Dewan itu bertegas hanya mereka yang fuqaha, faqih serta mujtahid sahaja layak menjadi Presiden Pas.

Malah tanpa berselindung, Ketua Penerangan Dewan Ulama Pas, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, perbuatan kumpulan tertentu mahu mengguling Abdul Hadi adalah sama seperti cubaan berkempen dari sesuatu yang afdal kepada tidak afdal.

Fuqaha bermaksud mereka yang menguasai ilmu fekah, faqih pula membawa erti golongan pakar berhubung nas-nas al-Quran, hadis serta budaya setempat manakala mujtahid ialah ulama yang berijtihad sehingga berkelayakan untuk mengeluarkan fatwa.

“Ada segelintir pimpinan membuat kenyataan Presiden Pas tidak semestinya dalam kalangan ulama. Apakah tujuan kenyataan ini? Tentu bermaksud membuka gelanggang untuk menukar Presiden yang ada dalam kalangan ulama dan faqih kepada bukan ulama.

“Sekiranya dilihat lebih jauh, ada pemimpin yang ingin memulakan gelanggang jawatan Presiden perlu ditandingi atau ingin berkempen bahawa terdapat individu yang lebih baik lagi untuk menjadi Presiden Pas berbanding Tuan Guru (Abdul Hadi).

“Merujuk kepada Islam yang menjadi dasar kepada perjuangan Pas, Dewan Ulama Pas menegaskan bahawa keutamaan untuk menjadi Presiden Pas mestilah dalam kala­ngan mereka yang fuqaha, faqih serta mujtahid,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Kepemimpinan Abdul Hadi kini berada dalam keadaan goyah berikutan gerakan tersusun kumpulan Anwarinas yang ingin menjatuhkannya sehingga ada dalam kala­ngan pemimpin Pas secara terbuka menyatakan sokongan kepada Mohamad untuk bertanding jawatan Presiden.
Abdul Hadi bagaimanapun masih mendapat sokongan padu kumpulan ulama dan perkara itu dinyatakan pada Multaqa Ulama SeMalaysia II baru-baru ini sehingga wujud desakan mahu Mohamad dan Pengarah Pilihan Raya Pas Pusat, Dr. Mohd Hatta Ramli dipecat.

Dalam pada itu, Mohd. Khairuddin berkata, Abdul Hadi yang telah memimpin Pas sejak sekian lama mempunyai kemampuan untuk berijtihad dan sifat faqihnya juga diiktiraf masyarakat dunia apabila dilantik sebagai Naib Ketua Kesatuan Ulama Sedunia.

“Pas diketuai oleh Presiden yang mempunyai kemampuan berijtihad dan faqih yang telah diiktiraf dunia. Keadaan ini meletakkan Pas berada pada landasan yang betul dari sudut kelayakan keutamaan sebagai pemimpin tertingi dalam gerakan Islam,” katanya.