gambar sebagai hiasan |
Seorang wanita yang tinggal di Kuala Lumpur, berasal dari Tawau, Sabah, menelefon saya mengatakan hasratnya untuk memeluk Islam. Setelah lama berbual, baru saya sedari sebelum ini saya telah mengenali adik lelakinya bernama Kristan beberapa tahun lalu.
Kristan itu telah lama mengatakan hasratnya untuk memeluk agama Islam, tetapi disebabkan oleh tidak ada kad pengenalan dan sijil kelahiran, tidak ada pejabat agama yang ingin mendaftarkan pengIslamannya. PengIslamannya hanya boleh diproses jika semua berkaitan dijumpai atau diperolehi. Saya tidak menyalahkan pejabat agama kerana itu adalah prosedur.
Pada masa sama, kita tidak boleh menyekat atau menghalang seseorang yang ingin memeluk Islam. Saya pun nasihatkan Kristan supaya mengucap dua kalimah syahadah dahulu sementara menunggu mencari dokumen yang diperlukan itu untuk didaftarkan kemudian. Masalah yang dihadapi Kristan ini masih lagi berlaku dalam era dunia tanpa sempadan ini. Ramai ibu bapa yang tidak mendaftarkan kelahiran anaknya sehingga timbul kes-kes sebegini.
Apapun kerja-kerja dakwah perlu diteruskan. Saya bertindak mengIslamkan Kristan terlebih dahulu. Niat saya untuk menunjukkan bahawa Islam sebenarnya adalah agama yang amat mudah, tidak menyusahkan. Proses pengIslaman tidak ada birokrasi. Sesiapapun boleh mengIslamkan seseorang yang ingin memeluk agama Islam, tanpa ada batasan waktu dan tempat.
Atas dasar persaudaraan Islam, saya cuba sedaya upaya membantu untuk mendapatkan semua dokumen Kristan dengan membawanya ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Tetapi bukanlah suatu perkara mudah untuk JPN memprosesnya disebabkan oleh beliau tidak ada langsung tanda pengenalan kecuali kakaknya yang mempunyai semua dokumen lengkap (warganegara) seperti telah saya sebutkan tadi.
Persoalannya, bagaimana kakaknya boleh mempunyai semua dokumen sedangkan adiknya tidak ada? Saya serahkan kepada JPN untuk menyelesaikannya, termasuk membantu beliau untuk memudahkan proses ini kerana bagi saya semua itu boleh diselesaikan kemudian hari. Yang lebih penting ialah bagaimana kita boleh membantu beliau bagi memudahkan proses memeluk Islam.
Sepatutnya pihak yang bertanggungjawab sama-sama menyelesaikan masalah ini kerana yang patut disalahkan bukan beliau, tetapi ibubapanya tidak mendaftarkan beliau sejak kecil, walaupun hakikatnya, beliau memang warganegara yang sah. Saya tidak bercadang untuk membincangkan birokrasi yang akan dilalui untuk mendaftarkan dirinya sebagai warganegara yang sah.
Perkara utama yang ingin saya bincangkan ialah bagaimana menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh mereka yang ingin memeluk Islam. Cuma saya harapkan kejadian seperti ini menjadi pengajaran kepada kita semua, sama ada JPN, pejabat agama dan semua orang Islam. Bagaimanakah cara yang terbaik kita boleh membantu mereka yang telah dibukakan hatinya oleh Allah SWT ini. Kerana mereka adalah aset masa depan agama kita.
Berbalik kepada cerita kakak Kristian yang mahu memeluk Islam. Saya bertanya kepada kakak Kristan, bagaimana dia boleh tertarik kepada Islam. Beliau memberitahu bahawa adiknya Kristan telah berjaya memujuk dan menunjukkan jalan yang benar.
Alhamdulillah, saya rasa amat bersyukur. Begitulah manisnya menjadi seorang pendakwah daripada menjadi pendakwa. Kehidupan kita tidak pernah sunyi. Ada sahaja panggilan telefon yang masuk, ada yang ingin mengetahui lebih lanjut tentang Islam, tidak kurang yang mahu memeluk Islam.
Saya ingin berkongsi dengan para pembaca mengenai soalan-soalan yang biasa ditanya oleh mereka yang ingin memeluk Islam termasuk kakak Kristan ini. Antara soalannya adalah bagaimanakah cara terbaik untuk memeluk Islam? Islam dulu atau bersunat dulu? Sebelum soalan ini ditanyakan kepada saya, soalan sebegini telah pun ditanya kepada rakan beliau yang beragama Islam. Cuba teka apakah jawapannya?
