Friday, October 12, 2012

BANI JAWI




Bangsa Melayu yang telah wujud berkurun lalu pada hari ini telah semakin luntur sifat jatidirinya. Adab serta adat beransur ditinggalkan, bahkan budaya barat telah mengambil tempat mengisi ruang dalam masyarakat itu hari ini. Pengikisan sifat asli bangsa Melayu sedikit demi sedikit telah melemahkan bangsa yang sebelum itu adalah penguasa agung, pernah memerintah dan menubuhkan empayar-empayar yang menjadi lagenda dunia. Menyedari bahawa bangsa ini mewarisi keagungan mereka, maka wujudlah tindakan tersusun dari musuh tradisi mereka untuk menghapuskan sifat serta jatidiri terhadap keturunan bangsa ini. Selain proses ‘pembutaan’ sejarah kepada anak-anak Melayu, banyak lagi subjek-subjek lain yang menjadi sasaran termasuklah tulisan Jawi yang telah sebati dengan orang Melayu semenjak 800 tahun lalu.

Perkataan Melayu itu sendiri sebenarnya adalah sebutan ‘baru’ kepada kaum yang dahulunya dikenali sebagai bangsa Jawi oleh sebahagian penduduk dunia. Sedangkan makna perkataan Bani Jawi menurut Ibnu Athir al-Jazari di dalam kitabnya, al-Kamil fi at-Tarikh, berasal dari perkataan "BANI JIWI".  Perkataan “Bani” bermaksud “Kelompok atau Kaum”, manakala suku kata “Ji” adalah “Satu” dan “Wi” pula bermaksud “Widhi atau Tuhan”. Dengan sendirinya perkataan Bani Jawi itu adalah merujuk kepada kaum yang meyakini adanya satu Tuhan.

Menurut Ibnu Athir al-Jazari lagi, asalnya kaum Melayu adalah dari kaum penghijrah yang berasal dari negeri “atas angin” yang dinamakan “al-Jawwu” iaitu dari Asia Tengah ke Asia Timur. Kaum yang berhijrah di Asia Timur ini adalah kaum yang mendiami pergunungan atau tanah tinggi. Menurut bahasa Sanskrit, gunung atau tanah tinggi disebut sebagai “Mala”. Bangsa Mala adalah merujuk kepada orang yang mendiami tempat tinggi, iaitu Bani Jawi yang berhijrah dan tinggal di kawasan pergunungan. Kaum ini kemudiannya datang ke tanah tinggi di Indocina yang kemudiannya membentuk Kerajaan Melayu Champa dan Empayar Langkasuka.

Menurut sebahagian sarjana sejarah, asal usul orang Melayu adalah dari kaum yang tinggi tarafnya di dalam suatu tamadun agung purba. Mereka berasal dari golongan pemerintah, pahlawan serta cendikiawan. Kaum ini berhijrah selain menjaga syariat yang ditinggalkan oleh Nabi Allah Ibrahim a.s. Mereka juga turut menyebarkan ajaran dari syariat anutan mereka di sepanjang perjalanan serta pengembaraan mereka menuju ke timur (Asia Tenggara). Bagaimana pun apabila tiba di satu peringkat syariat ajaran Nabi Ibrahim a.s. telah dipesong dan disesatkan oleh golongan mungkar, maka muncullah Bani Jawi dalam mencari kebenaran dalam beragama.

Jika dilihat dari peninggalan hasil penggalian ahli arkeologi, didapati bumi Nusantara ini mempunyai hasil peninggalan  atau artifak yang menunjukkan anutan agama atau budaya bangsa Melayu terdahulu lebih menjurus kepada Hindu-Buddha. (Bukannya penemuan arkeologi tersebut membuktikan penduduk Nusantara ini berasal dari China atau India, juga bukan sebagai bukti bahawa ianya hasil penaklukan empayar tertentu.) Jika dilihat penghijrahan bangsa Melayu dari Champa yang berbudaya Hindu ke arah  selatan (Semenanjung Tanah Melayu dan Kepulauan Indonesia), mereka kemudiannya menukar anutan kepada Buddha. Bukan setakat itu sahaja, Nusantara telah menjadi tempat penyebaran dan pembelajaran agama Buddha terbesar di dunia sehinggakan penganut dari China dan Tibet turut datang ke sini bagi mendalami ilmu masing-masing.

