Tuesday, June 6, 2017

DAP RISAU PENGUNDI BERPINDAH




Tindakan Pengerusi DAP Perak, Nga Kor Ming meminta Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menjawab isu pemindahan pengundi disifatkan sebagai "salah alamat".

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, urusan mengenai pendaftaran mahupun perpindahan pengundi adalah proses yang dibuat melalui Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan tidak melibatkan Menteri Besar mahupun Barisan Nasional (BN).

"Sebagai pemimpin politik, Nga sepatutnya tahu proses pendaftaran dan perpindahan pengundi termaktub dalam perlembagaan dan SPR akan membuat pameran setiap suku tahun daftar pemilih bagi tujuan bantahan. Persoalannya, adakah Nga tidak tahu atau tidak pernah mahu ambil tahu soal bantahan sewaktu daftar pemilih dipamerkan," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau mengulas gesaan Nga sebelum ini yang meminta penjelasan BN dan Zambry mengenai pemindahan pengundi di beberapa kawasan di Perak.

Menurut Saarani, proses belah bahagi yang telah diwartakan pada tahun lalu oleh SPR berdasarkan peruntukan undang-undang, turut menyebabkan pergerakan pengundi khususnya perubahan daerah mengundi.

"Ini melibatkan pengundi tanpa mengira penyokong mana-mana parti dan proses ini dilakukan oleh SPR dalam usaha memperbetulkan sempadan pilihan raya. Malah, DAP juga telah dimaklumkan mengenai perkara ini," katanya.

Saarani turut menasihati Nga supaya tidak bermain “baling batu sembunyi tangan” selepas DAP sering menggunakan fitnah dan tohmahan terhadap pihak lain bagi menutup “kejahatan” yang dilakukan mereka. -