Saturday, September 5, 2015

Gesaan Tun M Untuk Turunkan Najib Bagi Pulihkan Ekonomi Adalah Dangkal



1. Kata Tun Dr Mahathir dalam blognya –"selagi Najib berkuasa selama itulah ekonomi merosot, nilai Ringgit jatuh, saham jatuh, kos sara hidup meningkat kerana GST, hutang negara bertimbun dan tidak dapat dibayar, pengangguran bertambah, berbilion duit rakyat disalah gunakan.”

2. Secara terbaliknya, Tun M mendakwa "jika Najib dijatuhkan maka ekonomi akan meningkat, nilai Ringgit akan meningkat, saham akan meningkat, kos sara hidup menurun, hutang negara akan berkurangan, pengangguran akan berkurangan dan berbilion duit rakyat tidak disalah gunakan.”

3. Bunyinya macam hebat, tetapi sebenarnya kenyataan Tun M ini tidak bersandarkan realiti dan fakta. Realitinya bukan hanya ekonomi dan matawang Malaysia sahaja yang terjejas, sebaliknya ia adalah fenomena global dan serantau yang menjejaskan ekonomi dan matawang kebanyakan negara.

4. Fakta (1), sejak Datuk Seri Najib Tun Razak mengambil alih kepimpinan negara daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi, pertumbuhan ekonomi Malaysia meningkat dan kekal stabil. Kadar pertumbuhan ekonomi negara pada tahun 2008 adalah 4.8%, 2009 (-1.5%), 2010 (7.4%), 2011 (5.2%), 2012 (5.6%), 2013 (4.7%), 2014 (6.0%) dan 2015 (4.9% - terbaru). Dari segi perbandingan antara negara pula, kadar pertumbuhan ekonomi AS adalah pada 2.7%, China 7%, Jepun 0.7%, Thailand 2.8%, Indonesia 4.67%, Australia 2%, New Zealand 2.6%, Korea Selatan 2.2%, India 7%, Italy 0.7%, Jerman 1.6% dan Singapura 1.8%.

5. Fakta (2), bukan sahaja Ringgit jatuh tetapi matawang lain juga turut jatuh. Dollar Australia antara yang jatuh teruk. Nilai Ringgit pernah meningkat 6% dan Dollar Australia pula pernah meningkat 7% terhadap Dollar AS. Bagaimanapun sehingga pertengahan bulan Ogos, Ringgit telah mengalami penurunan sebanyak 13.33%, Rupiah Indonesia 9.88%, Won Korea Selatan 8.35%, Baht Thailand 6.99% dan Dollar Australia pula lebih 20%. Kenapa nilai matawang kebanyakan negara jatuh? Antara faktor paling utama, nilai Yuan China menurun, harga komoditi yang rendah dan spekulasi peningkatan kadar faedah AS. Matawang negara-negara Asia jatuh berikutan penurunan nilai matawang oleh China yang dikatakan sengaja dilemahkan bagi meningkatkan kembali pertumbuhan ekonomi negara tersebut. Dijangka China akan menurunkan nilai Yuan sehingga 10%. Ketika ini, penurunan Yuan baru sekitar 4.61 %. Harga minyak mentah global, Brent yang turun sehingga 29% sejak bulan Mei memberi kesan kepada Malaysia yang sejumlah pendapatannya datang dari sumber minyak. Pengeksport komoditi lain seperti Australia, Kanada dan New Zealand juga mengalami kemerosotan kerana kebanyakan komoditi diniagakan menggunakan Dollar AS. Seperti Malaysia, Australia juga turut terjejas dengan penurunan Yuan kerana jumlah eksportnya  yang tinggi ke China.

6. Fakta (3), selain Bursa Saham Kuala Lumpur, pasaran saham di seluruh rantau ini juga jatuh dengan Indeks Komposit Jakarta mendahului dengan kejatuhan 3.1 peratus diikuti oleh Indeks Hang Seng Hong Kong yang turun 2.38 peratus. Analisis Indeks MSCI ke atas pasaran saham dunia sejak Januari sehingga Ogos 2015, menunjukkan penurunan global pasaran saham (dalam Dollar AS) sebanyak - 6.7%, 'Emerging Markets' (-16.7%), AS (-5.0%) dan UK (-9.7%). China mengalami penurunan sebanyak -15.0%, Korea Selatan (-14.1%), Taiwan (-14.7%), Australia (-19.7%), Singapura (-21.5%), Malaysia (-26.0%), Indonesia (27.3%), Germany (-6.4%) dan Sweden (-6.3%)