Sebenarnya ramai kalangan kita yang memberikan input yang salah sehingga menjadi proses memeluk agama Islam menjadi rumit dan susah. Sepatutnya kita yang menunjuk ajar mereka dahulu sebelum menyuruh mereka ke pejabat agama. Jika kita tidak mempunyai ilmu, sekurang-kurangnya bantulah mereka untuk pergi ke pejabat agama. Apabila sampai ke pejabat agama, alangkah baiknya kita dapat permudahkan proses memeluk agama Islam, termasuk mereka yang tidak ada dokumen ini. Paling baik kitalah yang membantu berurusan dengan JPN. Jangan biarkan dia terkontang-kanting melakukannya bersendirian. Tunjukkan kepada mereka bahawa kita mengambil berat. Jangan susahkan mereka dalam perkara ini dan memberikan jawapan yang ‘berat-berat’.
Saya terkadang kala amat pelik, kenapa kita memberikan jawapan-jawapan yang menyusahkan mereka lain untuk memeluk Islam?
Ada yang memberikan jawapan seolah-olah Islam ini amat menyusahkan. Semua perlu dibuat sekaligus. Bersunat (potong), menutup aurat, sembahyang, mengaji dan sebagainya. Seolah-olah menampakkan bila masuk Islam, dalam satu hari kita mesti menjadi malaikat atau orang baik. Sekaligus meninggalkan semua kemungkaran dan kejahatan yang pernah dilakukan selama ini.
Ya, saya tidak nafikan memang itulah yang terbaik. kita perlu tinggalkan semua larangan Islam yang kita lakukan sebelum ini. Tetapi jangan terlampau mendadak sehingga tidak ada ruang untuk bernafas.
Kalau mereka tidak boleh sembahyang buat sementara waktu, itu adalah biasa. Mereka perlu belajar, dan proses ini mengambil masa. Jika sembahyanglah yang menjadi kayu ukur dalam ujian keimanan, saya fikir ramai lagi orang lahir Islam yang sembahyang dan ada yang tidak pernah sembahyangpun.
Kadangkala, kita tidak boleh terlalu rigid dalam membantu saudara baru. Pendekatan berhikmah mesti digunakan agar Islam tidak dianggap sebagai agama yang menyusahkan. Namun, jarang sangat perkara ini dapat difahami oleh masyarakat Islam kita, termasuk para pendakwah. Mereka hanya pandai mendakwa. Itu tidak betul, ini tidak betul. Itu tidak boleh, ini tidak boleh. Kerjanya hanya memberikan hukum halal haram, bukannya mempermudahkan.
Lebih ekstrim lagi ada yang memberikan pandangan bahawa mereka yang telah mahu memeluk mesti menyamak tangan mereka yang sebelum ini pernah menyentuh dan memakan babi. Kalau boleh kita mahu mereka terjun ke dalam lumpur dan minum air tanah untuk menyamak badan mereka yang sebelum ini pernah terkena najis berat ini.
Inilah pendekatan ekstrim yang mesti dijauhi untuk mendekatkan orang lain kepada Islam. Kalau ditanya pada saya, jika habit mereka sebelum Islam meminum arak, ‘tidak mengapa diteruskan’ jika telah memeluk agama Islam, asalnya ia semakin berkurang. Maknanya, kalau dahulu mereka minum 10 gelas sehari, kini berkurang menjadi lima, empat, tiga, dua, satu dan akhirnya perbuatan ini ditinggalkan terus.
Bukan mudah untuk berhenti daripada melakukan sesuatu yang telah menjadi amalan hidup atau ketagihan. Kita sebagai umat Islampun sukar untuk meninggalkan rokok, apatah lagi mereka yang selama ini bergelumang dengan arak sebelum Islam. Kita janganlah terlalu cepat menghukum.
Akhlak yang baik melambangkan peribadi seorang Islam. |
Justeru, pendekatan ekstrim tidak akan selesaikan masalah. Bukan pula kita mahu berlonggar, tetapi mempelbagaikan variasi dakwah agar Islam tidak dipandang terlalu berat, rigid dan ekstrim. Kes-kes sebegini memang selalu berlaku dalam masyarakat kita. Jawapan-jawapan amat menyakitkan.
Saya juga pernah ditanya dengan soalan-soalan yang kita telah diberitahu oleh pendakwa-pendakwa sebelum ini. Misalnya, soalan seorang rakan lelaki saya yang telah lama memeluk Islam dan berkahwin dengan seorang wanita Melayu. Dari mula bertunang sehingga berkahwin, sayalah menjadi wakil dan jurucakap. Ini menjadikan saya rapat dengan keluarganya yang masih tidak Islam.
Setelah sekian lama berkahwin, pasangan ini baru dikurniakan anak. Kini timbul pula persoalan baru, iaitu bolehkah ibubapanya yang tidak Islam memakan daging aqidah?
