Saturday, April 6, 2013

KEMBALILAH KE PERJUANGAN ASAL


UALA LUMPUR: Satu demi satu isu yang bermain dalam rumah politik PAS antaranya isu hudud, kepada isu siapa jadi perdana menteri sehingga yang terbaharu kalimah Allah, membuatkan kepimpinan parti itu semakin tersepit antara kemahuan akar umbi sendiri dan nafsu rakan pembangkangnya.
Ustaz Nasha
Sejauh mana pemimpin PAS mampu melayar bahtera sehaluan dengan PKR dan DAP, sedangkan semakin ramai ‘anak kapal’ mereka mahu parti itu kembali kepada haluan asal, malah ada yang mahu PAS melayar bahtera bersendirian tanpa rakan pembangkangnya di sisi.
Antaranya, Nasharuddin Mat Isa yang lantang menyuarakan PAS perlu kembali kepada perjuangan asal menegakkan Islam serta membela nasib Melayu, tanpa kerjasama PKR dan DAP yang mempunyai niat mengubah haluan asal bahtera itu.
Bekas timbalan presiden PAS itu berkata pertembungan dua kemahuan itu timbul kerana PAS ingin melayan kehendak PKR dan DAP, sedangkan kerjasama itu sebenarnya telah mencairkan perjuangan asal PAS sambil menegaskan parti itu cukup teguh untuk berkembang sebagai sebuah parti utama di Malaysia tanpa PKR dan DAP.
“Saya mungkin boleh mengiyakan kenyataan itu (kepimpinan PAS tersepit), kerana mutakhir ini banyak percaturan diambil kira pada keuntungan politiknya terlebih dahulu daripada dasar serta perjuangan parti berpaksikan Islam yang dijunjung akar umbi.
“Benar perkara melibatkan Islam ada ‘fleksibel’ tertentu, namun ada perkara tidak boleh diusik dan dicairkan atas apa-apa tujuan. Antaranya kalimah Allah yang mana ia tidak boleh digunakan sewenang-sewenangnya oleh orang bukan Islam untuk tujuan mereka yang tersendiri,” kata anggota Parlimen Bachok itu.
Isu kalimah Allah ditimbulkan Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng yang mendesak kerajaan membenarkan kalimah itu digunakan dalam Bible versi bahasa Melayu dan pada satu ketika gabungan pembangkang termasuk pemimpin PAS turut bersetuju agar kalimah itu digunakan bukan Islam.
Bagaimanapun kepimpinan PAS dihambat Majlis Syura Ulamanya yang mengeluarkan ketetapan kalimah Allah tidak dibenar digunakan bukan Islam bagi mengelak kekeliruan dan akhirnya pemimpin PAS yang diketuai Presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang terpaksa tunduk terhadap ketetapan itu.
Pertembungan dua kemahuan dalam isu ini semakin membakar kerjasama PAS bersama pakatan pembangkang dengan Pengerusi DAP Kebangsaan Karpal Singh menghambat Abdul Hadi kerana membuat pusingan ‘U’ terhadap isu itu.
Bagi Nasharuddin, pendirian pimpinan PAS yang bersetuju kalimah itu digunakan oleh bukan Islam sebelum ditempelak Majlis Syura Ulamanya, menimbulkan kekecewaan dalam kalangan akar umbi dan kepimpinan PAS sebenarnya tidak perlu bimbang sekiranya rakan pembangkang kurang senang dengan ketetapan majlis itu.
“Apa yang perlu sekarang PAS meletakkan perjuangan Islam di hadapan seperti kemahuan akar umbi dan tidak meletakkan kepentingan politik bagi menawan Putrajaya seperti kemahuan rakan pembangkang lain dalam tahalufnya.
“Tahaluf apa sahaja punya syarat. Prinsip asal tahaluf kini kekal tetapi PAS kadang kala diasak dengan tuntutan politik semasa. Ini mula mencairkan perkara sekitar prinsip asal itu … saya tegaskan PAS tidak sepatutnya begitu mudah menjual prinsip asal tahaluf dan asal perjuangan,” kata Nasharuddin.
Selain kalimah Allah, isu siapa jadi perdana menteri sekiranya pakatan itu berjaya menawan Putrajaya dan hudud terus menjadi duri dalam daging kepimpinan PAS yang mencari titik persamaan antara kemahuan akar umbi dan rakan pembangkangnya.
