Friday, August 3, 2012

KEWAJIPAN MENTAATI PEMIMPIN ISLAM.


Terbinanya sebuah kepimpinan yang kukuh dan stabil bagi sebuah negara adalah amat penting dalam Islam. Dalam Islam prinsip ketaatan kepada pemerintah adalah sangat penting, ini kerana peraturan-peraturan yang dibawa oleh Islam tidak akan dapat dilaksanakan tanpa wujudnya satu pemerintahan yang ditaati. Sebahagian dari asas-asas utama syariat ialah mentaati pemimpin negara. Masyarakat yang terbiar tanpa pemimpin akan menyebabkan negara akan menjadi huru hara dan kucar-kacir. Penindasan akan berlaku terhadap golongan yang lemah oleh golongan yang kuat dan berkuasa. Justeru itu , urusan kepimpinan merupakan salah satu dasar utama dalam Islam.
Firman Allah SWT: "Allah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh daripada kalangan kamu (wahai umat Muhammad) bahawa Dia akan menjadikan mereka khalifah-khalifah yang memegang kuasa pemimpin di bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka khalifah-khalifah yang berkuasa". (al-Nur (24: 55).

Ketaatan rakyat kepada pemimpin akan menentukan segala urusan berkaitan dengan kemasyarakatan berjalan dengan tersusun dan memastikan organisasi kepimpinan tidak pincang. Allah SWT berfirman:"Wahai orang yang beriman taatlah kepada Allah dan taatlah kepada Rasul dan pemimpin dalam kalangan kamu. Jika kamu bertelingkah dalam sesuatu perkara maka rujuklah kepada Allah dan Rasul (al-Quran dan Hadis) jika kamu benar-benar beriman dengan Allah dan Hari Akhirat, demikian lebih baik dan sebaik-baik tindakan.(Surah al-Nisa’: 59)
Perintah mentaati pemimpin bukan hanya sekadar kepada perkara-perkara yang disukai, tetapi menrangkumi juga perkara-perkara  yang mungkin dibenci. Ini kerana sudah menjadi fitrah manusia mudah untuk mentaati kepada perkara yang disukai tetapi sukar patuh kepada perkara yang tidak disukai.

Walaubagaimanapun perintah untuk taat kepada pemimpin  tidaklah mutlak sebagaimana ketaatan kepada Allah dan RasulNya. Rasulullah telah menghadkan ketaatan kepada pemimpin hanya kepada perkara-perkara yang yang makruf sepertimana sabda baginda SAW yang bermaksud:" Tidak ada ketaatan kepada perkara-perkara maksiat kepada Allah, sesungguhnya ketaatan itu hanya pada perkara-perkara makruf". Islam telah meletakkan beberapa asas yang penting tentang bagaimana rakyat perlu berinteraksi dengan pemimpin demi menjamin kestabilan politik serta kemakmuran masyarakat di sesebuah negara Islam. 
Ketaatan kepada pemimpin merupakan satu dasar yang pokok bagi Ahlus Sunnah wal Jamaah.
Firman Allah SWT: "Wahai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul,
dan Ulil Amri (pemimpin) di antara kamu". (al-Nisaa' (4): 59)

  Selagi mana seseorang pemimpin itu tidak menyuruh kepada melakukan maksiat, selagi itulah rakyat perlu mentaatinya. Sabda Rasulullah SAW: "Diwajibkan mendengar dan taat (kepada pemimpin) ke atas setiap Muslim sama ada dalam hal yang dia suka atau benci selagi mana dia tidak diperintah untuk melakukan maksiat. Jika dia diperintah melakukan maksiat maka tidak wajib untuk mendengar dan tidak wajib taat". - Hadis riwayat Imam al-Bukhari.

  Andai jika seseorang pemimpin Islam menyuruh melakukan sesuatu perkara yang bertentangan dengan syarak dan yang berunsurkan maksiat, maka wajib bagi umat Islam untuk tidak mentaati perintah tersebut. Namun begitu Rasulullah juga melarang menarik balik kesetiaan kepada pemimpin demi mengelakkan perpecah sesama umat Islam. 
 Baginda bersabda dalam satu hadis yang berbunyi,"Ketahuilah! Sesiapa yang dipimpin oleh seorang pemimpin lalu dia melihat sesuatu kemaksiatan kepada Allah (yang dilakukan oleh pemimpin itu), maka bencilah kemaksiatan kepada Allah tersebut. Akan tetapi jangan menarik ketaatannya (kepada pemimpin itu)". - Hadis riwayat Imam Muslim.