Bani Jawi ini cukup sensitif dalam beragama, jika diyakini terdapat kecurigaan dalam pengamalan, mereka akan mencari jalan untuk mendapatkan kebenaran. Sifat MENCARI KEBENARAN ini adalah salah satu sifat orang Melayu jati dan terus hidup dalam seluruh urat saraf mereka. Bangsa ini tidak akan teragak-agak menukar anutan agama mereka, sekiranya syariat baru yang diperkenalkan dapat meyakini bahawa itulah itulah agama dari Tuhan Yang Maha Esa.

Sinar Islam telah tiba di Nusantara seawal abad ke-7 Masehi, sebahagian orang Melayu telah menerima agama baru tersebut dengan baik walaupun penerimaannya masih belum menyeluruh. Gelombang penerimaan Islam di Nusantara pada skala yang besar dan menyeluruh ialah pada abad ke-14 Masehi, walaupun pada abad ke-8 serta abad ke-12 Islam telah berkembang di Pasai dan Langkasuka. Ini menunjukkan Bani Jawi itu terdapat di dalam diri mereka sifat mencari kebenaran dalam menuju kepada Tuhan Yang Maha Esa. Islam diterima tanpa penentang serta pertumpahan darah (kecuali di satu dua tempat yang majoritinya penduduk peribumi/aborigin).

Berbalik kepada perkataan Melayu yang masih baru kepada Bani Jawi, ianya adalah bukan satu hipotesis atau dogengan orang tua. Kemunculan perkataan MELAYU ini hanya bermula pada abad ke-20 berbanding kewujudan bangsa itu sendiri yang paling singkat pun kira-kira 800 tahun dahulu atau jauh lebih lama dari itu! Sebelum itu orang Arab memanggil Melayu sebagai orang Jawi (sekarang ini disebut Malazei untuk orang Melayu di Malaysia), manakala orang Cina menyebutnya sebagai “Mo-lo-yo” atau “Ma-lai-yuer”. Bahkan orang Inggeris menyebut bangsa ini sebagai “Malay”. Bagaimana pula hari ini kita menyebut bangsa agung ini sebagai ‘Melayu”.

Syeikh Ahmad al-Fatani  bin Muhammad Zain bin Mustaffa (1856 – 1908) adalah seorang ulama dan tokok pemikir bangsa Melayu yang masyhur namanya, baik di Nusantara bahkan di negeri Arab telah menulis di dalam kitabnya:

“ … iaitu himpunan kaum-kaum Melayuwiyah nisbah kepada ‘Melayu’ dengan kasrah MIM atau difathahkannya  dan dammah YA. Mereka itu adalah suatu kelompok atau golongan yang besar daripada manusia. Negeri mereka adalah sesubur-subur negeri di dunia. Ianya teletak di antara negeri Hindi dan China dan kebanyakan dari pulau Waq-Waq….”

MIM   LAM-ALIF   YA   WAU   =   MALAYU, kenapa jadi MElayu. Begitu juga…

FA   ALIF   SIN   =  PAS, dalam ejaan Jawi. Tetapi dalam tulisan Rumi sepatutnya ejaan tersebut menjadi PIS!


Cuma sekadar menyebut dua contoh bagaimana bangsa Malayu dimelayukan menerusi penghapusan tulisan Jawi. Sedangkan percakapan asal orang Melayu adalah berlidah Jawi. Contohnya:  SIN ALIF YA.  Huruf YA  disebut oleh orang Kelantan sebagai “Yo” . Sebutan SAYA di Kelantan menjadi “sayo”.

Penghapusan tulisan Jawi adalah salah satu langkah menghilangkan indentiti Melayu dan Bani Jawi itu sendiri yang tercantum dengan agama anutan mereka, Islam.  Selain itu makna asal MALAYU itu sendiri juga telah hilang seterusnya hilanglah juga asal usul bangsa Malayu itu sendiri.

Kini wujud perkataan Melayu yang tidak mempunyai makna kepada bangsa tersebut. Maka wujudlah satu perkataan yang lebih ajaib iaitu UMNO atau ALIF MIM NUN WAU yang lebih dekat dengan orang Melayu kerana ianya merujuk kepada PERTUBUHAN KEBANGSAAN MELAYU BERSATU. Maka gugurlah sifat Inggeris pada perkataan UMNO itu sendiri.

Melayu tidak menjadi kuat dengan perkataan FA ALIF SIN dan ALI MIM NUN WAU, tetapi kekuatan sebenar ialah apabila bersatunya orang Melayu dengan kembali kepada sifat Bani Jawi asal, untuk menentukan kedaulatan bangsa dan negara sendiri. Penghayatan ajaran Islam sebenar yang syariatnya lebih tinggi daripada falsafah serta ideologi politik  adalah merupakan kekuatan sebenar bangsa, yang kini semakin MElayu…

No comments:

Post a Comment