Khalid Abu Bakar
Lebih membimbangkan, suspek-suspek yang ditahan itu juga dipercayai merancang untuk membeli senjata api bagi tujuan melancarkan serangan di Malaysia.


Operasi yang dilakukan oleh Bahagian Counter Terrorism Cawa­ngan Khas Bukit Aman itu dilaksanakan secara serentak di Perlis, Perak, Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan dan Melaka.


Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar berkata, suspek yang ditahan ialah lapan lelaki dan dua wanita warga tempatan yang berumur antara 24 hingga 42 tahun.


Menurutnya, enam daripada mereka merupakan anggota pasukan keselamatan, dua kakitangan jabatan kerajaan, seorang bekas pereka hiasan dalaman dan juga seorang guru tadika.

“Kesemua mereka ditahan ke­rana disyaki terlibat alam aktiviti mempromosi ideologi kumpulan IS, mengumpul dana serta mengatur pemergian rakyat Malaysia menyertai kumpulan terbabit di Syria.

“Malah, mereka juga dipercayai merancang untuk membeli senjata api bagi melancarkan serangan di negara ini, membantu penyusupan masuk ahli-ahli kumpulan itu kembali dari Syria, merekrut rakyat tempatan menyertai IS serta me­nyembunyikan maklumat berhubung aktiviti IS di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tambah Khalid, kesemua suspek ditangkap kerana disyaki melakukan kesalahan berkaitan dengan keganasan, Kanun Keseksaan (Akta 574) dan akan disiasat mengikut prosedur di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Akta 747).