Bersempena sambutan Hari Bapa hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkongsi gambar ayahandanya Tun Abdul Razak Hussein bersama Yang di-Pertuan Agong kelima Tuanku Abdul Halim Mu'adzam Shah pada tahun 1970-an dalam laman sosial Twitter dan Facebook miliknya.
Turut dipaparkan gambar Najib dengan Tuanku Abdul Halim setelah baginda dilantik sekali lagi sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-14 sejak 13 Disember 2011.
"Saya sedang melihat gambar-gambar lama dan menemui ini. Beliau ialah ayahanda yang saya kongsi dengan Malaysia. #Selamat Hari Bapa kepada semua bapa!," catat Perdana Menteri.
Dua keping gambar itu yang dimuat naik oleh Najib memaparkan kedudukan yang sama iaitu beliau dan ayahandanya duduk di sebelah kiri Tuanku Abdul Halim atas sofa yang hampir sama bentuknya dengan masing-masing menggenggam kedua-dua belah tangan.
Tuanku Abdul Halim merupakan Yang di-Pertuan Agong ketika Tun Abdul Razak menjadi Perdana Menteri Kedua pada 22 September 1970 sehingga 14 Januari 1976, dan baginda sekali lagi dilantik sebagai Yang di-Pertuan Agong pada 13 Disember 2011 ketika Najib sebagai Perdana Menteri Keenam.
- BERNAMA
No comments:
Post a Comment