Saturday, August 4, 2012

KENAPA KITA SUKAR BERSATU PADU ?


[3:103] Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah akan ni'mat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa Jahiliyah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu karena ni'mat Allah, orang-orang yang bersaudara; dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu dari padanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu, agar kamu mendapat petunjuk.

RAPUH! Itulah yang perkataan yang paling sesuai untuk mengambarkan betapa lemah dan gentingnya perpaduan umat Islam  kini. Perpaduan dan persaudaraan dalam Islam adalah satu ikatan atau jalinan suci akidah yang akan menghubungkan umat Islam antara satu sama lain. Persaudaraan satu sendi yang menjadi tunjang dalam usaha memperkuatkan binaan masyarakat Islam dan mengeratkan hubungan antara penganutnya. Persaudaraan atas dasar iman sentiasa dijadikan keutamaan di dalam nasihat-menasihati, memberikan khidmat, berkorban dan mengutamakan saudaranya melebihi dirinya sendiri. Tiada negara yang dapat dibangunkan tanpa ada perpaduan, dan tiada umat yang kuat tanpa ada rasa cinta persaudaraan. Junjungan besar Nabi Muhammad kekasih Allah SAW pernah bersabda"Ikatan iman yang paling kuat ialah berkasih sayang kerana Allah dan marah kerana Allah." 

Berapa ramai umat Islam begitu menjaga  hubungan dengan Allah (hablu minallah) tetapi pada masa yang sama mengabaikan hubungan sesama manusia (hablu minannas). Sedangkan asas bagi ajaran Islam bukanlah sekadar membina hubungan dengan Allah semata-mata, tetapi kita juga wajib mengukuhkan hubungan sesama manusia  apatah lagi  sesama muslimin. Ikatan ukhwah yang kukuh, memberi kekuatan kepada ummah keseluruhannya. Begitu banyak ayat-ayat Allah dalam Alquran dan hadis-hadis nabi SAW yang mengajak kepada perpaduan dan persaudaraan sesama Islam, tetapi kenapa perpecahan juga yang berlaku dikalangan kita umat Islam?

Ada beberapa faktor atau  punca umat Islam berpecah antaranya yang mudah kita lihat dewasa ini ialah "Perebutan kuasa". Kegilaan sesetengah ahli-ahli politik untuk berkuasa dan menjadi pemimpin Islam dengan mencipta slogan-slogan indah untuk menarik sokongan rakyat, tetapi dalam masa yang sama mengabaikan perpaduan dan persaudaraan sesama muslimin. Idealisma perjuangan mereka yang kononnya memperjuangkan Islam dan keadilan dicemari dengan kata nista kotor dan caci-mencaci demi menagih sekeping undi. Harus disedari bahawa kuasa politik bukan segala-galanya, hingga perlu direbut dengan apa harga sekalipun dan walaupun dengan mengorbankan prinsip dan nilai akhlak.  Malangnya bagi sesetengah ahli politik , perpecahan ini terutama di kalangan umat Islam merupakan satu peluang keemasan untuk mereka mencapai cita-cita kotor mereka. Bahkan mereka sanggup bersekongkol dengan musuh Islam demi mengukuhkan lagi kedudukan mereka.
Firman Allah dalam surah al-Anbiya, ayat 92 bermaksud: “Sesungguhnya (agama Islam) ini adalah agama kamu semua, agama yang satu dan Aku adalah Tuhanmu, maka sembahlah Aku.
Sebarang bentuk perpecahan akan mengundang murka Allah . Berulangkali dalam Alquran dan hadis menyebut tentang peri pentingnya menjaga perpaduan ummah dan mengelak sebarang perpecahan.
Menolak perpaduan dan persaudaraan yang dianjurkan oleh Islam umpama  menolak rahmat Allah. Allah menjanjikan kejayaan di dunia dan akhirat kepada mereka yang memelihara  ikatan persaudaraan dan menhindari persengketaan.
Rasulullah SAW mengambil pendekatan menyatukan seluruh puak dan keturunan dengan satu piagam seluruh umat Islam adalah bersaudara. Perpecahan hanya akan mengundang lagi malapetaka kepada umat Islam. Musuh Islam bagaikan serigala lapar yang menunggu masa untuk meratah rakus umat Islam.
Perpecahan umat Islam berlaku juga hanya kerana perbezaan pendapat dan mazhab-mazhab tertentu. Bahkan di tanah air kita sendiri yang mengamalkan mazhab Imam As Syafie pun berpecah kepada beberapa kumpulan. Malahan sesetengah kumpulan sanggup mengkafirkan satu kumpulan yang lain hanya kerana sedikit perbezaan pendapat. Bagi mereka sesiapa yang tidak menyertai, menyokong dan bersetuju dengan mereka dianggap "kafir" dan menentang Islam. Bahkan ada yang sanggup menumpahkan darah sesama saudara dan sesetengahnya sanggup berperang. Inikah "BALA" yang Allah turunkan kepada Umat Islam yang berpecah belah..? 
Allah berfirman yang bermaksud : Katakanlah: “Dia lah yang berkuasa menghantar kepada kamu azab seksa (bala bencana), dari sebelah atas kamu, atau dari bawah kaki kamu, atau Ia menjadikan kamu bertentangan dan berpecah-belah – berpuak-puak, dan Ia merasakan sebahagian daripada kamu akan perbuatan ganas dan kejam sebahagian yang lain”. Perhatikanlah bagaimana Kami menjelaskan ayat-ayat keterangan (yang menunjukkan kebesaran Kami) dengan berbagai cara, supaya mereka memahaminya. (al-An'am ayat 65).

