Friday, December 1, 2017

UMNO BENTENG TERAKHIR MEMPERTAHAN ISLAM




UMNO tetap menjadi benteng terakhir mempertahankan Islam dan Melayu di negara ini walaupun dihimpit dan diuji dengan persepsi kebencian dan negatif oleh sesetengah masyarakat umum, kata Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Naib Presiden UMNO itu berkata, masyarakat khasnya mahasiswa perlu lebih bijak dan tidak terperangkap dalam permainan ‘mahkamah pendapat umum’ dan sebaliknya perlu cenderung melihat kepada rekod pencapaian dan kejayaan UMNO selama ini.


“Hodoh sangat ke UMNO? Kotor sangat ke UMNO? UMNO dihukum oleh ‘mahkamah pendapat umum’. Apabila kebatilan, pembohongan diulang-ulang, ia menjadi satu stigma kepada pola pemikiran sehingga akhirnya UMNO yang dikotorkan itu dianggap kotor. Kebenaran lazimnya datang kemudian.

“UMNO adalah benteng terakhir­ orang Islam dan Melayu di negara ini. Rekod kita memperlihatkan pencapaian dan kejayaan tanpa kita berniat untuk riak mahupun takbur. Kita hidangkan rekod ini kepada khalayak untuk dinilai,” kata Ahmad Zahid yang turut menjalankan tugas-tugas Timbalan Presiden UMNO.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Persidangan Kepe­mimpinan Mahasiswa Nasional (Pemanas) yang turut dihadiri Pengerusi Biro Pendidikan UMNO, Tan Sri Dr. Ibrahim Abu Shah dan Ketua Pemuda UMNO Pahang merangkap Pengarah Pemanas, Mohd. Shahar Abdullah.

Pemanas merupakan program anjuran Biro Pendidikan UMNO yang dihadiri 350 peserta terdiri daripada mahasiswa di dalam dan luar negara bagi membincangkan pelbagai isu anak muda khususnya berkaitan mahasiswa selaras dengan program menjelang Perhimpunan Agung UMNO 2017 bertemakan Mahasiswa Arkitek Malaysia Alaf Baru.

Ahmad Zahid berkata, justeru menjadi tugas dan tanggungjawab mahasiswa selaku pemimpin masa depan untuk menjernihkan keadaan dan mempertahankan parti keramat Melayu itu.

“Tugas dan tanggungjawab saudara semua adalah melontarkan fakta mengenai indahnya UMNO sebagai sebuah organisasi politik serta sebagai sebuah ins­titusi sosial orang Melayu yang tidak ketepikan bangsa lain.

“Anda tidak salah pilih untuk jadi ahli UMNO. Malah anda pa­ling bertuah sebab memilih UMNO. Amat rugi jika ada anak-anak muda yang ketepikan UMNO,” katanya yang berharap kecemerla­ngan UMNO diteruskan oleh gene­rasi muda selaku arkitek masa depan negara.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut mengingatkan mahasiswa agar menjadikan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai pemimpin yang paling berjiwa besar dan relevan dalam merea­lisasikan aspirasi golongan muda.

Beliau berkata, ini kerana pemim­pin-pemimpin UMNO sentiasa berada di belakang belia dalam melaksanakan agenda transformasi negara.

Menurutnya, kesetiaan beliau dan pemimpin UMNO lain terhadap kepemimpinan Najib adalah kerana yakin terhadap falsafah dan usaha Perdana Menteri untuk membantu membangunkan negara dan orang Melayu, dan pada masa sama tidak mengetepikan hak-hak bangsa dan negara lain. –



No comments:

Post a Comment