ARKIB 8/12/2007
UTUSAN MALAYSIA
Kerajaan digesa menahan anggota kumpulan pelampau Hindu Rights Action Force (Hindraf) di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) bagi mengelak berlakunya perkara yang lebih buruk kepada keselamatan negara.
Para pemimpin politik berpendapat, golongan berkenaan tidak harus dibiarkan bergerak bebas dengan sewenang-wenangnya.
Veteran UMNO, Tan Sri Aishah Ghani berkata, sudah tiba masanya kerajaan menggunakan ISA ke atas mereka yang mendalangi Hindraf.
Katanya, kerajaan tidak perlu teragak- agak untuk bertindak jika terbukti kumpulan itu mempunyai niat mencetuskan keganasan dan memecah-belahkan perpaduan rakyat.
Pada saya memang wajar guna ISA. Kalau memang mereka nak guna kekerasan, memang elok sangat (guna ISA). Tangkap dalang-dalang ini, kita tak boleh pandang ringan lagi perkara-perkara macam ini, katanya di sini hari ini.
Beliau mengulas kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan bahawa Hindraf sudah sampai ke tahap mengancam keselamatan negara kerana terdapat bukti pertubuhan itu berusaha mendapatkan sokongan dan bantuan pengganas antarabangsa.
Bekas menteri itu turut menggesa polis supaya segera mengesan semua dalang Hindraf kerana mereka adalah musuh besar negara.
Saya yakin ada dalang yang menghasut mereka (kaum India). Dalang luar dan dalang dalam ini mesti dicari dan dikenal pasti, katanya.
Mengulas isu yang sama, Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Mohd. Ali Rustam berkata, rakyat perlu menolak pemimpin pembangkang yang sanggup menggunakan militan asing untuk memburuk-burukkan negara.
Kalau mereka tidak puas hati tinggal dengan aman dan makmur di sini, pergilah tinggal di Tamil Naidu, katanya.
Beliau berkata, mereka yang menyokong kumpulan pelampau itu merupakan golongan yang tidak bersyukur dengan apa yang mereka kecapi selama ini sehingga sanggup memburuk-burukkan Malaysia di luar negara termasuk berbohong mengenai pembersihan etnik.
Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Muhammad Muhd. Taib mahu pemimpin kumpulan pelampau Hindraf yang berusaha mendapatkan sokongan dan bantuan militan antarabangsa ditangkap segera kerana tindakan mereka itu boleh mengancam keselamatan negara.
Golongan sedemikian tidak boleh dibiarkan bergerak bebas dalam sebuah negara yang berbilang kaum kerana tindakan kekerasan oleh mana-mana kaum akan mendorong kaum lain untuk bertindak balas.
Ini membahayakan keselamatan negara. Kerajaan harus bertindak menangkap pemimpin-pemimpin yang bertanggungjawab, katanya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam (PAC), Datuk Shahrir Abdul Samad berkata, tindakan kumpulan pelampau Hindu cuba mendapatkan bantuan daripada pengganas antarabangsa menimbulkan kemarahan rakyat.
Katanya, percubaan itu juga menimbulkan kemarahan di kalangan penyokong kumpulan itu sendiri kerana mereka mahu masalah diselesaikan secara dalaman tanpa perlu campur tangan pihak asing.
Sekalipun masyarakat antarabangsa akan bersimpati namun mereka mengetahui tuntutan kumpulan itu hanyalah masalah dalaman sesebuah negara sebagaimana yang dialami oleh kebanyakan negara lain, katanya.
Menurut laporan Bernama, bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Tan Sri Mohamed Rahmat pula hairan dengan dakwaan Hindraf kononnya kaum India di negara ini dipinggirkan sedangkan mereka semua mendapat pelbagai nikmat.
Semua rakyat India yang dibawa masuk semasa pemerintahan British dahulu telah diberikan hak kerakyatan sebaik negara mencapai kemerdekaan.
Semua orang tahu mengenai hal tersebut. Jadi apa lagi yang tidak cukup? Dah jadi rakyat pun, dah nikmati pun apa yang orang Melayu dapat, jadi apa lagi yang tidak kena,katanya.
Di JOHOR, Ahli Dewan Undangan Negeri Kahang, S. Ramis menasihatkan masyarakat India supaya tidak terperangkap dengan pembohongan yang dilemparkan oleh Hindraf.
Katanya, kaum India harus melihat gambaran yang lebih luas sebelum menerima dakwaan bahawa mereka dipinggirkan daripada arus pembangunan negara.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Siam Kelantan, Eeh Chot Cha Chan membidas puak pelampau Hindraf kerana membuat tuduhan kononnya wujud penghapusan etnik di Malaysia.
Masyarakat Siam kesal dengan tuduhan Hindraf kerana kami sebagai masyarakat minoriti tidak dipinggirkan dalam pelbagai program pembangunan, katanya.
No comments:
Post a Comment