Perpecahan umat Islam sekarang bukanlah berpunca dari ajaran Islam, tetapi ia berpunca dari tafsiran-tafsiran al quran  yang berbagai-bagai dan bertentangan dari ajaran suci Islam. Dikalangan pemimpin dan ahli-ahli agama dalam kumpulan tertentu sanggup memanipulasi ayat-ayat al-quran dan hadis-hadis nabi hanya kerana ingin memperolehi kedudukan tertentu di dalam dunia. Golongan seperti mereka inilah yang membuat umat Islam keliru dengan agama Islam itu sendiri dan identiti Islam mereka. Malahan bukan Islam juga keliru tentang Islam dan umatnya. Ini akan mengakibatkan jurang perpaduan antara umat Islam sesama sendiri dengan  bukan Islam bertambah besar.

Ketaksuban kepada sesuatu kumpulan dan fahaman juga salah satu faktor yang mendorong kepada perpecahan umat Islam. Jika diteliti dan dikaji secara objektif, kebanyakan perselisihan yang membawa kepada arus pertentangan dan perpecahan adalah berkait dengan sikap fanatik terhadap kumpulan dan pendapat sendiri, lantas ia cuba memonopoli pemikiran dan tiada kesediaan untuk menghormati pandangan orang lain. Penyakit yang disebut juga sebagai ‘al-‘ijab bi al-ra‘yi’ atau penyakit mengkagumi pendapat sendiri ini bagaikan virus merbahaya yang sedang meresapi dalam urat saraf ummah sehingga mereka tidak lagi mewarisi sikap dan adab para pejuang dan pendokong Islam terdahulu. Kehadiran Islam kepada umat manusia bertujuan membebaskan mereka dari belenggu kejahilan dan kejumudan  pemikiran agar bebas dan merdeka mendapat petunjuk cahaya wahyu Ilahi.
Rasulullah SAW bersabda  yang bermaksud: Sesiapa keluar daripada ketaatan (terhadap pemerintah) dan memisahkan diri daripada al-jama‘ah lalu dia mati, maka dia mati jahiliah. Sesiapa yang berperang di bawah rayah ‘immiyyah (bendera kebutaan) dan menyeru kepada assabiah atau marah kerana assabiah maka kematiannya adalah jahiliah. (Riwayat Muslim, An-Nasai dan Ibnu Majah).
Persengketaan sesama sendiri juga boleh menyebabkan umat Islam hilang gah dan kehebatan di mata musuh iaitu tidak lagi menggerunkan mereka. Ini menyebabkan umat Islam mudah diperkotak katikkan oleh bangsa lain dan negara mudah diblilosi dengan ancaman dari dalam dan luar. Dunia Islam hari ini lemah disebabkan permusuhan sesama sendiri. Umat Islam perlu menginsafi diri mereka sendiri, mereka tidak boleh mengubah persepsi dunia terutama dari barat terhadap mereka melainkan mereka merubah diri mereka terlebih dahulu. Keamanan , kesejahteraan dan persuadaraan tidak akan datang dengan percuma, ia perlu diusahakan dengan bersunguh-sungguh disertai iltizam dan azam yang kuat. 
Keharmonian dan keamanan hidup bermasyarakat merupakan nikmat Allah yang di kurniakan kepada manusia. Negara yang aman dapat menbagunkan satu masyarakat yang ideal, seimbang dan sejahtera, manakala negara yang kacau bilau , berperang dan saling menbunuh akan hidup dalam kesengsaraan dan kemusnahan.

Sesunguhnya  kepelbagaian pendapat dan perbezaan sesama kita umat Islam jika ditangani dengan penuh toleransi serta bersederhana akan merungkaikan pelbagai masalah yang timbul. Negara dan ummah akan dapat membangun dengan pesat dan rakyat akan hidup bersatu padu dan aman damai.
Allah berfirman yang bermaksud: Dan kenangkanlah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuhan (ketika Jahiliah dulu) lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu padu dengan nikmat Islam) maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang Islam yang bersaudara. (Surah Ali -Imran, ayat 103) .

Wallahualam. (MFH).

No comments:

Post a Comment