7. Fakta (4), jika Tun M mendakwa GST menjadi faktor peningkatan kos sara hidup, maka sudah tentu rakyat di negara lain yang mempunyai kadar GST yang lebih tinggi akan lebih terbeban. Kadar GST di Malaysia hanya 6%, sedangkan di Thailand (7%), Indonesia (10%), Singapura (7%), Korea Selatan (10%), India (12.36%), China (17%), Australia (10%) dan New Zealand (15%).

8. Fakta (5), dari segi Indeks Kos Sara Hidup, sehingga pertengahan tahun 2015, kedudukan Malaysia adalah di tangga 94, bermaksud kos sara hidup di Malaysia masih lebih rendah berbanding 93 buah negara lain di dunia. Berdasarkan Indeks Kos Sara Hidup Expatistan pula, kos sara hidup di KL hampir sama dengan Jakarta, lebih rendah 4% daripada di Manila, 6% lebih rendah daripada Bangkok dan 56% lebih rendah daripada Singapura.

9. Fakta (6), sejak Najib menjadi Perdana Menteri, biarpun jumlah hutang negara meningkat kerana Hutang Negara diberikan takrifan baru oleh IMF, namun usaha untuk mengurangkan hutang telah dilaksanakan dengan lebih bersungguh-sungguh dan konsisten. Defisit perbelanjaan tahunan menurun sejak Najib mengambil alih pentadbiran, iaitu dari 6.7% pada tahun 2009, kepada 5.4% (2010), seterusnya 4.8% (2011), 4.5% (2012), 3.9% (2013), 3.5% (2014) dan dalam bajet 2015, 3.0%, tetapi dinaikkan sedikit kpd 3.2% akibat penurunan harga minyak dunia dan bencana banjir besar.

10. Fakta (7), peratus hutang terhadap GDP Malaysia ini masih rendah, iaitu 52.8% berbanding AS (102%), Jepun (230%), Italy (132%), Singapura (99%), UK (89.4%) dan Jerman (74%).

11. Fakta (8), kadar pengangguran di Malaysia adalah 3.1%. Kadar ini adalah lebih rendah jika dibandingkan dengan Australia (6.3%), China (4.04%), UK (5.6%), Jerman (4.7%), AS (5.3%), Jepun (3.3%), Indonesia (5.8%), New Zealand (5.9%), Korea Selatan (3.7%), India (4.9%) dan Itali (12%).

12. Fakta (9), sehingga hari ini Tun M masih gagal membuktikan Najib menyalah gunakan berbilion duit rakyat. Mulanya Tun M mendakwa RM42 bilion hilang, kemudian mendakwa hanya RM27 bilion hilang. Apabila dibuktikan kesalahan pengiraan Tun M, Tun M mendakwa sebanyak AS$1 bilion pula hilang. Kemudian Tun M mendakwa AS$700 juta dilesapkan ke dalam akaun Jho Low. Hari ini Tun M mendakwa kononnya RM2.6 bilion dilesapkan dan masuk ke dalam akaun Najib. Walaupun SPRM telah menyatakan bahawa duit tersebut bukan daripada 1MDB dan terdapat empat (4) keping surat yang membuktikan bahawa duit itu disumbangkan oleh penderma, Tun M masih lagi berkeras menuduh Najib menyalah gunakan wang rakyat walaupun tanpa sebarang bukti.

13. Jika Tun M bercakap benar dan berdasarkan fakta, Tun M sudah tentu sedar bahawa menjatuhkan Najib TIDAK AKAN memulihkan ekonomi Malaysia SECARA DRASTIK. Najib dan 1MDB TIDAK ADA di negara-negara yang disebutkan tadi tetapi pertumbuhan ekonomi di negara-negara tersebut tetap merosot, nilai matawang dan indeks saham juga terus jatuh, kos sara hidup dan kadar GST lebih tinggi, hutang negara jauh lebih banyak dan kadar pengangguran juga jauh lebih tinggi. Menjatuhkan Najib untuk pemulihan ekonomi segera hanya AUTA dan PEMBOHONGAN Tun M semata-mata.

No comments:

Post a Comment