Sebaliknya Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata laluan itu pada masa ini menggunakan kereta api sedia ada sehingga dua set tren baharu untuk tujuan itu mendapat kelulusan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).
"Saya menyerahkan kepada pasukan teknikal Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dan SPAD untuk menilai ciri-ciri keselamatan kereta api baharu itu," kata beliau kepada wartawan selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Pusat MCA di sini, hari ini.
Tiong Lai yang juga Presiden MCA mengulas laporan berita baru-baru ini mengenai dua set kereta api baharu yang diperoleh KTMB daripada CSR Zhuzhou Electric Locomotive Co Ltd dari China yang masih gagal mendapat kelulusan SPAD untuk memulakan operasinya.
Kelewatan kelulusan itu dikatakan ada kaitan dengan sistem keselamatan perlindungan automatik tren (ATP).
"Sebenarnya tiada masalah. Cuma ia mungkin perlukan sedikit pelarasan kepada sistem ATP," katanya.
Sebelum ini, KTMB melancarkan perkhidmatan ETS untuk laluan Kuala Lumpur-Padang Besar pada 10 Julai lepas.
Mengulas insiden pergaduhan di Plaza Low Yat baru-baru ini, Tiong Lai berkata semua pihak perlu menjadikannya sebagai iktibar untuk tidak menyalahgunakan kebebasan bersuara dengan sewenang-wenangnya.
Beliau turut memuji kecekapan polis dalam mengawal keadaan daripada menjadi lebih buruk lagi.
Insiden di Low Yat pada 11 Julai lepas yang berpunca daripada kes mencuri telefon bimbit bertukar menjadi isu perkauman apabila ada pihak tidak bertanggungjawab menggunakan media sosial untuk mengapi-apikan keadaan dengan menyebarkan maklumat berbaur perkauman.- BERNAMA