 Pemimpin juga manusia biasa dan bukanlah sempurna. Mereka juga tidak bebas dari melakukan kesilapan dan kesalahan, oleh itu Islam menyuruh umatnya menegur dan memberi nasihat kepada pemimpin mereka. Pemimpin Islam juga perlu bersifat terbuka dalam menerima teguran dan nasihat. Prinsip kepimpinan sebegini telah dibuktikan misalnya oleh Saidina Abu Bakar yang membuka ruang untuk rakyat menegur, seperti katanya ketika dilantik menjadi Khalifah umat Islam yang pertama" Jika sekiranya kamu melihat aku melakukan kebaikan bantulah aku, jika sekiranya kamu melihat aku melakukan kesalahan, betulkan aku". Sikap pemimpin yang terbuka menciptakan suasana yang harmoni antara pemimpin dengan para pengikut dan mewujudkan perasaan kasih sayang.
Islam juga mengajar agar pemimpin tidak menganggap dirinya mempunyai keistimewaan-keistimewaan yang membezakan dirinya dengan rakyat. Disisi Allah, ukuran perbezaan diantara manusia adalah ketakwaan, bukan harta benda dan kuasa. Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud:" Agama itu adalah nasihat. Kami (para sahabat) berkata kepada siapa ya Rasulullah? Sabda Rasulullah SAW, kepada Allah, kepadaRasulNya , kepada KitabNya dan kepada pemimpin-pemimpin umat Islam dan pengikutnya.

Walaupun Islam membenarkan menegur pemimpin, tetapi tidaklah boleh dilakukan secara terbuka di atas pentas-pentas, dengan kata-kata berbentuk cacian dan menghina atau dengan tujuan menanam perasaan benci di kalangan masyarakat terhadap pemimpin tersebut, tetapi hendaklah kita menasihatinya dan memperjelaskan kesalahannya dengan cara yang penuh hikmah. Prinsip tegur-menegur yang dianjurkan oleh Islam merupakan suatu prinsip yang unggul kerana ia tidak memihak kepada pemimpin atau rakyat sepenuhnya.  Oleh itu ia tidak akan menjejaskan kepentingan pemimpin dan juga kepentingan rakyat. Ini menjelaskan diantara tugas dan tanggungjawab seorang pemimpin di satu pihak dan dan tugas dan tanggungjawab rakyat di satu pihak yang lain.

Rasulullah SAW telah menunjukkan kepada umatnya tentang cara untuk menasihati pemimpin melalui sabda Baginda: "Sesiapa yang ingin menasihati pemimpin dalam sesuatu urusan, janganlah dia melakukannya secara terang-terangan. Akan tetapi hendaklah dia mengambil tangan pemimpin tersebut dan ajaklah (nasihatilah) dia secara tersembunyi. Jika dia (pemimpin) menerima (nasihat tersebut) maka itulah yang diharap-harapkan. Jika dia tidak menerima (nasihat) maka sesungguhnya dia (pemberi nasihat tersebut) telah melaksanakan tanggungjawabnya". - Hadis riwayat Imam Ahmad.

Menerusi prinsip ia bermakna umat Islam tidak hanya membisu apabila kemaksiatan atau kezaliman seperti rasuah, korupsi, kronisme dan penyalahgunaan kuasa berlaku dengan alasan ia berpunca daripada pihak pemimpin. Kezaliman dan kemaksiatan  tersebut tetap perlu diingkari. Maka diperjelaskan secara umum kepada masyarakat bahawa perkara-perkara tersebut adalah bertentangan dengan syarak dan terlarang. Hanya pengingkaran terhadap kemaksiatan yang dilakukan oleh pemimpin itu tetap perlu mengikut tatacara yang telah diperintahkan oleh Rasulullah SAW sebagaimana telah diperjelaskan. Rasulullah SAW menerusi bimbingan wahyu Ilahi telah meramalkan bahawa pada masa mendatang akan wujud pemimpin yang mentadbir dengan tidak mengikuti ajaran-ajaran baginda namun baginda tetap menyuruh umat Islam untuk taat kepada pemimpin tersebut selagi dia adalah seorang Muslim dan tidak wujud tanda-tanda yang jelas bahawa dia telah kafir.

Rasulullah SAW bersabda: "Akan ada sepeninggalanku nanti pemimpin (yang) kalian mengenalnya dan mengingkari (kejelekannya), maka barang siapa mengingkarinya (bererti) dia telah berlepas diri, dan barang siapa membencinya (bererti) dia telah selamat, akan tetapi barang siapa yang meredainya (akan) mengikutinya. Para sahabat bertanya: Apakah tidak kita perangi (sahaja) dengan pedang? Baginda menjawab: "Jangan, selama mana mereka masih menegakkan solat di tengah-tengah kalian". - Hadis riwayat Imam Muslim

Begitulah beberapa prinsip asas penting Ahlus Sunnah Waj Jamaah tentang tatacara bagaimana umat Islam harus berurusan dengan pemimpin di sesebuah negara Islam demi mencapai kestabilan politik dan perpaduan umat yang merupakan aspek penting dalam membentuk umat Islam yang kuat dan digeruni musuh. Perpecahan hanya akan meruntuhkan kekuatan umat Islam, sedangkan musuh Islam bagaikan serigala-serigala buas yang menunggu untuk membaham. Wallahualam.


MOHAMMAD FIRDAUS HASNEL.

No comments:

Post a Comment