Saya terpinga-pinga untuk menjawabnya sebab selama ini, seperti yang kita tahu melalui kuliah-kuliah agama oleh ustaz-ustaz, daging aqidah dan korban haram dimakan oleh orang bukan Islam. Itulah yang saya fahami sehinggalah persoalan ini dibangkitkan.
Termenung sejenak memikirkan. Apakah saya harus memberikan jawapan seperti yang telah diajar sebelum ini. Jika itulah jawapannya, ternyata kita turut menjadi pendakwa. Entah macam mana, saya teringat kepada artikel yang pernah saya baca mengatakan bahawa orang Islam ‘boleh’ memakan daging aqiqah mengikut pendapat sesetengah mazhab. Ada yang mengatakan harus, ada yang mengatakan makruh. Maknanya, orang bukan Islam tidaklah haram sama sekali memakan daging aqiqah.
Bermakna, masih ada pendapat dakwah yang boleh diketengahkan supaya Islam nampak mudah. Kita sahaja yang menyusahkan dan menyukarkan proses dakwah ini.
Setelah memikirkan secara mendalam dan implikasi dakwah. Saya dengan penuh yakin terus menjawab bahawa daging aqiqah boleh dimakan oleh bukan Islam dengan mengambil kira pandangan beberapa mazhab yang lain selain mazhab Shafie. Jawapan ini bukan bermakna kita mahu beralih mazhab. Tetapi dalam keadaan-keadaan tertentu kita perlu memikirkan implikasi jawapan terhadap perkembangan dakwah kepada bukan Islam.
Jika kita terlalu terikat dengan pendapat satu mazhab, akhirnya Islam akan dilihat sebagai agama yang menyusahkan sehingga menjauhkan orang bukan Islam dari Islam.
Sama juga isu samak. Takkan kita mahu mereka menyamak tangan dan badan mereka setelah memeluk Islam. Ingatlah setelah memeluk Islam, mereka ibarat bayi baru lahir tidak ada dosa. Adakah kita mahu menyarankan mereka menyamak rumah ibu bapa mereka yang masih tidak Islam bila berkunjung ke rumah mereka? Begitu juga pinggan mangkuk mereka? Tidakkah perkara ini begitu remeh untuk dibincangkan. Isu samak, bukanlah isu akidah. Isu samak adalah isu pendekatan mazhab. Yang paling penting adalah, bagaimana kita boleh menonjolkan Islam dengan cara yang paling berhikmah, agar tidak nampak menyusahkan? Saya bercakap dalam konteks saudara baru sahaja? Kepada saudara lama, lakukanlah yang terbaik mengikut mazhab kita. Cuma dalam konteks saudara baru, kita perlu berhati-hati dalam memberikan jawapan dan pendekatan.
Dalam berdakwah kita perlu memahami situasi yang dialami oleh mereka yang memeluk Islam berhadapan dengan keluarganya yang masih tidak Islam. Jika jawapan kita terlalu rigid, saya yakin bukan Islam akan semakin jauh daripada kita.
Tidak timbul soalan kita mahu melonggarkan hukum. Di Malaysia kita tetap berpegang kepada mazhab Shafie dan Ahlul Sunnah Wal Jamaah. Tetapi, dalam situasi tertentu kita perlu mengambil kira pendapat yang lebih ringan dalam memperlihatkan Islam sebagai agama yang mudah dan tidak menyusahkan.
Kenapa kita boleh menerima pendapat mazhab lain dalam menyelesaikan masalah zakat tetapi tidak dalam soal saudara baru? Membayar zakat menggunakan wang adalah bukan pendekatan mazhab Shafie. Begitu juga ketika menunaikan fardu haji, kenapa pendekatan mazhab lain digunakan, seperti bersentuh lelaki perempuan tidak batal wuduk ketika sai dan tawaf?
Jika begitu lah keadaannya, kenapa dalam konteks saudara baru dan dakwah kita begitu rigid dalam memberikan pendapat?
Semua ini perlu difikirkan oleh kita semua dalam usaha memastikan Islam kembali bersinar dan diminati oleh bukan Islam. Kita semua adalah pendakwah dan bukan pendakwa.
Berbalik kepada isu Kristan dan kakaknya, sama-sama kita fikirkan apakah jalan terbaik untuk kita kedua adik-beradik ini. Saya serahkan kepada pembaca untuk memikirkannya dan kita sambung balik perbincangan ini dalam keluaran akan datang.
Dr. Mohd Ridhuan Tee Abdullah, Kumpulan Penyelidik Politik dan Peradaban Islam, UPNM merangkap Setiausaha Agung Dewan Perdagangan Islam Malaysia. Penulisan ini adalah pendapat peribadi penulis.
No comments:
Post a Comment