Thursday, February 28, 2013

MINTA MAAF , SUDAH LAMA JADI SAYA LUPA: BALA


Balasubramaniam gagal kemuka bukti, akui benci kerajaan

KUALA LUMPUR 28 Feb. - Penyiasat persendirian, P. Balasubramaniam yang pulang ke negara ini Ahad lalu dengan disambut oleh beberapa pemimpin pembangkang gagal mengemukakan sebarang bukti berkaitan dakwaan penglibatan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan kematian wanita Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Sebaliknya, `ceramah’ yang disampaikan Balasubramaniam menimbulkan lebih banyak persoalan kepada hadirin yang berada di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) di ibu kota malam ini serta para pengikut di Internet serta pengguna twitter di `hashtag’ #tanyabala.

Apa yang jelas, penyiasat persendirian yang pernah membuat akuan bersumpah (SD) mendakwa Najib terlibat dalam kes itu, tetapi kemudiannya menarik balik tuduhan berkenaan dalam SD kedua, mengakui membenci kerajaan Barisan Nasional (BN) sejak dia berumur 14 tahun.

Walaupun berucap dan menjawab soalan yang dikemukakan oleh moderator, Penyelaras Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM), Badrul Hisham Shaharin selama kira-kira satu jam setengah, Balasubramaniam dilihat seolah-olah hanya melontarkan tohmahan dengan `bermodalkan air liur’.

Dengan penguasaan bahasa Melayu dan bahasa Inggeris yang kurang baik, penyiasat persendirian itu juga dilihat gugup apabila terhenti menyampaikan ucapan dan beberapa kali berkata: “Minta maaf, sudah lama (kes ini) jadi saya lupa."

Sebagai contoh, dia mendakwa pernah mengambil gambar Altantuya sewaktu wanita itu berada di hadapan Bangunan Getah Asli di ibu kota pada sekitar 2006 sewaktu dia berkhidmat dengan penganalisis politik, Abdul Razak Baginda namun tidak pula menunjukkan gambar tersebut.

Penyiasat persendirian yang pernah lari ke luar negara selama kira-kira tiga tahun selepas membuat SD kedua berkenaan turut mendakwa pernah membuat rakaman perbualannya dengan peniaga permaidani, Deepak Jaikishnan berkenaan tawaran Deepak sebanyak RM100,000 bagi menarik balik SD pertama, namun rekod tersebut tidak diperdengar kepada hadirin.

Selain itu, Balasubramaniam juga tidak menjawab pelbagai soalan yang dikemukakan para pengikut twitter di #tanyabala berkenaan secara terus tetapi Badrul Hisham bertindak menyaring serta memilih soalan yang perlu dijawab penyiasat persendirian tersebut.


Salah seorang pengguna twitter @lisajariffin turut mencabar Badrul Hisham yang menggunakan nama @chegubard supaya bekas calon Ketua Angkatan Muda Keadilan itu bertanya kesemua soalan yang dikemukakannya di twitter bagi membuktikan keikhlasan mereka dalam pendedahan kes tersebut.


Balasubramaniam serta Badrul Hisham juga tidak membuka ruang kepada hadirin untuk bertanya soalan dan kemudiannya penyiasat persendirian itu `melarikan diri’ ke kereta yang sedia menunggunya bagi mengelakkan diri daripada ditemui para pemberita selepas selesai ceramah. - UTUSAN