Pertembungan kemahuan dua isu itu mencapai kemuncaknya pada muktamar PAS di Kelantan November tahun lepas di mana Dewan Ulama PAS melalui Ketuanya Datuk Harun Taib lantang menyuarakan bahawa PAS akan tetap melaksanakan hukum hudud jika pembangkang berkuasa.
Bagaimanapun pendirian dewan itu ditempelak Karpal Singh dan Timbalan Pengerusinya Dr Tan Seng Giaw. Abdul Hadi pula pada muktamar itu mengambil jalan selamat dengan tidak menyentuh isu hudud dalam ucapan dasarnya.
Desakan perwakilan PAS pada muktamar itu yang mahu Abdul Hadi menjadi perdana menteri turut menyebabkan kepimpinan PAS tersepit dengan kemahuan PKR dan DAP yang secara terang-terangan mahu Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi perdana menteri.
Sebenarnya hanya akar umbi PAS yang beria-ia mahukan Abdul Hadi sebagai perdana menteri sedangkan rakan pembangkangnya memperlekeh idea itu. Namun PAS memerlukan sokongan padu penyokongnya dan dalam masa yang sama tidak sanggup diketepikan rakan pembangkang.
Nasharuddin sebagai seorang anggota PAS mahu Abdul Hadi menjadi perdana menteri kerana presidennya itu mempunyai jatidiri, keperibadian dan rekod moral yang bersih.
“Bagi saya beliau (Abdul Hadi) paling layak memegang jawatan itu kerana banyak isu seperti moral dan isu melibatkan pendirian, menimbulkan tanda tanya pada calon yang satu lagi itu (Anwar).
“Sebagai anggota PAS biasa, saya ulangi dan tegaskan pandangan akar umbi pada muktamar lepas yang mahukan presiden kami sebagai perdana menteri, kenapa perlu akar umbi berjuang untuk orang lain selain presiden kami yang merupakan calon yang lebih hebat,” katanya yang tidak mengulas isu berkenaan hudud.
Antara tindakan disarankan akar umbi bagi mengelakkan bahtera PAS terus tersasar daripada perjuangan asal, ialah keluar daripada kerjasama dengan PKR dan DAP, dan bagi Nasharuddin tindakan itu tidak akan menimbulkan kesukaran, malah akan memberikan kekuatan kepada PAS.
“Seperti saya katakan PAS ada kekuatan yang tersendiri, tetapi kekuatan itu cair sedikit demi sedikit dengan adanya pakatan itu.
Terlalu banyak karenah yang perlu dilayan sehingga ada perkara PAS perlu di hadapan tetapi tidak di depan. Jadi bila PAS bergerak sendiri, ini semua tidak perlu ada,” katanya.
Satu lagi perkara yang perlu direnung tentang pertembungan dua kemahuan ini adalah nasib mereka yang lantang bersuara mempersoal kerjasama PAS dengan PKR dan DAP seperti Nasharuddin sendiri.
Beliau nyata kecewa atas tindakan dipecat keanggotaan dalam majlis itu, namun Nasharuddin sebagai anggota akar umbi PAS yang setia kepada parti, akur dengan keputusan itu dan tetap mahu bersama PAS bagi memastikan perjuangan asal PAS membela Islam itu tidak tersasar hanya kerana PKR dan DAP.
Ia mengingatkan kepada seorang lagi pemimpin PAS iaitu bekas Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali yang dipecat keanggotaannya selepas lantang bersuara mempersoal kerjasama itu dan kredibiliti Anwar sebagai bakal perdana menteri pilihan pembangkang.
Sidang media pada Januari tahun lepas, selepas pemecatan Hasan daripada PAS menyaksikan Nasharuddin bersama di sisi beliau, dan menyatakan kepada media serta mereka yang hadir akan membawa isu pemecatan itu kepada Majlis Syura Ulamak PAS yang ketika itu dianggotainya bagi membolehkan pemecatan itu dibatalkan.
Bagaimanapun, sehingga ke hari ini cadangan pembatalan daripada Nasharuddin tidak menjadi kenyataan, sebaliknya beliau pula dipecat daripada menganggotai Majlis Syura Ulama PAS.

No comments:

Post a Comment