Thursday, July 5, 2012

AL-QURAN DI KELIRUKAN DENGAN PELBAGAI TAFSIRAN.

 Al-Quran tidak berubah. Walaupun ada yang cuba menulisnya semula tetapi umat Islam tidak menerima sebarang pindaan kepada Al-Quran. Demikian juga percubaan untuk memansuhkan ayat-ayat tertentu di tolak oleh masyarakat Islam. Selagi kita dapat kekalkan teks Al-Quran tanpa diubah apa-apa, kita dapat mengurangkan kesesatan hasil daripada tafsiran Al- Quran oleh orang-orang yang berkepentingan atau orang yang jahil. Al-Quran tidak silap. Tetapi pentafsir, sebagai manusia biasa, walaupun terpelajar dalam bidang agama dengan mendalam masih boleh membuat tafsiran yang salah. Perpecahan di kalangan umat Islam sekarang bukan disebabkan oleh ajaran Islam yang terkandung dalam Al-Quran dan hadith-hadith yang sahih tetapi kerana tafsiran yang berbagai-bagai dan bertentangan oleh orang-orang yang terpelajar. Pentafsir yang salah, bukan Islam, bukan Al-Quran yang salah. Pentafsir yang takbur yang mendakwa dia sahaja yang tahu agama Islam, dan tafsiran serta ajaran orang lain tidak betul dan dianya tidak boleh ditegur, pentafsir seperti inilah yang kerap menyebabkan umat Islam keliru, sesat dan berpecah. Mereka ini suka menjual ayat Al-Quran dengan harga yang murah sedangkan Allah berfirman dalam Al-Quran supaya tidak melakukan perbuatan ini.

 Samada kita suka atau tidak suka, hakikatnya ialah kita yang tidak berbahasa Arab, memahami ajaran Islam dalam bahasa kita sendiri. Mereka yang mendakwa mereka faham isi kandungan Al-Quran kerana mereka fasih dalam bahasa Arab masih terpaksa jelaskan tafsiran mengikut fahaman mereka dalam bahasa yang difaham oleh kita iaitu bagi orang Melayu dalam bahasa Melayu. Apa yang disampaikan kepada kita ialah fahaman orang yang fasih dalam bahasa Al-Quran dan terjemahan fahaman ini kepada bahasa kita. Jika salah fahamannya atau terjemahannya maka salahlah fahaman kita akan ajaran Islam yang sebenar. Sebab itu kita sering bersengketa sesama kita kerana kelainan fahaman, kelainan tafsiran dan kelainan terjemahan oleh mereka yang menyampaikan ajaran Islam kepada kita. Mungkin tidak ada niat buruk, tidak ada kepentingan lain tetapi Islam yang kita amali adalah Islam pentafsir. Jika pentafsir tidak boleh ditegur, dan segala-gala yang disampaikan oleh mereka diterima bulat-bulat tanpa di rujuk kepada pihak lain maka kemungkinan kita sesat amatlah besar. Sebab itu terdapat orang yang mendakwa mereka adalah orang Islam tetapi keIslaman mereka dinafikan oleh orang Islam lain.

 Al-Quran menjadi panduan kita sebagai umat Islam. Apabila kita keliru atau sesat atau kita tidak bersaudara dan bersahabat dengan orang Islam lain, tidak aman dan selamat, kita perlu rujuk kepada Al- Quran. Tetapi haruslah kita ingat bahawa oleh kerana ayat-ayat dalam Al-Quran boleh ditafsir secara berbeza- beza oleh pentafsir-pentafsir, rujukan kita mungkin menghasilkan panduan yang salah, kerana sebenarnya kita rujuk kepada pentafsir dan bukan kepada Al-Quran.

 Yang jelas ialah individu yang membuat tafsirannya sendiri walaupun ianya alim tidak semestinya benar dan betul. Untuk menjadikan Al-Quran sebagai tempat rujukan, tafsiran hendaklah dibuat oleh sekumpulan ulama yang tidak mempunyai apa-apa kepentingan selain daripada kepentingan umat Islam dan agama Islam, dan mereka tidak takbur dengan anggapan bahawa mereka sebagai pewaris Nabi, tidak mempunyai kecacatan atau kelemahan apa-apa seperti yang ada pada manusia lain. Mereka yang sering mendakwa mereka adalah pewaris Nabi tetap tidak mempunyai sifat-sifat ulama yang sebenar.

Islam bukan sahaja agama ibadat tertentu untuk diri sendiri tetapi ia adalah Ad-din, atau cara hidup. Segala urusan kehidupan kita tertakluk kepada ajaran Islam. Dan kehidupan melibatkan makan minum, berpakaian dan berteduh di bawah bumbung. Selain daripada itu ia melibatkan pengeluaran bahan makanan, keluaran kain pakaian, bahan binaan. Ia juga melibatkan kegiatan menguasai ilmu dan perniagaan serta perusahaan. Sudah tentu ia juga melibatkan keselamatan dan pertahanan, pemerintahan yang cekap, penjagaan keamanan dan penguatkuasaan undang-undang. Dan beribu macam lagi usaha untuk menentukan cara hidup Islam membawa kebahagiaan dan kesejahteraan kepada umat Islam.

No comments:

Post a Comment