Pas akan dipencilkan oleh pakatan pembangkang dalam Pilihan Raya Umum Ke-13.
"Bagi saya tuntutan dan ugutan seperti ini hanya timbul daripada pihak yang mementingkan tuntutan nafsu jahat, bukan daripada kewarasan akal fikiran dan hati yang bersih. Lalu di manakah untungnya Pas untuk terus berada dalam sebuah pakatan yang tidak menguntungkan perjuangannya itu," katanya.
Dalam kenyataan itu, Hasan turut menjemput seluruh masyarakat Islam khususnya di Selangor untuk hadir ke kuliah khas oleh Timbalan Mursyidul Am Pas, Datuk Dr. Haron Din mengenai isu kalimah Allah di Masjid Negeri Shah Alam pada Jumaat ini selepas solat Maghrib.