Wednesday, March 1, 2017

MALAYSIA NEGARA BERDAULAT, JANGAN NAK MENYIBUK !



Admin sokong dan setuju sangat apabila Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan tegas tidak akan tunduk kepada mana-mana pihak dalam usaha memburu suspek pembunuhan Kim Jong-nam meskipun dalang terlibat berpangkat mahupun anggota perisik.

Menurut Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar pihaknya akan menggunakan apa cara sekalipun untuk menangkap suspek yang sudah dikenal pasti bagi menyelesaikan kes pembunuhan berprofil tinggi itu.

“Kita tidak kira siapa mereka dan kerja dengan siapa. Kita mahu mereka untuk siasatan kes bunuh di Malaysia,”

Media antarabangsa semalam melaporkan Ahli Parlimen Korea Selatan, Lee Cheol-woo dalam satu pertemuan tertutup dengan Agensi Perisikan Kebangsaan (NIS) Korea Selatan mendakwa empat suspek yang dipercayai terlibat dalam kes pembunuhan Jong-nam, adalah perisik Kementerian Keselamatan Negara atau agensi perisikan Pyongyang, Korea Utara.

Mengulas lanjut berhubung gesaan supaya Malaysia ber­kongsi hasil siasatan penggunaan bahan toksik Agen Saraf VX terhadap Jong-nam dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Ber­satu (PBB) agar tindakan sewajarnya boleh diambil ke atas Korea Utara, Khalid membe­ritahu, pihaknya sedia berkongsi maklumat.

“Siasatan dilakukan secara telus dan menyeluruh, jadi tiada alasan untuk tidak berkongsi maklumat mengenai agen saraf VX,” ujarnya sebagai mengulas gesaan Duta Britain ke PBB, Matthew Rycroft.

Bagaimanapun, Duta Jepun ke PBB, Koro Bessho membe­ritahu, perkongsian itu terpulang kepada Malaysia untuk memutuskan sama ada mahu menyerahkan maklumat yang dimiliki atau tidak.

Dalam perkembangan ber­kaitan, Khalid turut mengesahkan kewujudan dua syarikat teknologi komunikasi di negara ini yang dipercayai dikawal oleh pemegang saham dari Korea Utara seperti dilaporkan media antarabangsa semalam.

Menurutnya, dalam laporan itu dinyatakan mengenai kewujudan syarikat bernama Glocom di negara ini yang menggunakan laman web glocom.com.my, berdaftar sejak 2009.

“Syarikat International Glo­bal System Sdn. Bhd., didaftarkan pada tahun 2005 dan International Golden Services Sdn. Bhd. yang didaftarkan pada 2012 memang tersenarai dalam laman web tersebut, namun skop perniagaan mereka lebih kepada perniagaan multimedia, produk teknologi telekomunikasi, elektronik serta perdaga­ngan.

“Bagaimanapun, kedua-dua syarikat tersebut sedang dalam proses untuk ditutup,” ujarnya.

Apa pun beliau menegaskan, pihaknya sentiasa memantau dan mengambil langkah berjaga-jaga dalam memastikan Malaysia tidak digunakan sebagai hab bagi sebarang aktiviti yang boleh mengancam keselamatan negara.

Agensi berita antarabangsa Reuters dalam laporannya semalam mendakwa, Glocom ada­lah syarikat dikendalikan ejen perisikan Korea Utara yang menjual serta mengiklankan lebih 30 sistem radio untuk organisasi tentera dan separa tentera di laman web miliknya di Malaysia.

Reuters yang memetik laporan Majlis Keselamatan PBB mendakwa, urus niaga syarikat itu melanggar sekatan PBB.

No comments:

Post a Comment